Theflowersellingboy

Ahad, 26 Jun 2011

Politik : Kuasa dan Bercakap Bohong

" Brother, you jangan masuk politik. Orang politik ni kalau tak cakap bohong  tak sah, bukan orang politik namanya." , demikian yang telah diberitahu oleh seorang ahli politik yang berjawatan tinggi dalam kerajaan disebuah negeri, ketua eksekutif,  pada suatu ketika dulu dalam tahun 1990an. Saya hanya menjadi pendengar yang baik, tidak berkata apa-apa.

Ketika itu, saya tidak anggap itu sebagai nasihat. Pertama, kata-kata itu keluar secara bersahaja dan selamba , tidak ada kesungguhan. Kedua, saya tidak menimbulkan cerita-cerita mengenai politik atau berhajat untuk terlibat dalam politik kepartian. Ketiga, takkan orang seperti beliau yang berkedudukan tinggi mempunyai anggapan seperti itu. Keempat, tanpa kata-kata beliau itu saya telah mempunyai pandangan sendiri mengenai orang politik dan sama ada kata-kata itu bertujuan nasihat atau tidak, ianya tidak mempengaruhi pandangan saya mengenai orang politik. 

Saya anggap tidak lebih dari gurauan dalam berbual kosong.

Itu adalah sikap dan anggapan saya ketika itu, kurang lebih 15 tahun yang telah berlalu.

Sekarang , seperti juga pendirian saya pada 15 tahun yang lepas bahawa apabila seseorang itu terlibat dan menjadi ahli sesuatu parti politik, orang itu sebenarnya hendakkan kuasa. 


Kalau ada yang mengatakan mereka masuk politik demi memberikan perkhidmatan kepada bangsa, agama dan negara saya katakan mereka ini hiprokrit. 

Tapi kalau mereka mengatakan  dengan kuasa yang diperolehi melalui satu pilihanraya dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi , dan dengan itu mereka dapat memberi khidmat yang terbaik dan berkesan, saya mahu juga untuk bersetuju. Cuma masih juga berwaspada.


Pertama politik dan kuasa tidak bolih dipisahkan. Ertinya berpolitik untuk mendapat kuasa. Itu perkara asas. Tidak perlu berlindung atau berselindung dibawah mana-man payung misalnya untuk membela bangsa dan negara, untuk berkhidmat semata-mata dan berbagai-bagai payung lagi. 


Oleh kerana itu orang politik pernah berkata 'dalam politik tidak ada tempoh tamat atau tarikh tamat melainkan ajal saja'. Sama ada sedar atau tidak , kata-kata itu sebenarnya membayangkan bahawa orang politik ini masih lagi rindukan kuasa walaupun telah tidak lagi diberi mandat untuk berkuasa. 

Secara amnya orang politik  di Malaysia terutamanya dari parti politik yang menguasai kerajaan, tambah-tambah mereka yang berjawatan, terlalu mudah dan cepat mengumpul harta dan wang. Tidak sampai dalam beberapa bulan menjawat sesuatu jawatan kerajaan, kita akan nampak perubahan dari segi gaya hidup. Hidup sudah mulai mewah yang dapat kita lihat dari segi kereta, rumah kediaman dan cara berbelanja dan bermacam-macam lagi termasuklah  pengumpulan harta-harta yang lain dalam bentuk tunai dan saham. 


Memang benar tidak semua begitu. Majoriti begitulah. Bagaimana mereka boleh berbuat demikian sedangkan pendapatan yang sah tidak memungkinkan mereka untuk berbuat demikian. Pakai apa jenis mesin kira pun jawapan tetap sama. Mereka tidak akan mampu buat begitu. 


Kalau ada yang ragu, cuba-cuba buat pemerhatian sendiri.  Tapi pemerhatian bukan berasaskan hasad dan dengki.


Adakah kuasa yang diperolehi telah memungkinkan mereka mudah berbuat begitu? Kita percaya, kuasalah alat yang paling ampuh untuk membantu mereka melainkan dulunya sebelum berjawatan mereka orang yang kaya raya. Memang ada yang begitu tapi majoriti serupa macam kita juga, hidup dengan gaya pendapatan orang sederhana dan ada setengahnya agak susah juga.


Seolah-olah kenyataan itu sebagai satu tuduhan yang mengatakan orang politik terlibat dalam salah guna kuasa. Memang benar begitu. Salah guna kuasa ini bukan saja orang politik malah semua orang yang diberi kuasa yang menyelewengkan kuasa itu untuk maksud atau tujuan tertentu.Yang berbezanya ialah kuasa orang politik yang berjawatan kerajaan adalah kuasa yang terlalu besar.  Semakin lama diberi kuasa, kebarangkalian untuk menyalahgunakan kuasa adalah terlalu besar. Tambah-tambah lagi mereka terlalu kebal untuk diambil tindakan undang-undang.

Maka mengapa tidak setelah/sebelum dipilih menjawat jawatan kerajaan, rakyat memberi syarat   bahawa  mereka mestilah  mengistiharkan harta kepada rakyat, orang yang telah mengamanahkan kuasa kepada mereka. Dengan cara ini rakyat dan orang politik yang berjawatan kerajaan itu bolih sama-sama menilai dengan adil atas sesuatu pandangan yang berkaitan gaya hidup orang politik itu.

Perkara kedua ialah hipokrasi, jika berpolitik semata-mata untuk  memberi khidmat demi bangsa, negara dan agama. Tanpa kuasa kita tidak akan mampu memberi khidmat yang baik dan berkesan. Oleh itu tidak ada cacat celanya jika kita masuk politik untuk dapatkan kuasa. Kuasa yang telah diperolehi itu digunakan sebaik mungkin untuk memberi perkhidmatan.

Yang ada dihadapan kita ,yang kita nampak  ketika ini tidak begitu.  


Maknanya apa yang diperkatakan oleh sahabat saya itu adalah benar bahawa orang politik ini sifatnya 'suka berbohong'. Tetapi mengapa kata orang politik saja. Orang bukan politik pun ada yang bercakap bohong malah mungkin ada yang pembohong besar.  

Saya ulang lagi sekali, kesan perbuatan buruk orang politik yang berjawatan kerajaan adalah terlalu besar dan amat membinasakan kepada bangsa, agama dan negara berbanding yang lain. 


Jadi apa yang dikatakan oleh sahabat saya itu walaupun dulunya saya anggap sebagai gurauan dalam bual-bual kosong sebenarnya ia satu ingatan kepada saya bahawa kalau ada kekuatan dalam diri, kalau boleh mempertahankan nafsu salah guna kuasa, kalau boleh menahan hati dan mulut dari tidak bercakap benar dan lain-lain perlakuan dan niat yang jahat maka boleh juga berfikir untuk masuk politik. Jika tidak mampu atau tidak ada ketahanan maka jangan ada angan  untuk masuk dalam politik. Kalau nak masuk juga terimalah hakikat bahawa orang politik ini perlu berbohong. Orang politik mesti cakap bohong kalau tidak, tidak akan kekal berkuasa.


Kalau begitulah sebenarnya kualiti yang mesti ada untuk menjadi orang politik, sekarang ini saya terimalah kata-kata itu sebagai nasihat. Cuma mengapa kita pilih mereka yang jelas perlu mempunyai sifat berbohong. Anih bukan. Sesungguhnya anih sekali.

Sebab itulah sudah tidak menjadi anih lagi jika ada berbagai penipuan dan salah guna kuasa. Rasuah. 

Politik sama ertinya cakap bohong atau P=P (Politik=Pembohong).


Inilah yang saya takut dengan orang politik khususnya yang ada jawatan kerajaan.


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan