Saya tidak dapat membezakan yang mana satu beruk, monyet atau kera. Rupa sama saja. Oleh itu saya ringkaskan ketiga-tiga ini sebagai BMK supaya tidak ada satu dari mereka yang ketinggalan dalam cerita yang saya nak kisahkan ini.
Sekarang untuk melihat BMK tidak perlu lagi pergi ke taman binatang atau zoo. BMK boleh kita jumpa berkeliaran sama ada disekolah, taman perumahan, ditepi atau sepanjang pinggir lebuhraya- semua lebuh raya, dipadang golf dan dimana saja asalkan ada sedikit tumbuhan pokok-pokok untuk mereka bermain dan cari makan sambil melompat dan bergayutan.
Salah sebuah sekolah yang memang terkenal dengan kehadiran BMK ialah Sekolah Menengah Sains Mudzaffar Shah Melaka (Mozac). BMK sudah tidak asing lagi bagi warga Mozac. Malah ketiadaan BMK adalah merupakan satu soalan segera yang akan ditanya. "Mana perginya BMK hari ini?" Satu soalan semacam rindu akan tiada BMK. Tetapi itu hanya soalan imiginasi saya saja.
BMK tidak pernah gagal untuk bersama warga Mozac setiap hari terutama selepas melihat sisa-sisa makanan dibuang di dalam tong sampah yang amat ditunggu dan dirindui oleh BMK untuk mencium dan menyelongkar serta membawa lari apa yang dapat dan sempat. Hari paling ditunggu-tunggu ialah hari Sabtu dan Ahad dimana ibubapa atau penjaga datang menziarahi anak-anak dengan membawa sama berbagai jenis makanan dan juadah. Bukan saja anak-anak beraya sakan menikmati makanan yang dibawa tapi BMK pun menumpang sekaki. Kalau di tinggalkan saja makanan di dometeri terutama Asrama Puteri, tanpa siapa yang mengawasi, jangan kecewa apabila makanan anda hilang dibawa lari.
Bagi setengah pihak BMK ini terlalu mengganggu dan boleh mendatangkan bahaya terutama kepada para pelajar khususnya di Asrama Puteri yang menjadi tempat tumpuan utama. Oleh itu ada yang mencadangkan pihak PERHILITAN mengambil tindakan untuk menangkap atau memerangkap untuk dibawa ketempat lain. Mungkin ke hutan lain misalnya di Taman Negara. Ada pihak yang lain pula buat tak kisah saja dan menganggap BMK itu sebahagian dari kenyataan hidup yang perlu diterima.
Saya bersetuju dengan kedua-dua pandangan diatas. Pandangan pertama ada kekuatannya kerana BMK ini telah tidak lagi takut kepada orang apatah lagi pelajar-pelajar perempuan yang sebahagian besarnya lemah semangat. Maka BMK nampaknya semakin berani dan sedikit bermaharaja lela memasuki dometeri dan mengambil makanan walaupun pelajar berada dalam dometeri. Selain perbuatan itu menakutkan pelajar, ianya adalah merbahaya sekali kerana BMK boleh menyerang jika perbuatannya di halang. Jika pun tidak dihalang, BMK boleh bila-bila masa menyerang sebab BMK memakai undang-undang mereka sendiri-Undang-undang Hutan.
Saya juga bersetuju dengan pandangan kedua juga yang menerima BMK sebahagian dari kenyataan hidup. Sebenarnya tapak Mozac itu asalnya sebuah bukit berhutan. Tempat BMK dan binatang-binatang lain bermastautin, bermain lompat melompat dan bergayutan mencari makan dan bersiang malam. Oleh kerana sebahagian bukit berhutan itu telah menjadi tapak sekolah Mozac dan beberapa Taman Perumahan di sekelilingnya maka dimanakah mereka hendak meneruskan kehidupan. Yang tinggal untuk BMK dan binatang yang lain ialah sejemput bukit berhutan. Jadi tidaklah kita boleh mengatakan BMK itu merampas hakmilik kita seperti makanan. Sebenarnya kita terlebih dulu merampas hak mereka. Dengan demikian kita kena terima BMK itu sebahagian dari jiran kita. Cuma BMK tidak mengamalkan undang-undang kejiranan seperti kita manusia. Apa yang difikirkan menyelera, dia punya sukalah untuk melakukannya, konsep jiran memang tiada. Kita manusia pun serupa juga malah lebih teruk lagi.
Mereka yang tinggal di taman-taman perumahan dan rumah-rumah yang berdekatan dengan hutan tempat kediaman BMK, dimana-mana saja, bukan saja taman-taman perumahan berdekatan Mozac, sudah tentu mengalami peristiwa pasu-pasu bunga pecah akibat perbuatan BMK. Ada pula dapur mereka dimasuki. Selalunya tanaman yang berbuah seperti mangga dan papaya menjadi kegemaran BMK. Tak sempat nak dipetik untuk merasa nikmatnya sang BMK telah terlebih dulu memakannya atau merosakkannya.
Kalau kita hendak marah tidak wajar juga sebab buah-buah itu sebagai ganti buah-buahan hutan yang telah tiada lagi disebabkan memenuhi keperluan kita, sebuah rumah kediaman diatas tapak yang asalnya BMK yang terokai terlebih dulu. Jadi jika BMK makan buah yang kita tanam, halalkan saja, jangan ambil senapang, pistol atau buat perangkap untuk membinasakan mereka. Mereka pun nak hidup juga.
Sekarang saya rasa kita kena terima realiti bahawa BMK adalah jiran kita yang baru, Cuma cara hubungan kita dengan mereka mestilah lain dan berbeza dari kita sesama manusia. Kita mesti berbuat baik, mesra dan pemurah. Tetapi jangan keterlaluan sampai naik muka, habis dapur kita diselongkarnya. Boleh menjadi bahaya kalau kita ada anak kecil, boleh dibawa lari. Jangan pula menakut dan mengancam mereka kerana itu satu perbuatan yang boleh mengundang bahaya, diserang dan digigitnya nanti.
Ertinya kita sebagai manusia yang telah merampas hak BMK dan yang senasib dengannya hendaklah pandai-pandai menyusun cara bagaimana untuk menjadikan BMK jiran baru kita ini jiran yang tidak merunsingkan fikiran.
Realitinya BMK adalah jiran baru kita ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan