Ketawa besar Dolah sambil memegang dan menayang beberapa keping duit kertas 50 ringgit Malaysia dihadapan cermin muka meja solekannya. Dolah begitu seronok sekali ketawa seorang diri lagak orang mabuk alkohol. Dia bangun dari kerusi yang baru saja menerima himpitan punggungnya sambil menutup beg samsonite yang berwarna kelabu berisi kepingan duit kertas nilai yang sama dan dijinjing menuju ke katil. Dia masih ketawa tapi mula perlahan . Dolah terus berbaring diatas katil memegang duit yang sama. Dia melirik senyum menggantikan ketawa yang sudah reda. Kedua-dua matanya ditutup rapat dan tangan yang memegang duit itu telah dibawa ke dada. Tapak tangan kanan menghimpit tapak tangan kiri. Suasana menjadi sepi.
Dolah adalah kawan rapat Mahir semenjak bersekolah rendah di kampong sehingga sekarang. Dolah kekal di kampong tanpa kerja tetap. Tapi beliau amat disenangi orang-orang kampong kerana rengan mulut dan rengan tangannya. Sungguh mesra, menyapa barang siapa yang dia jumpa tak kira tua atau muda. Bila berjumpa yang tua, sapaan salam, beliau yang dulu mula, sambil menghulur tangan kanan dan sedikit membongkok bersalaman dan meletakkan tangan didada tanda hormat dan sapaan ikhlas terhadap orang yang lebih tua . Kalau yang sebaya, bertepuk bertamparlah dia dengan kawan yang dijumpa, berpeluk-pelukan. Jumpa yang muda pula, 'adik sayang' dipanggilnya sambil menepuk-nepuk belakang memuji dengan bahasa yang manja. Pendek kata Dolah 'boleh ke tengah ke tepi', pandai menyesuaikan diri.
Persahabatan antara Dolah masih berterusan walaupun Mahir meninggalkan Dolah untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Setelah tamat pengajian Mahir terus menetap di Kuala Lumpur tetapi beliau tidak pernah gagal sebulan sekali balik ke kampong berjumpa ibubapa dan kawan-kawan lama. Dolah sudah semestinya. Sekarang Mahir telah berumah tangga dan mempunyai 3 orang anak . Seorang yang berhormat.
"Kau sabar dulu. Jangan gopoh. Biarkan aku buat kerja", kata Dolah menasihati Mahir yang menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai ketua pemuda bahagian semasa berjumpa di rumah Dolah pada suatu ketika di hari raya pertama. Mahir bercadang untuk bergiat lebih aktif lagi dalam politik kerana katanya hanya melalui politik dia akan dapat memberi sumbangan yang lebih bermakna. Dia boleh menentukan arah tuju yang hendak dibawa untuk satu masa depan yang sejahtera kepada rakkyat. Hapuskan rasuah dan salah guna kuasa, Pertingkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan yang dilihat terlalu banyak birokrasi, lembab dan tidak sensitif kepada keperluan rakyat.
"Tapi aku tengok sekarang makin teruk. Kita mesti perbetulkan", Mahir berhujah untuk menggesa Dolah segera melakukan sesuatu bagi membolehkannya bertanding bagi jawatan ketua pemuda bahagian. Dolah memandang ke muka Mahir membaca nafsu Mahir yang beriya-iya sangat untuk masuk bertanding. Mahir masih lagi mentah dalam berpolitik. Masih tidak tahu sepak terajang politik. Berpeluk-pelukan semasa berjumpa belum tentu orang itu menyukai kita. Kata-kata pujian juga hanya dibibir semasa berjumpa menunnjukkan seolah-olah terlalu mesra.Namun dibelakang ada berbagai cerita.
"Betullah tu. Tapi kau baru sekali dua jumpa dengan orang bahagian. Ramai yang belum biasa. Orang kampong kita oklah", Dolah mengingat Mahir akan kedudukannya dari sudut pandangan politik. "Sebab itulah aku minta kau kerja kuat sikit. Jumpa dia orang tu. Sebutlah nama aku. Kalau nak atur perjumpaan tak jadi masalah. Tapi hari Sabtu atau Ahad. Hari cuti am pun boleh. Kau konteklah aku". Sekali lagi Dolah menoleh ke muka Mahir. "Mahir, yang kau cakap tu, aku dah buat. Nak atur jumpa pun aku boleh buat. Tapi dengan air liur basi aku ni, susah. Fulush, fulush", Dolah menggesir-gesirkan ibujari dengan jari telunjuk tangan kanan membawanya ke mata Mahir. "Itu rasuah namanya. Aku tak mahu mulakan", Mahir tidak bersetuju, tidak mahu memulakan budaya politik yang tidak sihat ini. Dia mahu menang secara bersih. Tetapi Dolah hanya akan bekerja kuat mempengaruhi orang-orang bahagian jika Mahir bersetuju keluarkan wang. Takkan nak jumpa orang bahagian tak pelawa makan minum. Sesekali mereka juga hendak masuk hotel, makan dan minum di coffee house, bukan digerai-gerai tepi longkang. "Berapa?" Tanya Mahir. "Berilah 20 dulu", cepat Dolah menjawab. "Dua puluh tak jadi hal", Mahir tersenyum senang. "Dua puluh ribu ringgit Malaysia", Intonasi suara Dolah agak tinggi. Kedua-dua mata Mahir terbeliak, mendapat arahan dari otaknya yang tidak percaya dengan apa yang di dengar.
Sebulan selepas perjumpaan di hari raya di rumah Dolah itu Mahir menghubungi Dolah menyatakan akan kesanggupannya untuk jumlah yang diminta. Mahir terlalu terhutang budi dengan Tan Kui Lee yang dipanggil Lee saja seorang kontraktor kelas A. Hubungan Lee dan Mahir begitu rapat dan mesra sekali kerana Mahir adalah pegawai pengurus projek yang memantau pelaksanaan projek organisasinya, projek membangunkan bandar baru dengan menyediakan berbagai kemudahan dan infrastruktur termasuk perumahan dan kompleks perniagaan.
"Tuan tak minat politik ke?" Tanya Lee pada suatu ketika semasa mereka berada disebuah restaurant untuk makan tengah hari selepas meninjau kemajuan projek. "Saya tengok tuan ada onglah. Handsome. Cakap banyak pandai. Suara banyak bagus. Educated. Tentu boleh menang sebab ramai orang suka", sambung Lee memberi galakan dan keyakinan kepada Mahir untuk aktif dalam politik. Lee melihat Mahir mempunyai karekter dan ciri-ciri peribadi yang memang diperlukan oleh seorang pemimpin politik. Tinggi dan segak, mempunyai rupa paras yang kacak, suara yang 'commanding', sesuai sebagai seorang pemimpin.
Otak Mahir dengan segera mengingatkan perbincangannya dengan Dolah dulu. Mesti ada wang 20 ribu kalau nak bertanding jadi ketua pemuda bahagian. "Encik Lee, saya memang aktif politik. Mahu bertanding jawatan. Tapi susah sikit", Mahir telah membuka peluang bagi Lee untuk membantu. Lee faham apa yang dikatakan 'susah' oleh Mahir itu. Ini peluang bagi menanam modal dan Lee yakin pulangannya tentu berbaloi. Apalah sangat bantuan yang akan diberi berbanding dengan peluang akan datang. Bagi Lee terlalu kecil kerana projek yang diuruskannya boleh memberi keuntungan berjuta ringgit.
"Jangan susah tuan , saya boleh bantu. Berapa?" Lee bertanya, air mukanya nampak kesungguhan dan ikhlas untuk membantu. "Dua puluh ribu", tanpa di sedari kata-kata itu terkeluar dari mulut Mahir. Mahir agak malu juga. "No problem tuan" , jawab Lee segera sambil berdiri menepuk-nepuk belakang Mahir.
Dengan wang dua puluh ribu Dolah telah membeli bilangan surah Yassin yang mencukupi. Baki wang telah diperuntuk-untukkan bagi perbelanjaan tertentu. Belanja makan minum perjumpaan pertama, kedua, ketiga keempat dan kelima di beberapa coffee house hotel-hotel ternama. Wang bagi ganti pendapatan ahli-ahli yang terpaksa bercuti kerja. Dan belanja luar jangka. Semua wang itu telah digunakan sebaiknya tanpa mengambil peluang menggunakan untuk kepentingan dirinya.
Mahir telah berjaya diplih sebagai ketua pemuda bahagian. Memenangi pilihanraya. Sekarang berjawatan terlalu penting untuk merealisasikan idealnya.
Secara perlahan Dolah membukakan matanya. Wang yang dipegangnya tadi masih lagi melekat ditangan kanan. Mahir telah meminta bantuan untuk Dolah memujuk seseorang supaya tidak memanjangkan cerita yang boleh memburukkan nama baiknya. Yang boleh menjejaskan masa depan politiknya. Mahir telah melakukan satu kesalahan yang tidak akan dapat diterima oleh masyarakat . Perbuatan yang amat terkutuk. Kesalahan yang jika dibicarakan dan jika didapati bersalah, rumah kediamannya di penjara. Kena sebat pula.
Dolah menoleh ke arah beg samsonite berwarna kelabu yang terletak disebelah sisi kanannya. Dikira bersama dengan wang yang ada ditangannya, jumlahnya 25 ribu. Lima ribu telah diberikan kepada seseorang untuk menutup mulut supaya tidak memanjangkan cerita. Orang itu bersetuju kerana apalah yang mampu di buat, seorang tua yang tidak bekerja. Yang tidak pernah bermimpi untuk melihat apatah lagi memegang duit sebanyak itu, lima ribu.
Dolah tersenyum sendirian dan bangun menjinjing beg itu menuju kecermin dimeja soleknya sekali lagi. Dia telah beritahu Mahir bahawa orang tua itu meminta wang sebanyak 30 ribu. Mahir dengan segera bersetuju kerana nama baik dan masa depan politiknya lebih penting. Lagi pun apa ada hal 20 ribu, encik Lee bila-bila sedia membantu. Dolah meletakkan beg itu diatas meja dan membukanya. Dolah mula ketawa. Matanya memandang ke arah cermin dihadapannya untuk lebih puas melihat gelagat sendiri. Ketawa besar , "Padan muka . Eh bukan aku . Kau lah Mahir", Dolah terus ketawa memanjang seperti orang mabuk alkohol. Banyak wang songlap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan