Theflowersellingboy

Ahad, 5 Jun 2011

Catatan Sebuah Cerita Di Zaman Sebelum Merdeka.

Sekarang saya menghampiri umur bonus, tidak beberapa bulan lagi. Pengertian umur bonus ini anda carilah sendiri. Yang hendak saya paparkan hari ini ialah  Catatan Sebuah Cerita Di Zaman Sebelum Merdeka , sebuah kisah benar. Semoga kisah ini dan kisah-kisah lain yang membawa mesej yang sama dapat menghapuskan perasaan irihati, benci membenci dan segala perasaan buruk sangka sesama insan, tidak kira siapa kitra, warna kulit keturunan, bangsa dan agama.

Sepanjang perjalanan hidup berbagai peristiwa yang berbagai rasa telah pernah kita lalui. Kadang-kadang berulang beberapa kali . Dan ianya tidak semestinya berhenti buat kali itu sahaja sebagai ulangan, mungkin cerita yang sama dibelakang latar yang berbeza pada masa yang akan datang mengetuk pintu kehidupan kita semula. Maka ketika itu fikiran kita akan menyambung cerita-cerita yang lama yang pernah kita rasa semacam satu siri dalam sebuah drama. Cuma bezanya ialah cerita kita adalah yang benar-benar berlaku dalam perjalanan hidup kita.

Saya tidak pula ingat pada tahun berapa, cuma yang pasti ketika itu masih kanak-kanak dan belum lagi mula membaca A, B, C ....., belum bersekolah. Jadi tidak salah dianggarkan ketika itu usia saya belum mencapai 6 tahun. Anggaran saya diantara 5 mendekati 6 tahun. Ketika itu saya hanya ada seorang abang yang juga belum bersekolah. Saya anak yang kedua dari dua adik beradik yang tinggal bersama dengan kedua ibubapa disebuah berek atau rumah kediaman dua bilik yang disediakan oleh majikan, kerajaan  Malaya. Bapa saya seorang anggota keselamatan berkhidmat dalam pasukan yang di panggil Special Constable atau singkatan SC berangka siri 32814.

Tugas dan peranan SC ketika itu ialah untuk mempertahankan kepentingan penjajah Inggeris dari segi keselamatan nyawa dan harta benda dari ancaman 'musuh' yang dipanggil kominis. Satu darpada harta penjajah Inggeris yang penting ketika itu ialah ladang getah atau rubber estate yang banyak dan luas berhektar-hektar. Maka di dalam kawasan estet getah ini atau yang berhampiran akan didirikan beberapa rumah untuk menempatkan anggota SC. Saya tidak pasti berapa kesemua anggota SC yang ada, cuma dapat meneka tidak lebih dari sepuluh. Kesemuanya berkeluarga.

Pihak Inggeris atau lebih tepat pengurusan estet memerlukan anngota SC ini untuk melindungi pekerja-pekerja estet supaya tidak diganggu gugat oleh kominis bagi membolehkan pekerja-pekerja menorih dan mengeluarkan hasil susu getah estet berkenaan. Hasil getah ini adalah penting sebagai satu dari sumber bagi membangunkan  ekonomi England.

Maka pada suatu hari disebelah pagi pukul 9 atau sepuluh pagi saya mendengar tangisan suara anak kecil di sebuah rumah yang tidak jauh dari berek tempat tinggal tetapi di luar pagar kawasan berek . Saya memaklunkan kepada emak akan tangisan anak itu yang semakin kuat tidak berhenti. Dengan segara emak dan saya menuju ke rumah berkenaan yang pintunya terbuka terdedah, rumah seorang Cina yang kami pun tidak kenal. Maka ternampaklah seorang anak kecil dalam buaian yang menangis teresak-esak mungkin kelaparan susu. Emak mengambil anak itu dan terus bawa balik kerumah dan diberi susu pekat dalam botol. Tidak pula saya ingat dimana emak mendapatkan puting. Anak kecil itu tidak menangis lagi setelah diberikan susu.

Emak tidak pula mengesyaki anak itu ialah anak seorang kominis atau yang bersimpati dengan kominis kerana kepercayaan ketika itu bahawa sebahagian besar orang Cina adalah anggota kominis atau bersimpati dengan gerakan kominis.

Dalam hati kecil saya telah timbul rasa kasih sayang dan ingin memiliki anak kecil itu. Namun disebelah petang pukul dua atau tiga datang seorang perempuan Cina ke rumah mengadu kehilangan anak. Ketika itu saya dan emak diluar rumah. Mendengarkan itu emak lantas menyatakan dia telah mengambil anak itu kerana terlalu kasihan anak itu menangis. Rupa-rupanya anak itu ditinggalkannya didalam buaian keseoranagan kerana dia pergi menorih dikawasan yang berdekatan. Namun dia tidak kedengaran suara tangisan anaknya itu. Terlalu sukanya hati perempuan Cina itu sehingga keluar air matanya sambil memeluk rapat anaknya itu mencium bertubi-tubi kali sebagai menyatakan kasih sayang dan kesyukuran yang amat sangat. Air mata saya turut menitis menumpang rasa kepiluan dan kesukaan melihat lagak perempuan Cina itu. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah sudi menjaga sementara anaknya itu.

Sebagai tanda ingatan akan budi emak saya itu, permpuan Cina itu membeli sedikit buah-buahan dan diberikan kepada kami. Pada setiap hari raya puasa dan hari raya Cina perempuan Cina itu tidak gagal memberikan kami buah tangan seperti buah-buahan dan kuih bakul kegemaran saya. Tetapi apaila bapa bertukar kerja ketempat yang lain hubungan kami terputus sehingga sekarang. Saya mengharapkan anak itu dan emaknya masih ada dan hidup berbahagia.

Pernah juga baru-baru ini saya mengunjungi berek yang kami duduk dahulu. Yang kami dapati bahawa berek itu telah tiada . Tapi kawasan itu masih juga digunakan sebagai tempat bagi anggota keselamatan iaitu sebuah balai polis dan beberapa rumah kediaman anggota . Dulu ianya tempat bagi anggota menjaga kepentingan Inggeris dari ancaman kominis dan sekarang menempatkan sebuah balai polis dan kediaman anggota untuk menjaga keselamatan negara. Nama tempat itu ialah Tanjung Minyak.

Sekarang setiap detik kita menanamkan rasa kebencian, kemarahan dan tuding menuding diantara kita. Kita semacam tidak ada rasa kasih dan sayang serta hormat menghormati diantara satu dengan yang lain. Mungkin kita sekarang telah hidup dalam serba mewah sehingga kita yang berada dan telah menjadi kaya raya telah lupa bahawa kita masih lagi memerlukan sesama kita walaupun kita berbeza taraf dan kedudukan sosial. Kita sekarang terlalu tamak dan haloba. Orang lain tidak penting dalam kehidupan kita.

Mereka yang susah atau berpendapatan kecil pula memandang yang kaya dengan seribu curiga dan iri hati, tambahan pula yang kaya raya bukan orang sebangsa atau seagama dengannya, disamping berlagak terlalu mementingkan diri tanpa rasa terdetik di hati bagi membantu mereka yang memerlukan, mereka atau warga senegara yang hidup lebih susah dari mereka. Dik kerana tamak dan haloba, segala usaha untuk membantu yang susah dilihat sebagai ancaman kepada kekayaan mereka.

Inagtlah bahawa kita hidup berpasangan dan sentiasa perlu memerlukan. Ada lelaki lawannya perempuan. Ada orang susah disebabkan kita banding dengan orang lain yang lebih senang. Ada pemimpin dan ada pengikut maka mengapa pemimpin itu menjadi begitu sombong terhadap orang yang menjadikan dia sebagai pemimpin.
 
Bagi setengah orang , catatan cerita anak kecil berbangsa Cina dalam buaian yang menangis  dan dijaga sementara oleh orang Melayu berteraskan kasih sayang pada zaman sebelum merdeka itu adalah sebuah peristiwa yang kecil  .  Jika begitulah dalam sanubari mereka, maka saya yakin rasa benci membenci akan berterusan dan berkekalan dalam sebuah negara yang kononnya dikatakan 1Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan