Dari sehari ke sehari perjalanan masa di Malaysia disertai dengan isu-isu yang tidak memberansangkan bagi pembinaan sebuah negara bangsa, sebuah negara yang mana kesemua rakyatnya dapat hidup dalam suasana sebagai satu bangsa yang bersatu, aman dan harmoni. Sehingga ada yang khuatir, sekiranya musuh datang menyerang mungkin kita tidak dapat secara bersama mempertahankan negara kerana telah timbul suara-suara yang lebih cenderung untuk melepaskan kewarganegaraan mereka dan berhijrah kenegara lain yang mereka suka. Keadaan bertambah teruk lagi apabila ada suara-suara yang terlalu gembira untuk mempersoalkan taat setia warga yang ada.
Sesungguhnya apa yang berlaku ketika ini akan membawa kesan negatif jangka panjang yang terlalu panjang, yang merosakkan. Kesemuanya berpunca dari masing-masing kumpulan atau lebih tepat lagi masing-masing keturunan yang berasaskan kaum/asal usul mendakwa mereka tidak mendapat hak dan kedudukan sepatutnya sebagai warga negara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kesemuanya tidak berpuas hati walaupun ada yang senang lenang, tidak kira latarbelakang mereka.
Sebahagian besar Rakyat Malaysia sedar bahawa Persekutuan Tanah Melayu/Malaya terbentuk adalah berpaksikan perbezaan. Mereka terdiri dari anak negeri atau orang asal (orang Melayu dan Bumiputera yang Lain) dan orang yang mendatang , mempunyai bahasa dan budaya serta agama yang berbeza. Perbezaan itu tidak pula menghalang mereka untuk berpakat , duduk bersama dan berunding untuk membebaskan diri dari penjajahan British. Maka mereka telah bersetuju untuk hidup bersama dibawah naungan sebuah perlembagaan yang di panggil Perlembagaan Persekutuan, sebuah perlembagaan yang telah mengambilkira perbezaan-perbezaan itu yang diterjemahkan dalam semangat menang-menang. Ertinya kepentingan semua pihak terjamin walaupun masing-masing membuat pengorbanan.
Orang asal bersedia menerima orang yang mendatang sebagai warganegara manakala yang mendatang pula bersetuju dengan kedudukan yang istimewa diberikan kepada yang asal dari segi bahasa dan budaya serta agama termasuk hak untuk membantu memperbaikki taraf sosio-ekonomi seperti peruntukan biasiswa. Bahasa dan agama yang mendatang tidak pula dilarang untuk diamalkan.
Apabila terbentuknya Malaysia terdapatlah peruntukan-peruntukan baru untuk kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak. Namun peruntukan asal bagi hal-hal yang dinyatakan masih kekal.
Semua pihak telah bersetuju bahawa kita berbeza tetapi tetap bersama, tetap menjunjungi perlembagaan kita, perlembagaan yang sama. . Jadi apa masalah sampai kita tidak berpuas hati mahu berhijrah dan menganggap diri sebagai warga kelas kedua.? Dan ada pula yang mahu mengnyahkan warga sendiri. Apa sudah jadi? Tak terfikirkah perkara yang tidak baik akan terjadi kalau kita sentiasa begini. Masing-masing tidak berpuas hati, kata-mengata yang pihak lain dilayan atau diberi lebih dari yang pihak sendiri perolehi dan sebaliknya. Benar ke begitu? Atau masing-masing terlalu tamak? Pentingkan pihak Sendiri.
Kalau masing-masing pihak berfikir begitu, dan/atau berperangai untuk membolot semua untuk tembolok pihak sendiri dan/atau hanya pihak sendiri saja perlu hidup sehingga kiamat maka semuanya tidak layak menjadi warga Malaysia kerana bukan itu yang dikehendaki semasa kita bermuafakat dulu. Tidak layak kita bernaung dibawah Perlembagaan Persekutuan kerana kita telah tidak percaya perlembagaan itu.
Jangan kita berfikir begitu, jangan tamak dan jangan mahu hidup sendiri. Kalau ada yang kita tidak setuju atau terdapat penyelewangan dari yang telah dipersetujui, rujuk semula kepada perlembagaan.
Ingatlah ada orang Cina yang miskin susah. Ada orang Melayu yang hidup merempat sehelai sepinggang, papa kedana. Orang India sama juga.. Kadazan-Dusun, Murut, Dayak Iban, Melanau, Orang Asli, Orang Ulu, dan banyak lagi rumah mereka masih lagi pakai pelita dan makan sekadar yang ada.
Orang Melayu pun ada yang senang lenang tapi sedikit saja. Orang Cina pun sama, tapi jumlahnya banyak juga. Orang India ada yang kaya , tidak semua tetapi masuk juga senarai antara yang terkaya di Malaysia sama juga dengan orang Cina. Yang lain-lain masih kedudukan yang sama,walaupun seorang dua telah kedepan sedikit.
Jadi mengapa kita cakap fasal susah orang sendiri. Kenapa mereka itu bukan orang kita? Kenapa sendiri yang senang tidak mahu membantu kita yang susah.
Orang-orang politik kesemuanya berfikiran begitu, tidak puas hati mahu sendiri hidup sampai kiamat. Kalau anda semua begitu tidak mengapa tetapi anda menyuburkan kepada yang lain walaupun anda sentiasa bercakap fasal keharmonian, perpaduan, keamanan, saling terima menerima dan banyak yang indah-indah lagi. Anda bolehlah berbuat begitu sebab kalau terjadi yang tidak baik, anda boleh terbang atau sekurang-kurangnya naik kapal menyelamatkan diri. Kami yang sebahagian besar hidup sederhana dan ada yang miskin, yang baik-baik tidak mampu berbuat begitu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan