Theflowersellingboy
Isnin, 2 Mei 2011
Duit Hutang.......3
Jam 8 malam, ketika ini Arrijal sedang duduk diruang dapur rumahnya sambil bersandar disatu tiang berhampiran dengan ruang dimana isterinya al-Sakirah sedang menyediakan makan malam. Anak tua mereka al-Hasan telah keluar ke pekan untuk menjamu selera bersama dengan kawan-kawan. al-Ai dan al-Aman masih lagi belum balik dari belajar mengaji disurau seberang. Biasanya mereka berdua akan sampai dirumah jam sembilan malam. Maka makanan yang sedang dihidangkan itu adalah bagi mereka berdua dan dua orang anak iaitu al-Jahan dan al-Iyah.
Seperti biasa Arrijal sungguh berselera dengan masakan isterinya itu walaupun hidangannya tidak banyak berbeza, sambal tumis dan ikan goreng. Setelah kenyang Arrijal bersandar semula ditiang yang sama. Kedua-dua anaknya itu masuk keruang tidur untuk bersedia melelapkan mata. al-Sakirah pula telah siap berkemas dan duduk berdekatan dengan Arrijal.
Berat mulut al_sakirah untuk menyatakan sesuatu. Sesuatu yang sentiasa diingatkan oleh al-Ai, disebelah pagi dan semasa balik dari sekolah, bayaran wang peperiksaan darjah enam sebanyak RM3.00. Hujung bulan ini pihak sekolah telah memberi tempoh untuk dilunaskan. Jika tidak al-Ai tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut. Tidak masuk peperiksaan bermakna al-Ai tidak berpeluang untuk memasuki sekoplah menengah. al-Sakirah tidak mahu al-Ai mengikuti jejak langkah abangnya al-Hasan yang tidak diberi peluang menduduki peperiksaan masuk ke sekolah menengah itu, dan akhirnya terpaksa kerja kulikang. 'Kasihan al-Hasan', terkeluar kata-kata itu dari al-Sakirah tanpa disedari.
"Apsal dak San tu", tanya Arrijal apabila terdengar keluhan al-Sakirah yang terkeluar secara tanpa disedari. Terkejut juga al-Sakirah dengan pertanyaan Arrijal itu. Keluhan itu hanya untuk dirinya saja, tidak untuk orang lain. Tidak juga untuk Arrijal. "Apsal?" Desak Arrijal sambil membetulkan sandaran badannya ditiang apabila al-Sakirah lambat menjawab perkara yang ditanya. al-Sakirah tidak juga segera menjawab kerana bukan hal al-Hasan yang hendak diselesaikan pada malam ini tetapi al-Ai, wang peperiksaan. al-Sakira tidak tahu bagaimana hendak menghilangkan isu al-Hasan itu dari perbincangan yang hendak dimulakan. "Hei, pekak ke?' Tengkeng Arrijal yang mula naik berang tidak sabar. Terperanjat al-Sakirah mendengar tengkengan Arrijal itu.
"Dak san tadi kepekan, dia......", belum sempat al-Sakirah menyudahkan ceritanya Arrijal bersuara tinggi memberitahu bahawa dia memang sudah tahu al-Hasan ke pekan tapi kenapa perlu al-Sakirah mengeluh. "Kesian dia kerja penat, kerja kulikang dapat tak seberapa" jelas al-Sakirah menyatakan kesedihannya walaupun bukan itu perkara sebenar yang hendak diberitahu. Dia hendak beritahu supaya nasib al-Hasan itu tidak akan menimpa pada al-Ai. "Semua orang macam tu. Takkan dah berhenti sekolah tak mahu kerja. Kalau masih sekolah lain cerita", Suara Arrijal mula perlahan semacam ada simpati nampaknya.
Suasana sunyi seketika. al-Sakirah telah nampak jalan untuk memulakan bicara mengenai hal al-Ai dan duit periksa. "Tadi dak Ai beri tahu nak bayar duit periksa. Cikgu beri tempoh hujung bulan ni. Tiga ringgit", al-Sakirah lancar berbicara menyatakan hal yang sebenar yang ada di otak kepalanya. Dia nampaknya lega. Terkeluar sudah perkara yang telah disimpan semenjak pagi tadi. al-Sakira pun merasa hairan kerana Arrijal tidak memberi jawapan yang spontan, Keadaan seperti ini membuatkan al-Sakirah bertambah berani untuk meneruskan bicara."Kalau takda duit kita jual saja lembu" cadang al-Sakirah penuh yakin. Sepantas kilat Arrijal berang "Apa? tiga ringgit , nak jual lembu? Pendek betul akal kau ni". al-Sakira pucat dan diam membisu, tahap keyakinannya luntur keparas kosong.
Di hadapan pintu sebelah dapur, telah tercegat berdiri al-Ai dan al-Aman. Arrijal dan al-Sakirah berhenti dari meneruskan perbincangan mereka walaupun mereka tahu anak-anak mereka itu telah mendengar suara Arrijal yang berang meninggi itu. al-Ai mendahului adiknya berjalan tunduk menuju kedapur untuk makan
malam.
al-Sakirah dengan perlahan bangun menuju kearah kedua-dua anaknya yang sedang makan. al-Ai nampaknya macam tidak ada selera pada malam ini. Dia tunduk saja tanpa bertanya apa-apa walaupun al-Sakirah ada bersama. Al-Sakirah juga tidak berani berkata-kata melainkan "Apsal makan sikit Ai?" al-Ai tidak menjawab, dia bangun membawa pinggan ditangan untuk dibasuh. al-Aman masih meneruskan kunyahannya.
Arrijal masih lagi menyandarkan badannya ditiang yang sama semasa anak-anaknya, al_Ai dan al-Aman berjalan tunduk melintasi masuk ke ruang tidur. al-Sakirah hendak menuruti sama tapi langkahnya terhalang apabila suaminya Arrijal bertanya , "Berapa ringgit?', Sengaja Arrijal bertanya soalan yang dia telah sedia tahu akan jawapannya sebagai tanda ruang menyelesaikan bayaran periksa itu masih terbuka. "Tiga", jawab al-Sakirah ringkas tapi penuh harapan. Arrijal bangun untuk masuk ke ruang tidur "Nantilah, aku cuba pinjam dengan si Tambi", Arrijal terus melangkah diikuti al-Sakirah yang meraba-raba perutnya yang menonjol kedepan dan berbisik dihati, kali ini dengan penuh sedar supaya tidak didengari, "Hutang lagi. Yang ni?" Tapak tangan kanannya menekan perut yang menjojol itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan