Theflowersellingboy

Isnin, 16 Mei 2011

Kita bila pula?

Dia, Amin, segera mengambil laptop yang dipinjam dari anaknya untuk menulis sesuatu. . Dia berada dalam bilik no. 12 di Rumah Rihat Kuala Kangsar setelah balik dari menikmati makanan kampong di Restoran Tasik Raban. Isterinya sedang berihat sambil menonton tv. Amin mula menulis.

Beberapa hari yang lepas aku sibuk  menguruskan kerja pengawasan keatas kontraktor yang membuat kerja-kerja pembersihan dan penceriaan dirumah.

Isteri ku telah meminta supaya sambutan hari raya tahun ini disambut dengan lebih ceria berbanding tahun sebelumnya kerana semua anak-anak akan dapat beraya sama. Siti akan balik bercuti pada Ogos nanti dan Lukman akan balik pada bulan Jun tidak berapa lama lagi . Bertambah ceria pada tahun ini apabila aku mendapat seorang lagi cucu lelaki menjadikan dua orang setelah tahun lepas cucu pertaman ku yang juga seorang lelaki dilahirkan. Wah seronoknya tiap-tiap tahun dapat cucu.

Bukan mudah untuk dapat kumpulkan mereka bersama pada hari raya terutama bagi dua anak aku yang telah berumah tangga yang terpaksa bergilir destinasi bagi menyambut hari raya. Tahun lepas  mereka telah menyambut hari raya dirumah mertua masing-masing. Pada tahun ini jika aturan giliran masih diamalkan, kedua-dua anak aku itu akan beraya dirumah ku.

Maka isteriku telah meminta supaya rumah dan kawasan rumah mestilah nampak lebih cantik dan menarik untuk menyambut hari raya bersama dengan anak-anak dan cucu. Pagar dihadapan rumah dicat baru, pokok-pokok bunga ditukar ganti dengan yang baru, pokok-pokok pisang kipas yang telah tua dan menjadi kurang menarik yang semakin meninggi perlu ditebang dan pokok-pokok dibelakang rumah yang condong kerumah juga perlu ditebang. Kos yang terlibat aku yang tanggong.

Namun aku  terpaksa meminta   pihak kontraktor memberhentikan kerja buat sementara kerana aku  dan isteri  ke Kuala Kangsar untuk satu Majlis Hakikah untuk cucu ku yang baru Ahmad Naqib dirumah besan.

Besan telah menumbangkan seekor lembu untuk tujuan majlis hakikah itu, maklumlah ini adalah cucunya yang  pertama . Majlis itu sungguh meriah yang telah dihadiri oleh ramai para jemputan dari jauh dan dekat. Besan suami isteri terlalu berbesar hati dan amat gembira dengan kehadiran para tetamu jemputan khususnya kesediaan aku suami isteri untuk meraikan bersama.

Di Majlis ini aku berkenalan dengan seseorang yang memperkenalkan diri sebagai  Yusuf . Yusuf seperti aku juga yang mana sebahagian besar kawasan kepalanya terang licin berkilat, cuma disisi kiri dan kanan terdapat rambut yang nipis memutih. "Saya Amin, besan tuan rumah. Dari Selatan, Melaka. Tuan?" Aku  memulakan cerita sebagai salam perkenalan. "Yusuf. Bila sampai?" Yusuf memperkenalkan diri dan mula bertanya. Aku memaklumkan bahawa baru sampai semalam dan tinggal disebuah rumah 'homestay' yang telah ditempah oleh menantu.

"Di sana ada buat macam ni ke?"  Tanya Yusuf untuk mengetahui amalan dan budaya ditempat orang. "Ada tapi yang ini nampaknya besar dan meriah. Seekor lembu, macam majlis kahwin" jawabku tersenyum gembira. Yusuf pun turut tersenyum sama.

Aku percaya majlis ini memakan belanja mencecah tiga ribu. Untuk seorang cucu yang dikasihi nampaknya besanku sungguh berbesar hati sekali. "Apa ada pada duit", mungkin itu yang terungkap dalam hati kecil  besanku suami isteri untuk satu hasrat yang suci, bagi mengadakan majlis hakikah cucu mereka yang pertama.Cucu aku juga.

Terdapat sedikit perbezaan berbanding dengan majlis hakikah yang di buat di Rembau, Negeri Sembilan oleh besan ku yang pertama semasa majlis hakikah cucu ku yang pertama dulu. Di Rembau diadakan selawat dan berzanji oleh kaum lelaki termasuk bacaan tahlil dan doa selamat. Semasa mereka berselawat sambil berdiri, anak yang diraikan itu di bawa kepada mereka untuk mengusap rambutnya sambil menghadiah wang kepada anak itu dan tuan rumah membalas dengan menghadiahkan buah tangan.

Di Kuala Kangsar pula , kaum perempuan bermarhaban, berselawat dan menzahirkan lirik/kata-kata nasihat yang berirama dan mendoa agar anak itu diberi kesihatan sambil anak dibuai dalam buaian yang disediakan. Selepas itu diikuti dengan kaum lelaki bertahlil dan membaca doa selamat. Tetamu yang datang juga menghulurkan hadiah berbentuk wang dan barangan/pakaian. Begitu kayanya adat dan amalan masyarakat Melayu yang masih diteruskan walaupun berbeza mengikut tempat.  

Tetapi aku bila pula? 

Amin dengan tiba-tiba berhenti menulis apabila soalan itu menyelinap dalam kepalanya. Balik ke Melaka nanti, kontraktor sedia menunggu untuk satu jumlah wang pembayaran kemajuan kerja. Amin memandang isterinya yang sedang asyik menonton tv. "Kita bila pula?" Isterinya tercengang dengan soalan yang datang tiba-tiba  itu sehingga mengganggu fokusnya pada cerita yang sedang ditonton. "Apa bang?" Tanya isteri Amin untuk dapat lebih kepastian soalan yang ditanya.

Amin tidak terus menjawab. Dia bangun dan meninggalkan laptopnya diatas meja menuju ke kantin.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan