Theflowersellingboy

Khamis, 19 Mei 2011

Nenen Untuk Naqib, Tokpa Pening Kepala


 Ahmad Naqib yang sedang nyenyak tidur selepas didodoi oleh tokpa
 
Selepas solat Subuh dia akan melelapkan matanya barang sepuluh minit, sudah cukup untuk dibangun semula bagi memulakan rutin pagi seterusnya. Semenjak dua bulan ini, rutin paginya telah berubah. Biasanya selepas Subuh dia akan bersiap sedia dengan pakaian sukan (track suit) untuk bersenam pagi mengelilingi halaman rumah sebanyak 100 kali pusingan yang mengambil masa hampir 1 jam. Itulah nasihat yang telah diberikan oleh doktor yang melakukan pembedahan pintasan jantung, supaya dia sentiasa melakukan senaman .Tetapi semenjak anak keduanya melahirkan seorang putera pada Mac yang lepas dan buat sementara tinggal bersama dengannya rutin hariannya telah diubahsuai .

"Pa ambil Naqib", kejut anaknya yang sedang mendukung cucunya. Dia membuka mata memandang kearah cucunya yang kedua-dua tangannya bergerak keatas kebawah seperti orang sedang bersilat. Dia bangun dan terus mengambil cucunya dengan meletakkan kepala diatas lengan kanan dan tapak tangan kanan menggalas badan dengan disokong tapak tangan kiri. Dia mula bergerak melangkah setapak dua ke hadapan dan berundur ke belakang untuk mendodoi cucunya sambil menghayun perlahan kekiri dan kanan cucu yang berada dalam dakapan tangannya.

"Naqib budak baik
Dia rajin sembahyang
Dia budak cantik
Semua orang sayang"

Itulah lirik yang sentiasa mengiringi hayunan semasa mendodoi cucu yang dalam dakapannya untuk melenakan anak kecil itu supaya melelapkan mata. Mundar mandirnya ke hadapan dan berundur ke belakang dilakukan selama mata cucunya belum tertutup. Akhirnya setelah 10 minit mundar mandir, dia telah berjaya menidurkan cucunya dan membaringkannya diatas katil.

Dia berihat duduk menyandarkan badan disofa. Dia mula memikirkan cara bagaimana anaknya itu akan menguruskan cucunya apabila cuti bersalin akan berakhir pada hujung Jun yang akan datang ini. Anaknya seorang yang bekerjaya, seorang penjawat awam, seorang doktor yang baru saja tamat latihan 'housemanship'nya. Bekerja disebuah hospital disebuah daerah di Johor. Menantunya bekerja dengan sebuah syarikat gas dan minyak di Kuala Lumpur . Pada setiap petang Jumaat akan balik ke rumah dan pada pagi Isnin akan ke Kuala Lumpur sehinggalah  hari Jumaat berikutnya.

'Kesian. Takkan nak berterusan', Dia bangun dan memandang ke arah cucunya. Kemudian duduk semula. Fikirannya mula diganggu dengan perkara-perkara yang negatif, perkara-perkara yang buruk yang akan menimpa keatas cucunya nanti. Dia teringat cerita pembantu rumah yang melarikan anak yang dibawah jagaan semasa kedua ibubapa bekerja. Pembantu yang memberi ubat tidur untuk memudahkan anak tidur. Sekali lagi dia mengalihkan pandangan kearah cucunya. Tiba-tiba air matanya mula mengalir membasahi pipinya. Dia tidak mahu perkara itu berlaku keatas cucunya. Dia terlalu takut. ' Ya Allah, jauhilah perkara ini. Lindungilah cucuku ini. Kasihannilah dia yang tidak berdosa', tercetus kerisauan hatinya memohon pertolongan dari Allah.

'Hantar ke nursery saja', hatinya membisik sebagai pilihan yang lebih selamat. Tapi dia juga terbaca dalam akhbar mengenai pengasuh di sebuah nursery yang membiarkan anak menyusu sendiri sehingga tersedak dan meninggal dunia. 'Ahh semua tak boleh harap. Tak boleh percaya. Bayaran mahal tapi apa telah terjadi?' Dia mula marah dan sakit hati.

Dia bertambah runsing. Fikirannya semakin buntu. Dia masih lagi belum dapat mencari jalan yang terbaik cara bagaimana penjagaan cucunya nanti. Masa telah dekat menghampiri. Pejam celik pejam celik tanpa disedari masa akan tiba, tidak dapat disekat. Dia kena cari penyelesaian yang terbaik demi cucu yang disayangi.

'Macam mana kalau Naqib dijaga buat sementara. Tapi berapa lama?' Dia mencadang dan dia mempersoalkan tempoh masa jagaan. Sebenarnya hati kecilnya juga tidak bersetuju untuk memisahkan diantara anak dengan kedua-dua ibubapanya. Seperti dia dahulu, sewaktu menimang anak kesayangan, dia tidak merelakan anaknya dijaga oleh ibubapanya atau mertuanya dengan memisahkan anak-anak darinya. Ini membuatkan nenek mertuanya bersetuju untuk tinggal bersama dengannya untuk menjaga cicitnya.

Dia sekali lagi bangun semacam telah nampak jalan keluar. Dia menuju ke tingkap yang masih lagi belum terbuka. Dia membuka tingkap seluas mungkin untuk menghirup udara luar. Terasa angin mencecah pipinya. Matanya menikmati kehijauan pokok dan warna-warni bunga di halaman rumah. Sungguh menyegarkan fikiran. Semuanya itu adalah hasil tangan isterinya yang sangat tekun dan rajin menguruskan persekitaran rumah. "Rumah kalau tak ada pokok dan bunga, nampak malap, bang. Tak ceria. Hidup kita pun tak tenang. Jam kalau tengok pokok dan bunga ni, rasa teeenang sangat. Seronok. Hilang stress" Dia tersenyum sendirian mengingatkan kata-kata isterinya semasa menyiram pokok bunga pada suatu pagi. 

Isterinya seorang yang meminati keindahan taman. Persekitaran rumah mesti dihiasi dengan pokok dan bunga-bungaan yang berbagai jenis yang menarik, yang mewangi mahupun yang cantik warnanya. Setiap pagi selepas sarapan akan diulit belai pokok-pokok bunga dengan siraman air dan baja serta semburan racun menghindar ulat serangga.. Daun-daun yang telah kuning tua, yang telah digigit ulat serangga akan digunting buang. Isterinya akan mengajak sama dia membantu melakukannya. Dia tidak keberatan untuk menolong sama tapi ada ketikanya dia memberi komen yang tidak disenangi isterinya.

"Minggu lepas kita dah ubah ke sudut sana. Hari ni nak balik ketempat asal semula. Penatlah" Komen ini membuatkan isterinya menarik muka seribu wajah, merosakkan mood cerianya. "Jemulah kalau tak diubah-ubah. Tempat yang sama saja. Kita mesti kreatif bang. Bukannya berat. Eksersais bang", Biasanya itulah alasan yang digunakan oleh isterinya semasa meminta dia membantu untuk mengalihkan pasu-pasu bunga kesudut atau tempat yang dirasakan boleh mewujudkan satu kelainan dan keindahan mata memandang.

Dia tersenyum lagi seperti pada mula-mula matanya menikmati keindahan pemandangan di halaman rumahnya. 'Betul juga kata si Jam tu. Kalau tidak boring tengok laman yang kosong', bisiknya mengakui kebenaran akan kata-kata isterinya itu. Dia menghargai apa yang telah dilakukan isterinya itu. Cuma kadang-kadang boleh menimbulkan masalah bagi dia suami isteri untuk keluar pergi bercuti sehari dua, mendapatkan suasana dan pemandangan yang baru kerana isterinya sentiasa risau pokok tanamannya akan layu dan mati, tidak disirami terutama pada musim panas kering. Apa tah lagi monyet, beruk dan kongkang selalu mengunjungi rumahnya untuk mencari makan di pokok-pokok besar yang tumbuh liar di persekitaran rumahnya. Kadang-kadang binatang itu merosakkan dan memecahkan pasu-pasu bunga kesayangan isterinya.

'Tak boleh. Duduk sana tak mungkin. Mesti Jam tak setuju'. Dia mula sedar bahawa pilihan untuk duduk bersama dengan anaknya untuk menjaga cucu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Dia meninggalkan kawasan tingkap yang dibiar terbuka dan melangkah menuju kekatil dimana cucunya sedang lena terbaring. Dia merenung cucunya. 'Abis macam mana', persoalan ditanya lagi untuk dia sendiri mencari jawapan. Tidak mungkin dan tidak wajar dia mencadangkan untuk anaknya memohon cuti tanpa gaji untuk menjaga anaknya. 'Berapa lama?'. 'Berhenti kerja'. Ini cadangan gila. Mana mungkin setelah belajar begitu lama, lima tahun lebih  dan telah tamat housemanship, tiba-tiba berhenti kerja.

Dia bertambah pening. Jalan penyelesaian belum kunjung tiba. Cucunya mula menggerak-gerakkan badan. Matanya mula dibuka. Suara mula keluar. Cucunya menangis dan dia dengan penuh kasih sayang mengangkat cucu untuk didakap dan dibawa untuk mendapatkan mamanya. Cucunya masih menangis, kehausan, dahaga. Nenen ibunya boleh memberhentikan tangisan. Tiada tangisan, hanya yang terdengar nyonyotan cucunya begitu deras sekali. Dia keluar dari bilik anaknya dengan membawa sama persoalan yang masih belum dapat diatasi. Kepalanya masih pening kerana masih lagi belum ketemu ubat yang mujarrab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan