Yousef Imran |
Ahmad Naqib |
26 Julai 2010 dan 23 Mac 2011
Siang dan malam
Hari yang berbeza
Waktu tidak sama
Tidak juga cara
Tempatnya disana dan disini,
hanya nama saja yang serupa- di Pantai
Yang benar-benar sama
mereka itu adalah
warisan pembawa obor pengganti
semasa aku tokpanya , dan isteriku neneknya
melelapkan mata, tiada lagi
hanya bekas dan tanda untuk diziarahi
pohon doa keampunan
dari anak-anak dan cucu-cucu
Sebelum kesana, pada kesempatan yang masih berbaki
Di waktu malam dan siang
Waktu-waktu membina keyakinan dan kekuatan
anak-anak dan cucu-cucu memaut kasih
pada papa dan tokpa
pada mama dan nenek
yang telah bersedia dengan sepenuh jiwa dan raga
kasih sayang yang dari semula
yang tidak pernah padam dan luntur kerana
mereka itu satu amanah
Makanya
suara dan tangisan adalah hiburan
dodoian tokpa lirik spontan mengiring sama
'tidur sayang, jangan nangis, tengok wayang belum habis'
terlenalah cucu
senyum tokpa meleret dia sendiri yang tahu
membaringkan cucu-cucu
diatas tilam kecil beralaskan kain diatas permaidani getah
'tidurlah sayang'
Cucu-cucu yang harum wangi
menjadi sasaran hidung nenek, tokpa pun sama
tiada hanyir tiada bau selain wangi
ketika persalinan ditukar ganti bila-bila,
tiada jadual menentukan kerja
selepas mandi, selepas bersuci ,
selepas muntah membasahi bibir, dagu mahu pun leher
tokpa tersenyum gembira,
nenek apa lagi bukan main suka tak ada kata melukis rasa
'saaaayaaang cantiknya baju'
'saaaayaaang cantiknya seluar'
'handsomenya cucu aku'
Memang telah termaklum dihati
bersantai bersama cucu
hanya dalam beberapa waktu
kerana anak dan cucu
mahu memulakan satu perjalanan
ke depan yang masih berbaki panjang
Cukuplah masanya
kesempatan bersantai bersama cucu-cucu
yang sungguh menghibur
untuk diisi dengan kerinduan
'Esok Ada Masa Kita Bersantai Lagi'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan