Theflowersellingboy
Sabtu, 7 Mei 2011
Sumpah dan Sesumpah
Semasa zaman kanak-kanak dahulu ketika bersama dengan kawan-kawan sebaya waktu bermain kejar mengejar atau bermain sorok menyorok atau apa saja aktiviti pergaulan , kerap berlaku perselisihan yang membawa kepada pertengkaran dan pergaduhan, kerana masing-masing diri atau pihak atau kumpulan menyatakan bahawa mereka itu di pihak yang benar. Maka timbullah ajakan atau cabaran untuk bersumpah untuk mempertahankan 'kebenaran' masing-masing.
Apa yang berlaku pada waktu itu ialah kedua pihak yang cabar mencabar itu dengan yakin bersumpah bahawa masing-masing berada dipihak yang benar. Namun begitu selepas beberapa ketika kadang-kadang tidak sampai satu hari mereka akan berkumpul dan bermain semula. Mereka tidak ambil pusing sumpah yang telah dibuat. Mereka tidak juga membangkitkan siapa benar dan siapa yang salah. Kalau ada perselisihan pada sesi permainan seterusnya ajakan bersumpah juga akan digunakan bagi membenarkan diri masing-masing. Selepas itu mereka berkumpul dan bermain lagi. Bersumpah dan main lagi. Sumpah itu adalah sebahagian daripada permainan mereka. Boleh dimain-main, tak ada hal. Begitulah kedudukan sumpah pada zaman kanak-kanak dahulu kala.
Rupa-rupanya ajakan bersumpah atau cabaran bersumpah ini terus hidup bercambah subur sehingga kini dalam zaman yang jauh lebih maju dari zaman semasa kanak-kanak dulu kala.Tujuannya sama juga untuk menyatakan bahawa masing-masing di pihak yang benar. Malah ketika ini bersumpah telah mendapat satu kedudukan yang tinggi terutama dikalangan orang Melayu-Islam dimana ianya menjadi mahkamah orang ramai dalam membuat satu pendirian pihak mana yang bersalah dan pihak mana yang benar. Kelihatan juga sebahagian orang ramai dengan mudah mengambil pendirian bahawa yang tidak sanggup bersumpah itu adalah pihak yang bersalah.
Dengan berpegang kepada kata-kata 'berani kerana benar dan takut kerana salah', sebahagian orang ramai yang taksub itu sudah bersedia menghukum yang tidak mahu menyahut cabaran bersumpah itu sebagai sebenarnya yang bersalah. Mereka tidak pula mengambil peduli tentang tatacara dan adab bersumpah. Asalkan sanggup menuturkan kata-kata tertentu demi Allah dan dengan menjunjung Al quran dan dilakukan di masjid maka orang itu dikatakan dipihak yang benar. Ertinya sumpah merupakan jalan terbaik dan mudah untuk seseorang itu 'melepaskan diri' dari sesuatu kesalahan atau satu kaedah untuk meyakinkan orang ramai akan kebenaran dirinya atau untuk menyatakan pihaknya adalah sebenarnya yang benar seolah-olah beliau atau pihaknya telah 'berkata benar, bahawa semuanya benar , melainkan yang benar belaka'.
Secara perbandingan diantara zaman kanak-kanak dulu kala dengan zaman penuh kecanggihan dan kecelaruan ini maka fenomina sumpah itu tidak banyak beza. Rakyat pada kedua-dua zaman itu percaya ianya satu kaedah untuk menyatakan kebenaran. Cuma kanak-kanak dahulu kala melakukan sumpah dengan segera ketika berlakunya perselisihan ditempat mereka berkumpul atau bermain, dan tidak pernah melakukan dimasjid atau tempat yang dianggap suci. Waktu alaf ini, bersumpah dilakukan dimasjid dengan disaksikan oleh orang yang berkedudukan dari segi peranan keagamaannya dan orang-orang yang menjadi penggerak dan penyokong orang yang bersumpah itu. Sumpah itu dibuat secara memasyhurkan kepada orang ramai, diistiharkan melalui berbagai jenis media bahawa sumpah atau sumpahan itu akan dibuat pada ketika dan tempat atau masjid tertentu. Sebelum dan selepas bersumpah diadakan sidang akhbar untuk menyatakan bahawa pihaknya telah berani menyatakan kebenaran dan mencabar pihak lawan berbuat sedemikian, jika belum melakukanya. Diceritakan juga secara lanjut perkara yang menjadi isu sumpahan itu.
Maka sidang akhbar itu dan cerita yang disampaikan oleh orang yang bersumpah itu, menjadi tajuk berita utama dan pembaca berita bersungguh-sungguh dengan mimik muka, gerak tangan dan apa saja bahasa badan yang boleh digunakan turut sama meyakinkan kata-kata orang yang bersumpah itu sebagai yang benar belaka. Maka diulang berita dan cerita dengan menjemput pihak-pihak lain memberi pandangan yang juga mengiakan apa yang dikata.
Yang menariknya pula ada pihak menganggap cabaran yang dibuat itu seolah-olah pihak yang bersumpah itu telah berada dipihak yang benar. Apatah lagi pihak yang satu lagi tidak mahu bersumpah atau menyahut cabaran atas alasan yang mereka sendiri tahu. Bukan itu saja, terdapat reaksi dari pihak yang dicabar itu untuk menghalang upacara mengangkat sumpah pihak yang pertama tadi atas alasan sumpahan itu tidak mengikut prosedur atau bertentangan dengan yang ditetapkan agama. Maka diadakan demonstrasi. Pihak polispun berkawallah.
Adanya penentangan dari pihak yang dicabar telah memberi kekuatan kepada pihak yang mencabar yang telah melakukan sumpah bahawa sebenarnya mereka adalah dipihak yang benar kerana pihak yang lagi satu tidak berani bersumpah. Tambahan lagi jika media tertentu yang menguasai penyebaran maklumat menunjukkan sikap secara terang membenarkan apa yang dilakukan oleh yang bersumpah itu.
Paling sedih dan amat mengecewakan bahawa terdapat mereka yang ahli dalam hukum agama menunjukkan sikap berdiam diri dan kalau ada yang bersuara, mereka memberi pandangan yang bertentangan diantara satu dengan yang lain yang boleh mengelirukan orang ramai yang tidak berkecukupan ilmu agama.
Apa yang dinyatakan diatas nampaknya macam ceita kelakar saja, tapi ianya benar dan berlaku. Dianya bukan satu impian untuk menjadi kenyatan. Ianya kenyataan dan amat memalukan. Ianya satu permainan seperti yang berlaku pada zaman kanak-kanak dahulu kala.
Kedua-kedua pihak yang mencabar dan yang kena cabar serta penyokong-penyokong sekalian, tidakkah dapat berfikir dengan waras untuk mencari jalan penyelesaian mengikut prosedur dan ketentuan yang telah sedia ada. Kita ada badan penyiasat, badan pendakwaan dan badan yang membuat keputusan menentukan yang mana dipihak yang benar dan yang mana dipihak yang bersalah menurut peraturan dan undang-undang yang sedia ada. Berikan kepercayaan kepada mereka menguruskannya. Tidak perlu cabar mencabar dan mengheret sama orang ramai untuk menjatuhkan hukuman berdasarkan emosi dan simpati kepada mana-mana pihak. Pihak penyiasat, pihak pendakwa dan pihak yang menghukum sudah tentu tidak mahu dilihat sebagai mencemarkan kedudukan mereka dalam menguruskan tanggongjawab mereka. Kalau ini dapat dituruti dan diterima sebagai kaedah dalam menyelesaikan perbalahan itu maka bukankah itu lebih baik supaya kita atau negara kita tidak menjadi raja kelakar atau pentas raja kelakar dunia.
Menjadi raja kelakar menurut kata orang Melaka ialah macam 'hamblau' yang bersamaan dengan 'clown' atau badut. Bukanlah taraf negara kita sedemikian, walaupun kita telah terima perkataan 'Malaysia semua boleh'.
Kalau dikatakan kelakar, hamblau, clown dan badut masih lagi tidak mengusik hati kecil kita atau tidak merasa terhina atau tidak merasa maruah kita menjunam atau tidak merasa melakukan dosa kering maka apakah agaknya yang sepadan untuk kita samakan perbuatan dan sikap kita itu. Oh ya saya teringat tentang perkataan gandaan yang selalu kita gunakan untuk memberi makna yang berbeza dari perkataan pertama misalnya perkataan langit apabila digandakan menjadi langit-langit. Langit dan langit-langit adalah dua objek yang berbeza. Maka sumpah apabila digandakan menjadi sumpah-sumpah akan membawa makna yang berbeza. Sumpah itu boleh diertikan sebagai ikrar, pengakuan, janji dan kadang-kadang digunakan sebagai mengutuk atau menghukum seseorang seperti ' aku sampah kau menjadi batu'.
Cuma pada ketika ini sumpah terlalu popular sebagai alat untuk menyatakan 'bahawa saya yang benar, dia yang salah'. Sumpah-sumpah pula ialah sejenis binatang seperti cicak berwarna hijau tapi saiznya lebih besar. Binatang ini boleh bertukar warna sepadan dengan warna persekitarannya untuk tidak mudah dikesan. Adakah orang yang suka bersumpah ini mengambil sifat sumpah-sumpah? Wallahualam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan