Theflowersellingboy

Jumaat, 20 Mei 2011

Salam Jumaat.....11: Itu Cerita Dulu, Sekarang Lain Cerita

Assalamualaikum warahmatullhhi wabarakatuh. Semoga anda budiman berada dalam keadaan sihat walafiat.

Perjalanan masa berlalu begitu saja tanpa dapat kita sekat . Kadang-kadang ketika ini kita merasakan ianya terlalu cepat dan pantas. Banyak perkara yang kita jangka boleh selesai diuruskan dalam tempoh sehari tetapi mengambil masa lebih dari itu. Akibatnya kita sentiasa merasa tertekan, ketika ini.. Ketika dulu  kita tidak  termengah-mengah berkejar ke sana dan ke sini untuk menguruskan sesuatu. Kita tidak rasa tertekan.  Malah ketika dulu kita mampu terhegeh-hegeh dalam melakukan sesuatu.

Bila kita kata dulu ia merujuk kepada masa-masa lampau yang telah berlalu 50 tahun atau lebih. Kita suka membangkitkan cerita dulu-dulu sebagai satu nostalgia  kerana kadang-kadang kita rasa ianya baru berlaku .
Untuk hari ini kita cuma ingin menyegarkan dua cerita saja, rasanya sudah cukup agar tidak jemu.

Pada tempoh ketika itu, waktu dulu-dulu,   kalau orang kampong berhajat ke bandar untuk sesuatu tujuan, biasanya mereka akan menaikki bas. Mereka akan menahan bas dan meminta pemandu bas itu untuk menunggu sementara mereka bersiap mengenakan pakaian.Kadang-kadang ia mengambil masa yang agak lama tetapi pemandu bas masih tetap menunggu, tidak pernah marah atau merungut. Ada juga terjadi dimana setelah menaikki bas dan sebelum bas berjalan mereka akan meminta pemandu bas itu menunggu sebentar jika ada barang yang tertinggal untuk diambil sebelum meneruskan perjalanan ke bandar. Pemandu bas tidak juga merungut malah sempat berjenaka pula, 'Itulah banyak angan-angan sampai barang penting pun terlupa'.

Adakah pengguna terlalu berkuasa semasa itu, ketika dulu-dulu? Jawabnya tidak. Pada masa itu tidak perlu gopoh gapah. Boleh ambil masa walaupun sukatan masa sama saja iaitu ada siang dan ada malam. Matahari terbit disebelah timur dan tenggelam menghilang di sebelah barat. Masih sama saja seperti sekarang. Kalau matahari terbit dari tempat yang berlainan sudah tentu kita gementar kerana banyak kesilapan belum sempat kita bertaubat.

Sekarang punya cerita untuk kebandar mungkin berbeza. Pemandu bas tidak akan mahu menunggu malah kadang-kadang bas yang kita tahan tidak mahu berhenti kerana telah diisi penuh. Hal itu jaranglah berlaku. Tapi yang memang selalu berlaku apabila pemandu teksi terutamanya di Kuala Lumpur menolak permintaan kita untuk pergi kesatu-satu destinasi tertentu. Katanya  destinasi itu memberi masalah kepadanya, aliran lalulintas tidak lancar, traffic jam. Tetapi perkara itu sudi diatasi oleh pemandu teksi itu jika pengguna bersetuju membayar menurut harga yang diminta melebihi dari tambang biasa..

Lihat , siapa yang berkuasa pada masa ini. Pemandu teksi ke atau pengguna? Jawabnya sudah tentu pemandu teksi. Tetapi kita selalu mendengar kata-kata 'pengguna diutamakan' atau 'pengguna itu sentiasa betul'. Seolah-olah membayangkan bahawa pengguna itu mempunyai kuasa penentu.  Tetapi yang nyata, sebaliknya.

Bagaimana pula dengan kerajaan? Rakyat didahulukan? Begitu ke? Anda fikirlah sendiri. Yang pasti apabila di peti undi kitalah yang berkuasa. Benar ke? Ada yang benar dan tidak benarpun boleh juga bila undi kita boleh dijual beli. Dulu sehelai kain batik. Sekarang, 'lu memang sudah tahu, wa tak perlu beritahu nanti wa terkedu'.

Bagaimana pula dulu-dulu orang menyebarkan berita atau maklumat. Pernahkah anda dengar 'heboh sekampong orang sudah tau'. Maknanya pada masa dulu yang alat komunikasi terlalu amat terbatas, berita atau maklumat juga tersebar luas sehingga satu kampong orang boleh mendapat berita atau maklumat. Yang menjadi penyebar maklumat ialah bisikan dari seorang ke seorang . Maka berita itu beralih atau mengalirlah dari seorang keseorang.  Kadang-kadang maklumat tambahan diselitkan untuk menyedapkan cerita sehingga boleh menenggelamkan cerita asal.  Mengelirukan. Kadang-kadang boleh bergaduh.

Sekarang bagaimana? Alat komunikasi berbagai-bagai dan terlalu canggih. Maklumat boleh dihantar dan diterima serta disebarkan begitu cepat sekali merentasi dunia dalam waktu sebenar (real time). Maknanya dimana saja maklumat perlu dihantar dan disebarkan penerima akan boleh dihubungi dan memenerima maklumat ketika itu juga. Secara langsong. Live.

Nampaknya cerita dulu dan sekarang memberikan gambaran yang amat berbeza walaupun bagi perkara atau hal yang sama seperti cerita menaikki bas atau kenderaan dan penyebaran maklumat.

Dulu menggambarkan keadaan yang tidak tertekan, tidak gopoh gapah apabila seseorang itu hendak menaikki bas untuk ke bandar. Pengguna seolah-olah nampak berkuasa. Sebenarnya tidak begitu. Pengguna dan pemandu bas tadi tidak perlu gopoh gapah. Masa tidak mendesak mereka untuk bertindak  begitu.

Tetapi sekarang, sungguh tertekan apabila pemandu teksi menolak permintaan kita untuk untuk ke destinasi yang kita mahu. Hanya pemandu teksi saja yang berhak menentukan destinasi. Apa kuasa pengguna? Boikot? Menyusahkan saja. Bayarlah tambang lebih yang diminta. Selesai perkara walaupun hati merana. Ada yang mencadangkan buat laporan kepada pihak berkuasa. Bagus juga cadangan ini. Cuma tunggu sajalah. Sampai bila? Anda sendiri cuba teka. 

Penyebaran maklumatpun juga terlalu jauh berbeza diantara dulu dan sekarang sama ada dari segi peralatan, cara, kelajuan dan liputan kawasan. Tetapi ada satu ciri yang sama, sama ada dulu mahu pun sekarang. Apa yang sama? Yang sama ialah mengujudkan kekeliruan atau penipuan . Dulu dibuat cara bisikan dari seorang ke seorang dengan ada tambahan kepada berita atau cerita asal sebagai penyedap cerita sehingga boleh menimbulkan kekeliruan. Sekarang sama saja malah lebih hebat kekeliruan yang boleh dicipta sehingga yang tidak ujudpun boleh diadakan membuatkan penerima berita terpesona percaya dan menyebarkannya kepada yang lain pula. Apatah lagi cerita itu diulang cerita, diulang berita dan diulang tayang.

Pendek kata antara cerita dulu dan cerita sekarang kita simpulkan begini : Ada seorang kawan bercerita mengenai satu berita yang dia terima mengatakan "Aku dengar berita itu dari kawan aku yang diberitahu oleh kawan dia punya kawan yang berkawan dengan kawan kepada kawan orang itu punya kawan yang pernah sebilik dengan kawan yang bekerja dengan orang itu bahawa memang benar dia itu jahat".

Macam mana? Anda tertekan tak kalau anda jadi orang itu.

Kalau anda bagaimana untuk menceritakan :Itu Cerita Dulu, Sekarang Lain Cerita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan