Assalamualaikum wbth
Berbahagialah anda semua hendaknya
Pada kesempatan ini SJ ingin menjemput anda sekalian untuk menghadiahkan bacaan Al-Fatiha kepada allahyarham Osama ben Ladin yang diberitakan telah meninggal dunia akibat dari pembunuhan kejam yang telah dilakukan oleh tentera penceroboh Amerika. Apa pun panggilan yang telah dimasyhurkan Amerika terhadapnya, kita wajar mengakui bahawa Osama ben Ladin dan pertubuhan Al-Qaeda yang dipimpinnya sahajalah yang berani kedepan mencabar dan menentang kekuatan Amerika negara pembuli dunia.
SJ juga percaya bahawa penentangan Osama terhadap Amerika dan yang bersekongkol dengannya ada asas dan sebabnya. Cuma beliau dan Al-Qaeda memilih caranya tersendiri mengangkat dan menggunakan senjata, yang mungkin kita tidak ada kekuatan dan keberanian untuk melakukannya atau atas alasan yang kita sahaja yang tahu. Jadi sejenak Al-Fatiha adalah terlalu kecil yang dapat kita lakukan untuknya.
Bila menyentuh nama Osama kita teringat akan Saudi Arabia, negara kelahiran Osama. Maka bandar suci Mekah dan ibadah haji terus menguasai kita dalam pembicaraan SJ kali ini.
Apa yang kita hendak bicarakan adalah mengenai pengurusan diri kita dalam menjalankan ibadat haji. Pengurusan diri ini dirasakan tidak kurang pentingnya seperti juga dengan ilmu dan pengetahuan mengenai hukum dan syarat-syarat haji yang perlu difahami dan
dipatuhi kerana ianya boleh membantu melancarkan perlaksaan ibadah itu sendiri.
Kita sentuh mengenai tata kelakuan dan sikap para jemaah dalam hubungan diantara mereka. Kita percaya semua jemaah mempunyai niat dan harapan untuk mendapat haji yang terbaik, haji mabrur. Dengan menguasai ilmu dan pengetahuan mengenai ibadah haji itu, apatah lagi mematuhi kesemuanya maka peluang untuk mendapat haji mabrur adalah diyakini baik sekali, InsyAllah. Namun kita jangan merosakkan peluang itu disebabkan tata kelakuan dan sikap kita yang tidak mencerminkan sebagai seorang yang mengharapkan haji yang mabrur. Misalnya kelakuan atau sikap yang sentiasa mementingkan diri sendiri yang memalukan seperti berebut untuk menaikki lif, mengambil makanan lebih dari yang sewajarnya sehinggakan orang lain tidak dapat makan, dan banyak lagi yang rasanya malu untuk disebutkan disini kerana amat jijik sekali perbuatan itu.
Namun hati kecil kita mendesak juga untuk menyatakan sesuatu demi kebaikan dan kesucian ibadah itu sendiri. Cuma kita beri imbasan saja iaitu perkara berkaitan dengan pengurusan air kecil. Yang melakukannya agaknya tidak ada perasaan, tidak peduli orang lain terpaksa menghidunya. Bagaimana cara mereka lakukan, terlalu berat untuk ditulis. Nak Haji mabrur?
Tabiat berebut-rebut menaikki lif ini kelihatan sebagai satu perbuatan yang tidak menjatuhkan imej para jemaah kerana ia dilakukan setiap kali oleh sebahagian besar para jemaah tidak kira latarbelakang sosial mereka atau jantina. Apabila ada rebut merebut, ada rempuhan diantara mereka, sudah tentu ada yang merasa terhimpit dan sakit, dan ada yang tidak dapat memasuki lif. Akibatnya ada yang bermasam muka, sindir menyindir dan kata-kata keras diantara yang terlibat. Tetapi kita belum ketemu mereka yang bertumbuk.
Bagaimana dengan lif yang menampong berat yang berlebihan? Dalam keadaan ini pun ada yang tidak mahu mengalah. Masing-masing menggesa yang lain keluar walaupun dianya yang terakhir memasuki lif. Apa jadi? Sama seperti yang kita nyatakan diatas. Siapa mereka? Ada yang ustaz, ada yang orang biasa, ada yang pegawai kerajaan, pengurus syarikat dan berbagai latarbelakang. Itu bukan isunya kerana ibadah haji tidak mengambil kira kedudukan. Isunya adalah wajar kah sebagai jemaah haji kita berkelakuan seperti itu. Takkan perkara seperti itu kita perlukan pegawai Tabung Haji memantau. Perlu ada pengawas lif. Malulah sebab bila balik nanti orang pandang ada sikit tinggi tapi perangai masa buat haji amat menyedihkan sekali.
Yang dapat menaikki lif secara rempuh merempuh itu berasa bangga pula kerana dapat mendahului yang lain. Tambahan pula dia atau mereka ini dapat mengambil makanan mendahului orang lain. Keadaan yang sama juga ditunjukkan semasa hendak mandi. Memang kita akui bahawa jumlah bilik mandi tidak sepadan dengan bilangan jemaah. Tapi janganlah sampai berebut dan bergaduh. Malulah sikit. Hendak naik kenderaan untuk ke masjid pun perkara yang sama berulang seolah-olah rebut merebut ini sudah jadi satu budaya.
Itulah kita katakan bahawa tata kelakuan dan sikap yang baik amat penting dalam melaksanakan ibadah haji. Kita yakin perkara ini telah berlaku dari dulu sehingga kini. Mungkin berbeza dari segi tahapnya saja. Oleh itu pihak Tabung Haji perlu memasukkan tajuk pengurusan diri ini atau nama lain yang lebih sesuai dalam kandungan kursus kepada bakal jemaah haji. Jangan menganggap perkara ini remeh. Anggapkan perkara ini ada kaitan dengan imej dan maruah. Jangan pula ada pihak mengatakan apa yang berlaku itu adalah satu dugaan. Kita perlu hadapi dengan sabar , seadanya.
Memang kita perlu sabar. Sebab itu jangan berebut. Dugaan? Ini satu jalan keluar yang mudah sebagai helah untuk mengekalkan cara dan kaedah yang telah dipakai dalam menangani sesuatu situasi atau keadaan. Atau pun alasan yang sentiasa digunakan oleh orang yang berperangai tidak senonoh itu bagi menyokong dan mengekalkan tabiat yang rendah nilai itu. Sepatutnya jagalah kelakuan dan tunjukkan sikap yang sepadan dengan hasrat hati untuk mendapat haji yang mabrur.
Itulah saja dapat kita ketengahkan untuk tatapan semua. Jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan