Theflowersellingboy

Isnin, 30 Mei 2011

Rakyat Mesti Bersedia Menghadapi .........?

Ketika ini rakyat telah kerap diingatkan supaya bersedia menghadapi potongan subsidi kerana kerajaan tidak lagi dapat secara berterusan untuk menampong subsidi itu lagi kerana ianya membebankan kepada pendapatan negara. Atau dalam bahasa belanjawan yang di sebut bajet ketika ini, subsidi berterusan akan membuatkan defisit belanjawan negara akan melebar. Ertinya pendapatan negara adalah lebih kecil dari perbelanjaan. Adalah kurang bijak untuk negara berbelanja lebih dari pendapatan yang diterima. Sebaiknya pengurusan negara diuruskan secara berimbang dimana pendapatan negara bersamaan dengan perbelanjaan mengurus. Ertinya negara berbelanja berpandukan konsep 'ukur baju dibadan sendiri'.

Diatas ialah hujahan dari pihak Kerajaan bagi meyakinkan rakyat atas tindakan Kerajaan atau tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan untuk mengurang dan secara beransur menghapuskan subsidi atau bantuan bagi merengankan bebanan tanggongan negara. Kerajaan meminta rakyat menyesuaikan perbelanjaan mengikut kemampuan. Beli hanya yang perlu saja dan berusaha lebih lagi untuk meningkatkan pendapatan atau cadangan menanam sendiri sayuran untuk menghadapi perbelanjaan yang meningkat.

Rakyat pula terutama sebahagian besar rakyat terlalu mengharapkan supaya kerajaan tidak mengambil tindakan mengurangkan apatah lagi menghapuskan subsidi kerana ianya akan membebankan kehidupan mereka. Pendapatan mereka juga adalah kurang berbandingkan dengan perbelanjaan yang perlu akibat dari kenaikan kos hidup berpunca dari kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Bermakna mereka juga akan mengalami bajet yang defisit. 

Hujahan Kerajaan dan rakyat terbesar nampaknya menggunakan alasan yang sama bagi mempertahankan keperluan masing-masing iaitu 'membebankan'.

Bagi kerajaan jika subsidi diteruskan ianya akan membebankan kepada pendapatan negara. Lantas negara tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan untuk mengembangkan ekonomi negara. Jika ianya beterusan akibatnya negara akan menjadi bengkrap atau muflis.

Hujahan rakyat adalah jelas, menyusahkan. Boleh jadi miskin dan papa kedana sama seperti hujahan kerajaan yang mengatakan negara boleh jadi muflis.

Masing-masing pihak nampaknya mempunyai hujah masing-masing cuma yang berbeza ialah keupayaan untuk mencari jalan keluar sebagai cara penyelasaian bagi mengurangkan bebanan itu. Diantara rakyat dan kerajaan pihak manakah yang mempunyai kemampuan untuk mencari jalan keluar yang terbaik tanpa menyusahkan atau membebankan  sangat rakyat dan negara?

Disamping kita mengakui rakyat mempunyai peranan yang penting bagi membantu kerajaan dalam usaha mengurangkan bebanan negara, kita lebih chenderung untuk mengatakan Kerajaanlah yang mempunyai kemampuan yang lebih untuk mencari jalan bagi mengurangkan bebanan rakyat dan negara. Bukankah itu sebenarnya tanggongjawab kerajaan? Tanggongjawab bagi memberi kesejahteraan kepada rakyat? Adakah langkah mengurangkan subsidi terutama bagi barangan dan perkhidmatan yang amat perlu seperti minyak tidak menyusahkan rakyat. Bagi kita pilihan itu tidak bijak kerana ia boleh membebankan rakyat.

Banyak cara atau kaedah lain yang boleh difikir dan dilaksanakan sebelum kerajaan menggunakan potongan atau penghapusan subsidi sebagai kaedah bagi mengurangkan perbelanjaan negara. Mengapa tidak melihat kepada beberapa jenis perbelanjaan kerajaan, belanja pengurusan dan belanja pembangunan.

Dari segi belanja pengurusan mungkin boleh dlihat perbelanjaan-perbelanjaan yang berbentuk ceremonial atau acara rasmi sambutan.  Majlis-majlis seperti ini perlu dikurangkan atau setengahnya tidak perlu diadakan. Sebagai contoh majlis perhimpunan sejuta belia baru-baru ini. Apakah kesan ekonomi yang positif dari majlis itu. Perjalanan ke luar negara patut dikurangkan termasuk ahli rombongan. Dan sekiranya rombongan ke luar negara itu di beri Taraf Negara atau 'Guest Status' oleh negara tuan rumah maka ahli-ahli rombongan tidaklah wajar membuat tuntutan perbelanjaan bagi perbelanjaan yang telah ditanggong oleh negara tuan rumah. Adakah ini diamalkan.

Memang mudah bagi pemimpin kerajaan untuk mencadangkan atau menasihat rakyat untuk berjimat cermat atau mengurangkan perbelanjaan dan hanya belanja yang perlu sahaja, dan bersedia untuk menghadapi potongan subsidi kerana pemimpin kerajaan tidak akan merasa kesan kesusahannya. Rakyat tidak ada berbagai kemudahan seperti pemimpin kerajaan yang dipilih oleh rakyat yang dapat menepis kesusahan akibat kenaikan harga. Apa ada hal harga minyak naik kerana tuan-tuan, YAB dan YB-YB sekalian mempunyai kereta rasmi yang pembiayaannya ditanggong oleh wang cukai rakyat. Tidak ada masalah harga tepung naik kerana anda sentiasa menghadiri majlis-majlis rasmi dengan dijamu berbagai juadah , dan kadang-kadang makanan itu berlebihan kerana sebahagiannya banyak pantang tidak boleh makan tetapi masih lagi dihidangkan, dibuang dan membazir. Wang siapa itu agaknya?

Apa ada hal untuk membiayai anak belajar sebab banyak sumber kewangan yang sedia membantu anda atau anda ada terlalu banyak 'access'. Pergi ke luar negeri pun selalu manakan anda boleh merasa kesusahan rakyat yang anda pesan-pesankan untuk berjimat cermat.


Banyak lagi kemudahan-kemudahan yang anda nikmati. Kenapa tidak dilihat kesemuanya ini supaya anda yang dipilih rakyat dapat bersama membantu mengurangkan defisit bajet negara.


Projek-projek pembangunan juga boleh dilihat semula supaya kita hanya memilih projek-projek yang secara langsong boleh meningkatkan pendapatan negara dan rakyat. Projek-projek untuk melonjak imej atau status untuk menjadi legasi kepada pemimpin hendaklah diketepikan.


Juga terlalu penting menghapusakan salah urustadbir. Rasuah dalam pelaksanaan projek melalui berbagai kaedah yang dikatakan telus tetapi penuh dengan silap mata. Memang sentiasa dikatakan tender terbuka bagi sesuatu perlaksaan projek. Tetapi keterbukaan itu tidak ada maknanya jika perlaksanaan itu boleh dilakukan mengikut pilihan yang kita suka kerana kita boelh berselindung di sebalik klausa ' pihak kerajaan tidak terikat untuk menerima mana-mana tawaran yang rendah' atau klausa-klausa yang membawa pengertian yang sama.


Selain dari itu perjanjian-perjanjian yang berat sebelah yang memberi kesan kepada kos kehidupan seperti konsessi air, tol dan pengeluaran tenaga bebas (IPP) yang diwarisi dari polisi-polisi kerajaan yang lepas perlu dikaji dan dirundingkan. Adalah menjadi tanggongjawab pihak berkenaan untuk bersama-sama menghadapi keadaan yang ada, kenaikan kos hidup, membantu dengan bersetuju mengurangkan keuntungan.


Oleh yang demikian kita bersetuju supaya rakyat bersedia untuk menghadapi kenaikan harga kerana tidak wajar selama-lamanya kita bergantung kepada subsidi. Namun kita lebih bersetuju supaya tindakan memotong subsidi itu mestilah didahului dengan tindakan pihak berkuasa mengurangkan perbelanjaan yang kurang perlu seperti yang dinyatakan dan melaksanakan urustadbir yang baik khususnya menghapuskan rasuah.


Kita percaya nasihat kerajaan supaya 'rakyat sedia menghadapi pemotongan subsidi ' akan lebih diyakini dan difahami jika inisiatif pengurangan perbelanjaan itu dimulakan oleh pihak yang berkuasa. InshaAllah kita semua, rakyat terbanyak dan kerajaan akan tidak sentiasa tertekan dik beban perbelanjaan yang meningkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan