Bagaimana seorang Pemandu Kenderaan Kerajaan yang tinggal disebuah rumah pangsa yang dibeli secara ansuran bulanan bagi tempoh 25 tahun, mempunyai lima tanggongan iaitu dirinya, isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak yang bersekolah yang masing-masing berumur 15, 13 dan 11 tahun; dan jarak rumah ke tempat kerja ialah 20 kilometer yang menghadapi perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak menentu membuatkan beliau terpaksa membeli sebuah motorsikal 150 c.c secara bayaran ansuran bulanan untuk tujuan ke pejabat, mampu menguruskan belanjawannya terutama dalam menghadapi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta pengurangan subsidi bagi item-item tertentu seperti minyak dan beberapa barang kawalan untuk menjalani kehidupan yang telah dijanjikan sejahtera oleh Kerajaan semasa merayu undi mereka dahulu.
Bagaimana mereka mencari jalan keluar atau sebenarnya adakah jalan keluar terbuka untuk mereka atau adakah mereka mempunyai peluang untuk mencari jalan keluar?
Profil seorang pemandu kenderaan kerajaan
A.Pendapatan bulanan
1. Gaji dan elaun tetap yang lain RM1500.00
2. Elaun kerja lebih masa RM 200.00
Jumlah RM 1700.00 sebulan
Anggaran ini mungkin kurang tepat bagi setiap bulan . Ia cuma anggaran pendapatan purata dan mungkin anggaran ini lebih dari pendapatan sebenar yang didapati oleh seorang pemandu kenderaan kerajaan.
B. Tanggongan 5 orang
C. Butir-butir Perbelanjaan Bulanan
1. Belanja Dapur
2. Bil utiliti (letrik, air, telepon, internet)
3. Ansuran bulanan beli rumah
4. Minyak motor ke pejabat
5. Makan dipejabat
6.Ansuran bulanan kenderaan motorsikal
7. Belanja persekolahan anak (wang poket, sewa bas, tuisyen)
8. Ansuran bulanan bagi hutang perabut, tv, peti ais, komputer,dll).
9. Penyenggaraan motosikal
10. Simpanan untuk PTPTN (untuk membiayai pelajaran anak apabila memasuki IPT)
11. Kiriman wang kepada kedua ibubapa di kampong.
Jumlah semua perbelanjaan RM1700.00 + X + Y + Z
C. Bajet atau belanjawan bulanan pemandu
Pendapatan RM1700.00
Perbelanjaan RM1700.00 + x +y + z
Defisit ( x +y + z )
D. Sumber Pembiayaan Untuk Menampong Defisit (mencari jalan keluar)
1. Menjual di pasar malam
2. Meminta isteri bekerja
3. Mengurangkan butir perbelanjaan
4. Berpuasa selang hari (bukan berpuasa mewah waktu berbuka)
5. Menjual minyak kenderaan kerajaan
6. Menipu inden minyak
7. Mencuri dan merompak
8. Bunuh diri kerana tidak sanggup melihat anak-anak merana kelaparan
Agaknya itulah jalan keluar yang boleh difikirkan oleh pemandu itu.
Jalan keluar 5 hingga 7 boleh menempatkan pemandu dalam penjara kerana siapalah mereka untuk dapat dikecualikan dari tindakan dan hukuman daripada perbuatan yang menyalahi undang-undang negara. Tapi apa boleh buat demi tanggongjawab untuk kehidupan sebuah keluarga, itulah pilihan yang ada pada mereka. Jalan keluar ke 8 ialah jalan yang sesat. Itu bukan jalan keluar sebenarnya.
Bagaimana pula seorang menteri dan ahli pentadbiran yang lain diperingkat negeri dan persekutuan mencari jalan keluar untuk mengatasi pemotongan subsudi nanti. Atau mereka tidak perlu berbuat begitu kerana bajet mereka tidak pernah defisit malah sentiasa surplus melempah ruah. Apakan tidaknya, kerana pendapatan mereka entah berapa kali ganda berbanding dengan seorang pemandu. Berbagai kemudahan disediakan dibawah Peraturan Pentadbiran, Akta dan Enakmen/ Ordinan. Rumah dan kereta disediakan. Kalau tiada rumah disediakan elaun rumah. Minyak kereta tidak menjadi masalah jika subsidi dihapuskan. Belanja makan dan minumpun boleh dijimatkan kerana disediakan waktu mesyuarat, majlis atau perjumpaan.
Bagaimana agaknya rupa bajet keluarga mereka. Surplus, berimbang atau defisit. Kalau defisit bagaimana mereka mencari jalan keluar. Adalah lebih molek mereka membentangkan bajet keluarga untuk kita rakyat semua terutamanya pemandu kenderaan belajar bagaimana cara mereka menghadapi pemotongan atau pengurangan subsidi.
Ya, memang mudah bagi menteri menyeru rakyat untuk mengurangkan belanja atau bersedia menghadapi kenaikan harga berikutan pengurangan subsidi kerana pemotongan subsidi itu tidak akan menyeksakan mereka.
Tetapi kita masih lagi belum mendengar syor atau cadangan untuk mengkaji dan seterusnya mengurangkan atau memotong beberapa jenis kemudahan yang dinikmati oleh menteri dan yang lain-lainnya sekarang ini .Dan tidak ada cadangan serta tindakan bagi mengkaji dan mengurangkan keuntungan yang diperolehi oleh beberapa pihak dalam beberapa perjanjian konsessi dan sebagainya, dan tidak juga kedengaran bagi mengurangkan perbelanjaan yang kurang perlu berbentuk ceremonial dan mengkedepankan imej.
Jangan risau akan kata-kata orang bahawa mempertahankan subsidi sebagai tindakan mencari populariti kerana populariti itu lebih terserlah kalau kerajaan mengambil tindakan bagi mengkaji apa yang telah disebutkan diatas tadi. Atau adakah ianya satu alasan semata-mata kononnya kerajaan tidak mahu populariti. Benar ke begitu? Kalau begitu baguslah dan jangan dapatkan suara majoriti kerana kerajaan tidak mahu popular!
Namun, kita masih mahu meneruskan soalan iaitu kenapa pula subsidi untuk merengankan kehidupan rakyat menjadi fokus dan sasaran untuk dihapuskan atau dikurangkan. Bagaimana pula nanti gamaknya pemandu itu dapat mencari sumber tambahan apabila Goods and Services Tax (GST) dilaksanakan. Ya, kerajaan akan mempunyai liputan cukai yang meluas termasuk pemandu tadi. Beban kewangan kerajaan pun menjadi rengan kerana telah berpindah kepada sebahagian besar rakyat. Tertekan lagi pemandu yang miskin itu.
Telah diberitakan juga tarif elektrik akan naik sebanyak 7 setengah peratus berkuatkuasa 1 Jun ini. Tambah lagi beban rakyat.
Sesungguhnya kita tidak akan merasa perit kesusahan kerana kita bukan seorang pemandu atau golongan yang senasib dengannya. Kasihanilah mereka kerana mereka juga diantara orang yang telah menyokong kita. Usahlah memaksa mereka melakukan perbuatan yang tidak wajar seperti menipu dan membunuh diri.
Bukankah kerana sokongan dari sebahagian besar dari mereka membolehkan kita duduk disitu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan