Theflowersellingboy

Selasa, 3 Mei 2011

Duit Hutang ........4

al-Ai telah nekad buat keputusan bahawa dia sendiri akan mencari wang tiga ringgit untuk membolehkannya membayar wang peperiksaan darjah enam untuk memasuki sekolah menengah. Dia akan melakukannya mengikut caranya. Apa saja asalkan dapat wang untuk membayar wang periksa, termasuk kerja kulikang bersama al-Hasan pada cuti hari Sabtu. 'Ahh bukannya teruk', bisik al-Ai penuh azam.

Seperti biasa sekembali dari sekolah, selepas makan tengah hari al-Ai mempunyai tugas tetap iaitu membawa dan menjaga lembu meragut rumput  di ladang-ladang  getah kepunyaan tauke-tauke Cina. Bersama al-Ai ialah kawan-kawannya si Uki, Johar, Aim dan Daud. Uki baru satu tahun berhenti sekolah kerana tidak berjaya memasuki sekolah menengah. Johar pula masih bersekolah dalam darjah lima manakala Aim dan Daud satu kelas dengan al-Ai. Kesemua mereka adalah penjaga-penjaga lembu yang sentiasa berkumpulan membawa lembu-lembu ke kawasan ragutan yang sama.

Uki masih belum mempunyai kerja tetap tetapi seorang budak yang rajin mencari wang. Waktu pagi Uki akan bekerja merumput di ladang getah tauke cermin seperti al-Hasan, bekerja kulikang.

Pada hari itu Uki membawa sesuatu dalam bakul anyaman mengkuang yang telah hampir lusuh.Dia  menghampiri al-Ai yang sedang bersandar keseorangan di sebatang pokok getah sambil melihat dan mengawasi lembu jagaannya yang sedang bergerak dan meragut rumput. Kawan-kawan yang lain, Aim, Johar dan Daud berada diseberang jalan sedang menghalau lembu-lembu mereka untuk dikumpul sama dengan lembu Uki dan lembu al-Ai.

"Ai , kau boleh tolong aku tak?" Tanya Uki yang menepuk bahu al-Ai dari belakang membuatkan al-Ai rasa sedikit terkejut. "Kau ni terperanjat aku. Tolong apa?" al-Ai mengurut dadanya mendapatkan semula  semangat akibat terkejut dengan cara teguran Uki tadi. Uki diam sebentar kerana dia sudah kenal lama dengan al-Ai yang tidak mudah mahu bekerjasama dalam kerja yang sentiasa dilakukannya setiap kali menjaga lembu. Tetapi, Uki berpendapat al-Ai mungkin akan bersetuju sebab pertolongan yang diminta tidak berat cuma tolong menjaga lembunya saja semasa beliau ketiadaan buat sementara waktu. "Kau tengok lembu aku. Hari ni aku lambat sikit", Uki memegang rapat bakul mengkuangnya. "Apa ada dalam tu?" Tanya al-Ai yang belum lagi menyatakan persetujuan untuk mengawasi lembu si Uki. "Adalah. Pisau getah. Aku nak menorih. Kerja ni lama sikit. Sebab tu aku mintak kau jaga lembu aku. ", Uki berterus terang yang membuatkan mata al-Ai terbuka luas dan mulutnya sedikit terbuka. "Bolehlah. Aku bagi sikit", Uki terus meninggalkan al-Ai dengan harapan al-Ai akan bersetuju untuk menjaga lembunya.

Mata al-Ai mengekori Uki sehingga kelibatnya tidak kelihatan. al-Ai memang telah lama sedia tahu akan kerja tambahan si Uki itu selain menjaga lembu. Bukan Uki saja bahkan Daud, Aim dan Johar kadang-kadang tompang semangkok. Dapatlah wang untuk belanja makan mi goreng dan sup ayam sambil memonton tv  di kedai Mamat. Tetapi kali ini Uki telah melampau dari kebiasaan. Dia mahu menorih pula. Tidak cukup dengan mencuri getah sekerap dan susu getah yang beku yang ditinggalkan oleh penorih yang sah, dia hendak menorih pula  dan mengumpul susu getah untuk dibekukan. 'Berani sungguh si Uki ni. Kalau kena tangkap, naya dia', al-Ai bergerak meninggalkan batang pokok getah tempat dia bersandar untuk mendekati lembu-lembu yang hampir jauh dimata.

al-Ai teringat kata-kata Uki yang akan memberi upah kerana menjaga lembunya. al-Ai mula tersenyum sendirian, rasa gembira telah mula berputik. Dia akan dapat upah, berapa banyak dia belum tahu. Tapi kalau satu hari tiga puluh sen, se puluh hari sudah tiga ringgit. Sudah cukup untuk bayar duit periksa.Kalau dua puluh sen pun tak apa. Kalau ada yang kurang boleh tambah dengan bekerja kulikang. Cukup, sudah tentu cukup. Lagi pun ada banyak hari lagi, dua puluh lima hari. Boleh, boleh."Aduhhh", lamunan al-Ai menjadi terhenti apabila terjatuh dalam longkang tanah yang berair. Kawan-kawannya Aim, Johar dan Daud yang ada diseberang jalan segera berlari-lari kearahnya apabila mendengar jeritan al-Ai tadi. "Pasal apa? Longkang depan mata pun kau tak nampak?", Daud menyatakan kehairanan sambil bersama Aim memegang tangan al-Ai untuk membantunya keluar dari longkang berair itu. Mereka akhirnya ketawa besar, termasuk al-Ai tetapi atas sebab yang berbeza. "Itulah jalan pandang  depan, bukan toleh belakang" kata Johar diikuti dengan ketawa dua orang kawan yang lain. al-Ai tersenyum tidak marah.

Aim, Daud dan Johar kembali semula keseberang jalan untuk menghalau lembu-lembu mereka ke kawasan ragutan lembu al-Ai dan Uki. al-Ai tinggal keseorangan. Dia masih terlalu gembira. Jatuh dalam longkang sebentar tadi tidak memberi kesan kepadanya untuk berduka. Apa yang ada dalam otaknya ialah upah yang akan diberi oleh si Uki dan bayaran peperiksaan. Perkara-perkara itulah yang  masih lagi menguasai perasaannya. Tiba-tiba senyumnya mula mengendur, ceria mukanya sedikit luntur ."Tapi aku cuma tolong jaga lembu. Aku tak terlibat", al-Ai cuba meyakini dirinya bagi membina kekuatan untuk menerima upah si Uki hasil dari kerjanya itu. "Ahh takpa lah", al-Ai telah buat keputusan bahawa jika Uki membayar upah , dia akan terima, nak bayar wang periksa punya fasal. Nak masuk sekolah menengah, tak mahu jadi seperti al-Hasan abangnya yang terpaksa kerja kulikang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan