Theflowersellingboy

Isnin, 23 Mei 2011

WARNA TEMA: Biru Cair Pun Boleh Juga. Wangnya Bagaimana?


Semua orang telah melelapkan mata. Isteri, anak, menantu dan cucu telah berada dimana-mana dalam alam mimpi mereka masing-masing.

Sufian masih lagi tidak mahu tidur. Dia masih bersandar diatas sofa  dalam bilik tidurnya yang diterangi lampu tidur 5 watt. Telah banyak kali mulutnya terbuka menguap untuk memberi isyarat kepada matanya supaya segera ditutup kerana badan perlu berihat. Tetapi otaknya tidak ke situ, otaknya masih memikirkan hal-hal yang telah dibincang bermula jam 8 malam sebaik saja selesai menikmati makan sekeluarga , tanpa anak bujangnya Sulaiman yang tidak dapat bercuti untuk duduk bersama. Sekarang sudah masuk 11.30 malam.

Dia menoleh kebelakang sambil memanjangkan lehernya melihat dalam kesamaran cahaya lampu tidur akan isterinya,Sufia, yang tidur lena dan berdengkuh.  Dia kembali ke kedudukan asal dan membetulkan sandaran badanya supaya lebih selesa.

Sementara semua orang ada, kecuali Sulaiman, Sufian telah mengajak mereka, isteri dan anak serta menantu untuk berbincang tentang persiapan bagi mengadakan majlis perkahwinan Sulaiman yang dijangka dalam tempoh dua bulan lagi. Perbincangan itu telah mengambilkira syarat-syarat yang telah ditetapkan Sulaiman semasa bersetuju dengan cadangan isterinya, emak Sulaiman yang menggesa Sulaiman cepat mencari pasangan kerana 'emak sudah tua'. Sufian walaupun tidak mendesak, bersetuju dengan nasihat isterinya itu kerana dia pun selalu tidak sihat setelah umur mencecah menghampiri usia nabi ketika wafat.

Sulaiman telah menetapkan syarat bahawa dia sendiri yang mencari pasangan. Syarat Sulaiman segera mendapat persetujuan isterinya yang terlalu gembira kerana itulah hasrat hatinya untuk melihat Sulaiman segera berkahwin. Majlis diadakan di dewan dan bukan dirumah supaya ada glamour. Apatah lagi kedua-dua kakaknya mengadakan majlis disebuah dewan yang ternama. Dan sewa dewan akan dibayar oleh Sulaiman hanya suku saja, bakinya tanggongjawab mereka berdua, Sufian dan Sufia. Sufia segera memandang Sufian yang berwajah selamba mendengar saja syarat-syarat yang dinyatakan oleh anaknya itu. Dia tidak memberi sebarang reaksi apabila mata Sufia melekat pada wajahnya yang meminta jawapan bersetuju atau bagaimana.

"Macam mana bang?" Sufia membuka mulutnya bertanya setelah matanya tidak berjaya mendesak Sufian memberi  reaksi segera akan syarat yang telah ditetapkan Sulaiman itu. "Dengar dulu. Ada apa lagi Man?" Belanja jamuan makan dan oleh-oleh Sufian yang tanggong. Belanja kad jemputan ditanggong sepenuhnya oleh Sulaiman tetapi sebanyak 100 kad jemputan khas diperuntukkan kepada Sulaiman untuk menjemput kawan kenalannya. "Ada lagi?" Sufian mula mahu cergas berbincang. Sulaiman diam tidak menjawab. Dia tahu dan dapat membaca makna dari intonasi cara bertanya bapanya itu.

"Macam mana belanja untuk pihak perempuan. Belanja nak pergi ke rumah perempuan?" Tanya Sufian. Sufia segera memandang tepat ke muka Sulaiman, kemudian mengalih pandangan ke muka Sufian. 'Nak pergi kerumah perempuan' mencetuskan kerisauan di hati Sufia. "Yang tu Man lah tanggong. Tapi rombongan kesana jangan ramai-ramai. Empat kereta cukup. Duit minyak kak Emi dan kak Isyah lah tanggong". Emi dan Isyah masing-masing memandang ke arah suami masing-masing minta restu persetujuan. Mereka , Lan dan Said diam, isyarat bersetuju gamaknya. Tapi wajah Sufia masih melukiskan rasa kerisauan dalam hati. 'Dah ada calun ke? Orang mana. Jauh ke dekat?'

"Man dah ada calun ke. Orang mana. Mak rasa baik cari yang dekat, sekampong lebih baik",  Sufia tidak dapat menahan rasa kerisauan yang ada dalam hatinya, dihamburkan keluar. "Tadi kan ke dah setuju. Man sendiri yang cari. Kalau nak suruh Man kawin cepatlah", Sulaiman mula memberi ancaman setelah mendiamkan diri.

Sufian bangkit dan menuju ketingkap yang tertutup rapat. Dia menyelak kain langsir bagi membolehkannya pandang keluar melalui cermin tingkap. Diluar lebih terang dik cahaya lampu ditiang elektrik dibahu jalan dihadapan rumahnya.Tetapi fikirannya masih lagi suram kabur tidak secerah pandangan diluar rumahnya. Belanja yang perlu ditanggong untuk majlis perkahwinan anaknya terlalu merisaukannya, berat. Wang ganjaran persaraannya yang tersimpan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) semakin menurun jumlah angkanya, berbaki empat angka, tidak mencapai sepuluh ribu. Dulu semasa bekerja sewaktu mengadakan majlis untuk dua orang anak perempuannya, Sufian tidak berjaga malam, bersunyi keseorangan seperti ini. Gaji dan simpanannya mencukupi. Kalau kurang boleh merujuk mana-mana bank untuk dapatkan pinjaman persendirian , atau pinjaman dari syarikat kerjasama MOCCIS, atau ada kawan-kawan yang bersedia memberi pinjaman.

Sekarang setelah bersara semua keistimewaan dan kemudahan itu telah menjuhkan diri , tiada yang sudi. Malah talipon dari kawan-kawan , semasa dia bekerja dulu yang sentiasa berdering-berdering walaupun pada awal pagi untuk mengajak bermain  golf atau di waktu malam sepi, pukul 12 untuk menjamu selera di warung, sudah tiada lagi senyap sepi. 'Begitulah' , Sufian mengakui akan realiti hidup.

Sufian kembali semula ketempat asal, duduk semula dan bersandar. Adik beradik Sufian saja ada sepuluh orang dan kesemuanya telah berkeluarga  serta mempunyai anak-anak. Disebelah isterinya pun sama cuma hanya lima adik beradik, sudah berkeluraga dan punya anak-anak. Saudara mara terdekat ramai juga. Kawan semasa bekerja di berbagai kementerian dan jabatan, kawan sekolah , kawan semasa menyewa rumah di berbagi kawasan. Kawan-kawan semasa kecil di kampong. Kawan-kawan Sulaiman yang telah diperuntukkan 100 kad jemputan . Kesemuanya melebihi 3,000 orang. Katakan satu kepala paling murah RM10.00, sudah mencapai RM30,000.00. Mati macam ni. 'Ahh jemput sikit saja', terkeluar kata hatinya cuba meredakan kerisauan.

Jemput adik beradik dan saudara mara yang terdekat, kawan Sulaiman 100, kenalan dan kawan hanya 200. Jumlah 300 tidak termasuk adik beradik dan saudara terdekat yang susah untuk dianggarkan. Mungkin yang datang seluruh anggota keluarga dari datuk, nenek sehingga ke anak cucu. Sufian buat anggaran,  golongan ini seramai 200 orang. Jumlah semua 500, jadi RM5,000.00. 'Ok, ok, okehhh', Sufian tersenyum dalam sinaran yang tidak terang.

Dia bangun seolah-olah jalan penyelesaian telah ditemui.  Apa lagi. Duit sewa dewan RM4,500.00 berdasarkan bayaran yang telah dikenakan semasa dua anaknya dulu. Sufian mengharapkan agar sewa dewan akan kekal. Turun, tidak mungkin. Kerisauan tiba-tiba menyelinap dalam otaknya. Sebab banyak harga barang telah naik. Bawang, gula, ikan, ayam dan banyak lagi harga telah naik seperti yang diberitahu oleh isterinya semasa mengadu kekurangan wang belanja bulanan yang diperuntukkan. Walaupun Sufian mendapat berita kenaikan harga itu tetapi dia tidak mahu memberatkan otaknya berfikir. Tanggongjawabnya cukup sekadar memberi peruntukan bulanan . Itu saja. Dia tidak terlibat dalam membeli barang keperluan harian.

'Harga minyak dah naik. Mungkin akan naik lagi'. Sufian terpaksa ambil berat tentang harga minyak kerana dia yang membayar setiap pembelian. Minyak naik yang lain pun turut naik. Mati macam ni.

'Pening kepala aku', sekali lagi tercetus keluar rintihan kesusahan yang mengasak dada Sufian. Isteri dan anak-anaknya telah mencadangkan dalam mesyuarat jam 8 tadi bahawa tema majlis pada kali ini mengambil warna biru muda. Mereka memberi alasan warna biru tua yang telah di gunakan semasa majlis perkahwinan dua anaknya terdahulu sudah jemu. Mesti ada perubahan. Kalau tidak, majlis tidak akan jadi glamour kerana jemputan akan dapat mengingati warna tema dua majlis dulu, biru tua. 'Dah tak ada warna lain ke?'

Dari segi tukar warna tema tidak menjadi masalah, Sufian bersetuju. Tetapi warna itu bukan sahaja untuk pakaian sekeluarga, hiasan di pelamin dan hiasan-hiasan dimeja tetapi semua adik beradik kedua belah pihak, Sufian dan Sufia akan juga memakai pakaian berwarna biru muda, biru cair pilihan yang telah dicadangkan. Itu pun tidak memeningkan kepala Sufian. Yang amat memeningkan kepala, sehingga Sufian menaikkan suara tinggi apabila isterinya mencadangkan  bahawa kesemua pakaian yang berwarna biru cair itu, yang dikatakan satu perubahan bagi meraikan tetamu jemputan, 'kita yang beli supaya mendapat warna yang benar-benar sama'. 'Cukuplah. Pening kepala aku', Kesemua ahli mesyuarat terdiam. Senyap sunyi. Perlahan-lahan anak dan menantu bangun menuju ke bilik masing-masing. Tinggal Sufian dan Sufia suami isteri. Sufia tunduk terlalu takut. Dia perlahan-lahan bangun dengan menongkat kedua-dua tangan membantu menegakkan badan berdiri dan dengan muram melangkah kedalam bilik. Sufian tinggal keseorangan.

Sufian menoleh pada kali yang kedua kearah isterinya yang sedang tidur. Dia dengan perlahan bangun untuk menaikki katil berbaring di sebelah isteri. Perasaan menyesal mula menguasai Sufian apabila menatap wajah isterinya yang sedang lena, masih berdengkor. 'Bukan aku tak setuju, tapi kan ke aku dah pencen. Siapa sudi nak tolong', Sufian melelapkan mata cuba lena. Harap-harap pening kepala hilang sama.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan