Selamat berjumpa lagi. Semoga semua sihat-sihat belaka
Pada 12 Mei 2011 hari Khamis disebuah poliklinik kerajaan saya telah bertemu dengan seorang warga emas lelaki, katanya berketurunan Cina Peranakan atau Baba yang sedang menunggu anak saudaranya untuk balik kerumah. Sementara anak saudaranya belum sampai, beliau sempat bercerita mengenai adik perempuannya yang sakit dan ketika ini berada di Rumah Orang Tua-tua (ROT).
Katanya , dia tidak bersetuju untuk menghantar adiknya itu ke ROT tapi apakan daya anak saudaranya itu iaitu anak adiknya telah membuat keputusan bahawa itulah yang terbaik yang perlu dilakukan kerana beliau dan anak saudaranya itu berkemungkinan tidak dapat menumpukan sepenuh masa bagi menguruskan adiknya itu. Masing-masing ada tugas yang perlu dilakukan.
Pada mulanya, beliau menyambung cerita, mereka menggaji pembantu rumah dari Indonesia untuk menjaga adiknya itu tetapi pembantu itu tidak memberikan perkhidmatan seperti yang diharapkan. Telah tiga pembantu bertukar ganti dan akhirnya adiknya itu di hantar ke ROT. Mengikut ceritanya lagi setiap petang Khamis beliau akan menghantar makanan kepada adiknya untuk sesekali merasa masakan rumah yang lebih menyelerakan.
Cerita sahabat kita warga emas itu, bagi setengah pihak adalah satu perkara yang biasa saja dan menganggap satu perkara yang wajar dilakukan. Apa salahnya menghantar emak yang sakit ke ROT kerana disana ada pihak yang dapat memberi perhatian dan jagaan kerana anak-anak juga mempunyai urusan bagi meneruskan kehidupan mereka masing-masing. Semua orang sayangkan emak. Oleh itu, dik sayangkan emak itulah anak-anak mahu memastikan bahawa emak mendapat perhatian dan jagaan yang terjamin yang diberikan oleh ROT. Sekiranya emak tinggal seorang di rumah kerana anak atau anak-anak bekerja maka sudah tentu makan minum emak tidak terurus , obat yang sepatutnya diambil pada waktu tertentu tidak diambil, dan keselamatan pun tidak terjamin.
Apa pilihan yang ada? Takkan anak itu perlu berhenti kerja.
Sudah tentu menghantar ke ROT satu tindakan yang tidak boleh dianggap sebagai anak yang tidak mengenang budi, zalim atau apa saja panggilan yang mencerca tindakan anak itu.
Bagi setengah pihak pula yang memberi makna bahawa kasih sayang antara anak dan emak sebagai membalas pengorbanan emak kerana melahirkan, menjaga dan membesarkannya sehingga besar panjang mendapat kerja, tindakan yang wajar ialah supaya anak itu menjaga sendiri emak yang sakit itu dan bukan menghantar ke ROT. Setengahnya menggunakan ajaran agama bagi memperkuatkan lagi hujah akan tanggongjawab anak untuk menjaga sendiri ibu atau emak yang tua.
Tetapi bagaimana? Tanya anak-anak yang bekerjaya.
Mungkin ada yang memberi cadangan dengan mendapatkan pembantu rumah untuk menjaga , sementara menunggu anak balik dari kerja. Kaedah ini samalah seperti yang dilakukan oleh warga emas dan anak saudaranya seperti yang diceritakan diatas. Ada masalahnya.
Mungkin juga boleh dicadangkan supaya anak itu memohon cuti tanpa gaji buat sementara. Cara ini pun ada masalahnya. Pertama dari mana boleh didapatkan sumber wang untuk belanja. Kedua, adakah majikan bersetuju dengan permohonan itu. Ketiga berapa lama cuti tanpa gaji itu yang perlu dipohon.
Apakah caranya yang terbaik supaya seseorang anak itu dapat memberi khidmat terbaik kepada emak yang sudah tua dan sakit selain menghantar ke ROT?
Itulah soalan yang ditanyakan oleh warga emas tadi sebelum beliau menaikki kereta anak saudarnya meninggalkan saya untuk kembali ke rumah. Wajahnya nampak sedih . Katanya lagi , selepas menghantarnya balik, anak saudaranya akan ke Seremban untuk meneruskan kerjanya yang meraih pendapatan RM4.000.00 sebulan, dan dia petang nanti akan menghantar makanan kepada adik yang disayangi yang dibawah jagaan ROT.
Saya terpinga-pinga tiada jawapan untuk membantu warga emas yang juga belum tahu nasibnya sama ada dia juga akan kesitu, ROT. Saya yang juga dalam kategori yang sama mula terfikir begitu. Ke ROT atau merumitkan kehidupan anak-anak.
Cuma saya sentiasa berdoa supaya sebaik-baiknya saya sentiasa sihat dan dapat menguruskan diri, tinggal di rumah sendiri kalau boleh dibawah jagaan anak-anak sebelum tiba masa untuk kesana, bukan ke ROT tetapi kembali kepada yang berhak. Tapi kalau terpaksa ke ROT saya redha dan tidak akan menyalahkan anak-anak kerana saya percaya tiada seorang anak pun tidak sayang emak atau bapanya.
Keadaan telah berubah.
Jumpa lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan