Theflowersellingboy

Khamis, 26 Mei 2011

SUBSIDI ITU CANDU

Saya bertanya kepada isteri yang duduk disebelah semasa kami hendak ke pasar membeli keperluan harian: Apakah perkataan yang selalu disebutkan ketika ini yang boleh memberi kesan kepada kita dan negara? Isteri saya termenung dan berfikir panjang kerana terlalu banyak perkataan yang telah disebut dan diperkatakan dalam setiap detik dan masa. Cuma agaknya dia sedang mencari perkataan yang ada kait mengait dengan kehidupan harian, yang mempengaruhi dan memberi kesan kepada kita dan negara. Isteri saya tersenyum dia telah jumpa agaknya perkataan itu. Dia jawab :'Pilihanraya.  Tidak lama lagi ada pilihanraya. Kita diberi peluang untuk memilih siapa yang akan memimpin'. Sukanya isteri saya seolah-olah dia telah memberi jawapan yang betul.

'Bukan' , saya merosakkan mood keceriaan isteri yang memang 100 peratus yakin itulah perkataan yang selalu diperkatakan ketika ini yang boleh memberi kesan kepada kita dan negara. Manakan tidak, sebab kalau salah pilih, kalau pilih pihak yang tidak memberi pertimbangan kepada kesejahteraan rakyat, bukankah naya jawabnya.

Saya pula tidaklah mengatakan jawapannya itu salah, cuma mengatakan 'bukan' saja kerana ianya tidak menepati dengan perkataan yang ada dalam otak kepala saya berdasarkan sudut pandang saya, tidak mesti saya yang betul. Mungkin perkataan 'pilihanraya' itu lebih tepat dan betul. Lagipun saya tidak ada pun buat kajian atau penyelidikan bagi menyokong secara saintifik dan statistik bahawa perkataan yang ada dalam otak kepala saya itu yang 'betul' bagi menjawab soalan yang ditanya.

'Tapi tak salah kan?' Kata isteri saya yang masih percaya dengan jawapannya itu. 'Memang tak salah tapi tak sama dengan perkataan yang abang ada'. 'Macam mana saya nak baca fikiran abang. Kalau betul pun abang boleh tukar perkataan lain sengaja tak mahu sama'. Isteri mengenakan tali pinggang keledar dan menggesa saya menghidupkan enjin kereta untuk ke pasar, semacam merajuk nampaknya.

Waktu menghidupkan enjin kereta saya melihat jarum penanda aras minyak melekat pada huruf 'E'. ' Wah bahaya ni,. Takut tak sempat sampai ke stesyen minyak, minyak habis'.  Isteri saya menempelak dengan mengatakan saya tidak memberi perhatian kepada ingatannya semalam supaya mengisi tangki minyak kereta Kelisa itu. Saya masih lagi mempertahankan diri dengan mengatakan 'kereta Kelisa tak kuat makan minyak. Setakat kestesyen Petronas yang jaraknya 2 kilo masih boleh sampai', walaupun saya sendiri merasa cemas.

Saya cemas kerana takut tak sempat sampai ke stesyen minyak. Saya juga cemas kalau-kalau harga minyak naik. Ketika ini  harga Ron 95 ialah RM1.90 seliter melebihi 15 sen seliter berbanding dengan harga sebelumnya yang juga melebihi dari harga sebelumnya. Maknanya harga minyak sentiasa naik. Alasan kenaikan ialah harga minyak dunia naik maka kita tidak ada pilihan melainkan menaikkan harga minyak. Itupun , kata pihak berkuasa, kerajaan kita masih menanggong subsidi minyak yang besar. Lagi pun , hujah kerajaan, harga minyak kita lebih murah dari negara jiran.

Cuma kerajaan terlupa nak beritahu pendapatan rakyat negara jiran yang jauh melebihi pendapatan rakyat kita. Kalau anda tidak percaya, anda bandingkan pendapatan seorang pemandu kereta kerajaan di Singapura (kakitangan peringkat rendah) dengan pegawai kerajaan Malaysia yang baru masuk kerja diperingkat pengurusan dan professional. Macam mana? Saya bernasib baik kerana mempunyai ramai sepupu di Singapura yang sentiasa berulang ke Malaysia melawat saudara mara  dengan kereta sendiri yang lebih besar berbanding dengan Kelisa seorang pesara , pegawai kanan kerajaan. Jangan banding dengan pemandu kita.

Hendak ke Singapura untuk membalas lawatan pun tak mampu. Asyik berkira fasal duit minyak. Duit tol. Kalau singgah di R&R nak minum teh dan makan goreng pisang atau apa saja, tentukan dulu duit cukup kerana harga secawan teh pun naik, harga makanan yang lain pun naik.  Semua naik. Alasan penjual ialah
harga gula naik, jadi harga secawan teh kenalah naik. Harga bawang naik maka harga makanan yang menggunakan bawang pun naik. Alasan yang popular ialah harga minyak naik, jadi harga yang lain kenalah naik sebab melibatkan pengangkutan.

Untuk mengurangkan beban kenaikan harga barang dan perkhidmatan, misalnya kenaikan harga gula kita telah dinasihatkan supaya jangan ambil gula terlalu banyak kerana ianya tidak baik dari segi kesihatan, kena kencing manis. Nasihat itu memang betul dan perlu diambil dan diamalkan. Pertama boleh kurang belanja. Kedua kesihatan kita terjaga. Namun apabila ada pihak yang menasihatkan supaya pengambilan gula dikurangkan kerana ianya racun, ini sudah lebeh.

Bagaimana pula kata-kata Perdana Menteri bahawa subsidi itu sudah menjadi sebagai satu candu?  Oleh kerana itu mereka yang sudah tercandu dengan subsidi tidak dapat menerima atau sentiasa tidak bersetuju apabila kerajaan bertindak atau bercadang untuk mengurangkan subsidi yang dikatakan 'membebankan' belanjawan kerajaan setahun ke setahun. Difisit semakin membesar. Takkan kerajaan nak meminjam bagi menguruskan negara semata-mata untuk mempertahankan pemberian subsidi berterusan. Macam mana dengan projek pembangunan? Pinjam juga. Macam ni matilah kerajaan.  Bengkrap. Muflis.

Itu yang diperkatakan oleh Kerajaan sebagai menyokong kenyataan bagi merengankan beban negara. Apa pula kata rakyat seperti saya dan yang lain. Macam-macam saya boleh kata. Anda pun sama. Mungkin kita berbeza dari sudut pandangan, sama seperti saya dan isteri dalam meneka soalan saya tadi. Yang pasti sama, ,ialah saya dan anda hendak hidup dalam keadaan yang sejahtera tidak sentiasa tetekan dengan kenaikan harga, boleh jadi papa, gila di buatnya.

Saya masih lagi belum memberi jawapan kepada pertanyaan saya kepada isteri tadi. Benar kah begitu? Sebenarnya saya telah menjawab cuma anda kena lebih perihatin dan teliti kerana jawapnnya ialah subsidi.

Masing-masing pihak , kerajaan dan yang menyokong dan pihak yang tidak menyokong terutama pihak yang bercita-cita untuk memimpin negara mempunyai pandangan yang sama iaitu 'subsidi' membebankan. Cuma yang berbeza ialah pihak yang pertama lebih cenderung untuk mengurangkan kalau tidak pun menghapuskannya, dan pihak yang kedua pula mempertahankannya , sebaik-baiknya subsidi minyak jangan dikurangkan tetapai subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) dikaji dan dikurangkan.

Saya tidak mahu mengatakan mana-mana pihak betul atau salah kerana saya tidak ada maklumat yang lengkap. Tapi saya terlalu pasti jawapan saya akan terjawab dalam pilihanraya nanti, termasuklah jawapan isteri saya, walaupun saya tidak mungkin dapat baca fikirannya dengan tepat. Saya hanya boleh baca apabila raut mukanya masam apabila saya mengurangkan duit belanja. Kurangkan SUBSIDI. Sebab itu CANDU.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan