Saya dibesar dan membesar di sebuah kampong yang hidup dan bergaul bersama-sama dengan jiran sebuah estet getah kepunyaan orang putih. Keseluruhan pekerja estet yang disediakan tempat kediaman itu terdiri dari orang India, secara tepatnya orang Tamil. Salah seorang kawan baik yang sepermainan dengan saya bernama Manickam. Kalau tidak tengok wajah beliau, dan hanya mendengar suara dan tutur katanya maka dia akan disangka sebagai orang Melayu, cukup fasih berbahsa Melayu.
Dalam pergaulan dan sebagai kawan sepermainan, sempat juga beliau mengajar saya beberapa perkataan Tamil yang saya masih ingat sehingga ke hari ini, walaupun kami tidak pernah berjumpa sudah lebih 45 tahun sehingga kini. Semoga beliau berada dalam keadaan sihat.
Perkataan-perkataan Tamil yang masih saya ingat ialah 'kalianam, kazel, tani, kasi, elek, dan beberapa perkataan lain yang tidak wajar disebut kerana berunsur carutan. Namun saya tidak ingat sama ada perkataan pandi-kutty pernah diajar atau tidak. Saya kuat merasakan bahawa kawan saya Manickam itu tidak pernah mengajar perkataan pandi-kutty itu semasa kami sepergaulan dan sepermainan dulu. Saya hanya baru tahu perkataan itu pada dua hari yang lepas. Dan sekarang saya sudah hafal dan tahu maknanya.
Rupa-rupanya perkataan pandi-kutty itu berperanan untuk menghina atau menjatuhkan maruah seseorang. Saya tidak pasti dalam budaya Tamil apabila seseorang itu dikatakan pandi-kutty maka orang itu telah dihina untuk merendahkan maruahnya. Tetapi apabila pandi-kutty itu diterjemahkan ke Bahasa Melayu yang membawa makna anak babi maka sesiapa yang dipanggil sedemikian sudah tentu merasakan bahawa dia dihina dengan tujuan untuk menjatuhkan maruahnya.
Orang Melayu yang juga orang Islam atau beragama Islam terlalu sensitif dengan binatang yang dipanggil babi ini sebab babi ini secara jelas dan terang telah dinyatakan dalam Al-Quran sebagai binatang yang haram untuk dimakan, malah untuk disentuh dan dipegang pun dilarang. Kalau tersentuh atau terpegang, seseorang itu kena samak atau membersihkan dengan kaedah tertentu.
Dengan demikian adalah tidak wajar dan tidak sopan kita memanggil seseorang itu anak babi atau babi yang meletakkan seseorang yang dipanggil itu pada kedudukan yang amat hina.
Mengapa kita perlu menghina seseorang? Mengapa kita begitu betah menjatuhkan maruah seseorang?
Pada zaman kanak-kanak dulu , ejek-mengejek dan kata mengata antara kawan sepermainan adalah satu perkara biasa dan sentiasa berulang, sehingga kadang-kadang membawa kepada cabar mencabar untuk berlengan. "Ini kepala bapa kau , ini kepala bapa aku. Kalau kau berani pijaklah ", itulah cabar mencabar antara anak-anak yang masih berhingus dengan meletakkan apa saja objek, biasanya sebiji batu yang mewakili setiap satu 'kepala', apabila timbul perbezaan pendapat atau pandangan atau pertengkaran atau perebutan, untuk memulakan pergaduhan atau berlengan. Jika yang dicabar itu berani ,biasanya memang berani terutama kalau awek yang menjadi rebutan, atau ada kuncu-kuncu yang menjadi batu api, maka dia akan memijak 'kepala' bapa yang mencabar, maka bermulalah perlenganan, bertumbuk. Sebab bagi budaya orang Melayu kepala jangan dibuat main, jangan dipijak-pijak terutama 'kepala bapa' walaupun ianya sebiji batu. Itu adalah maruah.
Memang manusia, tidak kira apa bangsa dan agama sentiasa memberi nilai yang tinggi terhadap maruah. Maruah perlu dijaga. Tidak ada sesiapa pun akan rela untuk membenarkan mana-mana pihak untuk menjatuhkan maruahnya, termasuk kanak-kanak yang masih berhingus dalam kisah cabar mencabar tadi.
Kepala dan babi adalah dua objek yang ada kaitan dengan maruah, khususnya kepada orang Melayu. Kepala , jangan dipermainkan dan babi pula jangan disekutukan dengan orang Melayu. Jika itu berlaku maka 'mengamuk'lah orang yang kena kata.
Berbalik kepada pandi-kutty tadi, ianya menjadi heboh apabila Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyebutkannya dalam satu perjumpaan politik di Klang yang dikatakan ditujukan kepada Perdana Menteri Najib. Saya tidak pasti kepada siapa atau pihak mana yang menjadi sasaran Anwar. Beliau saja yang tahu selain dari Allah SWT.
Namun begitu, saya tidak bersetuju panggilan-panggilan yang kurang manis, apatah lagi panggilan anak babi atau babi ditujukan kepada pesaing dalam cara dan kaedah kita untuk menang dalam pertarungan politik untuk mendapat kuasa, dan berhasrat untuk menerajui pimpinan negara. Bukankah Anwar sendiri telah mencadangkan diadakan perdebatan diantaranya dan Najib dalam hal-hal mengenai pengurusan negara? Ini adalah satu kaedah dan cara yang terhormat dan amat baik sekali bagi rakyat untuk berfikir dan menilai pihak yang manakah yang boleh diberi kepercayaan dan amanah untuk menguruskan negara. Saya dan sebahagian besar rakyat masih menunggu dengan penuh harapan supaya perdebatan ini menjadi kenyataan.
Kenapa beberapa hari yang lepas Anwar menggunakan kaedah pandi-kutty?
Adakah Anwar tidak mahu meneruskan cabaran untuk berdebat?
Seperti yang telah dinyatakan diatas bahawa Anwar saja yang tahu mengapa beliau menggunakan perkataan pandi-kutty untuk seseorang atau ditujukan kepada sesuatu pihak.
Namun adalah molek sekirannya dipihak Perdana Menteri Najib dan para penyokong sendiri memikirkan jawapan kepada persoalan diatas. Perdana Menteri dan penyokong telah menyatakan bahawa panggilan pandi-kutty itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerana ia menyentuh maruah dan hina sekali, dan beliau tidak akan berbuat demikian. Sesungguhnya saya, dan rasanya orang lain juga amat bersetuju dan menyokong kenyataan perdana menteri yang tidak akan melakukan perkara yang sama, menghina dan menjatuhkan maruah orang.
Cuma semasa perdana menteri keseorangan, sewaktu sebelum mata terlena, ambil masa sedikit, sejenak pun tidak mengapa untuk berlapang dada, untuk otak dapat mengingatkan apa yang telah berlalu, untuk memberi peluang kepada hati kecil berkata-kata kerana hati kecil tidak pandai berbohong , jawapan kepada persoalan mengapa pandi-kutty itu menjadi pilihan Anwar akan terjawab. Wallahualam.
Hanya sengaja hendak dicatatkan disini beberapa pernyataan untuk direnungi semua dan untuk memberi peluang kepada hati kecil masing-masing berbisik untuk diri sendiri sahaja:
1. Anwar seorang yang terlibat dalam Sodomi
2. Anwar teribat dalam perzinahan seperti yang digambarkan dalam video lucah yang dengan bangga dipertontonkan, dan sekarang tersebar luas dalam alam maya.
3.Anwar Agen negara asing
4. Anwar penderhaka orang Melayu
Pernyataan-pernyataan diatas diulang kata dan diulang tayang sehingga menimbulkan rasa meluat dan kebimbangan. Bimbang akan generasi akan datang.
Hati kecil saya berbisik untuk saya saja. Tapi bolehlah saya beritahu bahawa sebenarnya pernyataan diatas ada kaitan dengan maruah, menjatuhkan maruah seseorang, menghina sehina-hinanya maruah seseorang yang lebih dahsyat berbanding pandi-kutty.
Akhirnya saya amat memandang tinggi akan cara yang digunakan oleh kanak-kanak yang berhingus semasa mereka cabar mencabar untuk membenarkan pendirian masing-masing dalam sesuatu perbalahan atau perebutan "Ini kepala bapa kau, ini kepala bapa aku, kalau berani pijaklah". Lepas tu mereka berlengan, bertumbuk, berbaik semula, mencabar dan bertumbuk, berbaik semula.
Najib dan Anwar macam mana? Mahu menggunakan kaedah kanak-kanak yang berhingus tu? Buat apa berdebat buang masa saja. Berlengan lagi syok, macam budak-budak tadi kerana akhirnya mereka berbaik semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan