Hari ini fikirannya sungguh buntu. Tidak ada idea . Inspirasi tidak mahu mengalir masuk kedalam otaknya. Dia belum dapat memulakan taipan pada komputernya. Paparan dalam blognya tidak mungkin dapat dilakukan pada hari ini. Hari esok, belum tentu lagi. Dia bertambah pening dan buntu.
Segala-galanya beku, lesu termasuk matanya yang kuyu. Mulutnya sentiasa menguap kesan daripada menonton tv sehingga larut pagi. Kesemuanya adalah penangan tayangan langsong acara sukan. Bermula dengan perlawanan badminton, siri kejohanan yang dianjurkan negara yang bermula pada jam 6 petang, yang terpaksa ditinggalkan pada jam 10 untuk mengikuti perlawanan bola Liga Primier Inggeris diantara Manchester United dan Chelsea, dan bersambong perlawanan akhir tenis di Madrid diantara Nadal dan Djokovic yang terpaksa ditonton lewat beberapa minit untuk menghabiskan babak Manchester dan Chelsea. Sungguh hebat sekali penangan acara sukan itu sehingga dia sanggup berjaga sampai ke pagi, kerana kesemua acara itu adalah acara yang melibatkan orang dan pasukan yang diminati. Dia berpuas hati cuma amat kecewa dengan kekalahan Nadal.
Sudah pukul 10 pagi. Dia bangkit dari sofa hijau yang telah lusuh warnanya meninggalkan komputer riba kecilnya menuju kearah tingkap biliknya yang menghala kejalan.. Kedua-dua tingkap di buka luas. Di seberang jalan adalah lot-lot tanah kediaman yang ditumbuhi pokok-pokok liar dan semak samun akibat belum didirikan rumah oleh tuan yang empunya. Matanya yang kuyu mengalihkan pandangan disebelah kanan dan kiri rumahnya. Keadaannya juga sama , pokok-pokok liar yang besar dan tinggi serta semak samun tempat terbaik bagi kediaman ular dan biawak. Dibahagian belakang rumahnya terdapat satu lot tanah kediaman yang keadaannya lebih teruk lagi. Pokok liar dan besar tumbuh condong ke arah rumahnya. Waktu angin kencang terutama waktu malam dia dan keluarga tidak senang tidur kerana khuatir pokok-pokok itu tumbang menghempap rumahnya setidak-tidaknya bilik anak lelakinya yang terlalu dekat dengan pokok-pokok yang condong itu.
Dia melihat jam digital yang terletak diatas rak berhampiran dengan tvnya. Sudah 10.20 minit tetapi pekerja yang sepatutnya datang untuk menebang pokok di belakang rumah yang mengancam keselamatan itu masih lagi belum kunjung tiba. Dua hari yang lepas pekerja itu, orang tempatan yang di panggil Hashim, telah menebatang dua batang pokok. Sebatang darinya telah menghempap dan merosakkan sebahagian tiang dan dawai berduri pagarnya.
"Saya dah tebang pokok ni lebih dari sepuluh tahun, selepas bersara", kata Hashim seorang bekas pekerja kapal dengan begitu bangga dan sedikit takabur akan pengalamannya apabila dia mencadangkan supaya dicantas terlebih dulu dahan-dahan yang telah mencecah atap rumahnya. "Abang jangan takut. Gerenti tak kena punya", Hashim meyakinkan lagi apabila Hashim mendapati wajah dia menunjukkan kerunsingan.
'Sekarang apa sudah jadi? Pengalaman konon. Bodoh sombong. Dah pukul sepuluh lebih masih tak datang. Duit dah ambil $550'. Hati kecil dia mula marah dan darah mula mengalir deras keseluruh anggota badan dik jantung yang kuat mengepam. Tangan kananya meraba-raba dadanya yang tidak sakit itu. Dia tersenyum, 'ok , masih boleh marah lagi'. Dia telah empat tahun menjalani pembedahan jantung terbuka untuk membuat laluan pintasan.
Dia terus memandang pokok-pokok besar yang tumbuh di lot-lot diseberang jalan rumahnya. Dia kenal kesemua tuan punya lot-lot itu termasuk yang dikiri, kanan dan belakang rumahnya. Sebahagian dari mereka mengenalinya dan sebahagiannya tidak. Sebahagian besar telah bersara dan ada yang di penghujung kerjaya. Kesemua mereka berjawatan tinggi dalam berbagai perkhidmatan kerajaan, perkhidmatan am, perkhidmatan polis dan tentera, perkhidmatan undang-undang dan kehakiman. Terdapat 25 lot kesemuanya yang dijual kepada pegawai-pegawai Melayu pada harga kos dan bukan harga pasaran semasa, sebagai 'menghargai' perkjidmatan mereka. Dia bernasib baik kerana termasuk dalam kategori itu. Penjualan adalah bersyarat iaitu mesti membina rumah dalam tempoh dua tahun dari tarikh pemilkan hak milik tanah dan tanah tidak boleh di jual tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Sekarang sudah lebih 15 tahun hanya dia seorang saja yang telah membina rumah sebagai memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Tiga lot telah bertukar hak milik kepada bukan Melayu dan telahpun dibina rumah. 'Siapa yang membenarkan ketirisan. Siapa yang tidak patuh kepada peraturan dan undang-undang. Pegawai tinggi konon. Kalau yang kecil-kecil melanggar syarat, sudah tentu tanah kena rampas'. Kemarahannya mula datang lagi menusuk dadanya kerana orang-orang inilah yang sentiasa memberi nasihat dan amaran semasa dalam perkhidmatan dulu agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang. Dia mula meraba-raba dadanya, 'masih ok', sambil tersenyum meredakan kemarahannya.
Sebuah kereta Honda berwarna putih yang telah biasa dengan matanya berhenti di hadapan pintu pagar rumahnya yang masih tertutup. Musa kawan baiknya membunyikan hon sebagai permintaan supaya pintu pagar dibuka untuk membolehkan beliau masuk ke halaman rumah. Dia lantas mengambil alat kawalan jauh untuk menggerakkan pintu pagarnya terbuka. Dia lantas turun kebawah menemui Musa.
"Hashim tak datang lagi ke? Musa mulakan perbualan. Nampaknya Musa mengambil berat apabila semalam dia menalipon Musa memberitahu yang Hashim tidak datang bekerja kerana Musa yang memperkenalkan Hashim kepadanya. "Belum nampak lagi", Dia menjawab perlahan. Sebenarnya dia menahan kemarahan. "Tak apalah nanti ada dua budak Indon. Dia akan tolong Hashim. Saya dah talipon minta dia datang hari ni. Tebang pokok. Kerja yang lain dua budak Indon akan teruskan". Musa mengambil tanggongjawab walaupun tidak ada kena mengena dengannya cuma sekadar rasa bersalah kerana memperkenalkan Hashim.
Jam 12 tengah hari dua pekerja Indon muncul menaikki motorsikal kecil. "Haji Musa minta saya datang. Katanya ada kerja mahu dibikin". Dia menganggokkan kepala. Tidak berapa lama, Hashim muncul memberhentikan keretanya dibahu jalan dihadapan rumah. Hashim meminta dua orang pekerja Indon untuk membantunya menebang pokok.
"Saya rasa Shim , awak kena cantas dahan yang kena kat atap tu", Dia meminta Hashim untuk mengelakkan peristiwa dua hari yang lepas berulang. Hashim tidak menjawab dan tidak juga meminta dua pekerja Indon itu untuk membantunya mencantas dahan berkenaan. Dani seorang dari pekerja Indon itu bersetuju supaya dahan itu dicantas terlebih dahulu. Ini membuatkan Hashim jadi marah. "Awak Indon apa tau. Saya dah lama buat kerja ni. Jangan nak mengajar saya. Pergi kesana, ikat tali ni pada pokok di hujung tu. Saya tebang, awak tarik bila saya suruh", suara Hashim tinggi marahkan budak Indon itu yang tunduk diam melangkah menuju tempat yang diarah.
Sekali lagi pokok yang ditebang menghempap sebahagian lagi tiang dan dawai berduri pagarnya. Hashim menyalahkan pekerja-pekerja Indon itu kerana tidak menarik dengan kuat bagi mengelakkan dahan pokok itu menghempap pagar. "Kalau orang saya tarik tak jadi hal. Ada caranya nak menarik", marah Hashim kepada pekeja Indon itu . Hashim meletakkan kesalahan kepada orang lain kerana tebang menebang pokok adalah bidang kepakarannya. Tanpa mengemas dahan-dahan yang telah merosakkan pagar, tidak juga memohon maaf, Hashim terus menuju ke keretanya meninggalkan dua pekerja Indon untuk menguruskan kerja seterusnya. Hashim meluncur dengan keretanya tanpa salam.
Dia tidak berkata apa-apa menahan kemarahannya. Seperti biasa tangan kananya meraba dada yang tidak sakit itu, 'masih ok' bisiknya dan melangkah mendekati dua pekerja Indon yang sedang tekun memotong dahan yang menghempap pagar tadi. "Dani, badan awak ni kecil tapi kuat kerja", Dia memuji pekerja Indon itu yang peluhnya membasahi bajunya. "Mau cari makan bang", jawab Dani segera sambil meneruskan kerjanya. Dia terlalu kasihan melihat kedua pekerja itu yang bekerja dalam panas terik. "Nanti saya ambil air minum. Panas sangat", Dia melangkah ke dapur meminta isteri menyediakan teh ais.
"Jemput minum. Berhenti sekejap", Dia menjemput Dani dan kawannya untuk menghilangkan kehausan. Dengan cepat kedua-duanya datang. Teh ais begitu cepat membasahi tekak menghilangkan kehausan "Terima kasih, bang", Dani menyapu mulutnya dengan lengan tangannya. "Kuat sungguh kamu bekerja." sekali lagi dia memuji. "Tapi Dani, saya minta maaf . ada pekerja Indon yang jahat-jahat, mencuri , membunuh macam-macam lagi", Dia cuba membandingkan Dani dengan cerita yang selalu didengar mengenai pekerja-pekerja dari Indonesia. "Biasa bang. Orang Melayu pun ada yang jahat, menipu. Lihat tadi, dia tinggalkan aja, enggak minta maaf. Salah sendiri, dibilangnya kami tidak tarik kuat-kuat", Dani lancar memberi komen bahawa baik dan jahat bukan berpunca dari asal usul , kedudukan atau bangsa seseorang. "Orang Melayu marah, sebab orang seberang datang kerja disini. Tapi orang Melayu malas, enggak mau kerja macam kami", Dani terus meluahkan perasaannya, ada nada kemarahan diatas sikap orang tempatan yang memandang serong terhadap pekerja dari Indonesia. "Enggak semua Indon itu jelek bang", Dani terus bangkit untuk memulakan kerjanya.
Dia tergamam. Malu pun ada. Kata-kata Dani itu ada kebenarannya. 'Hashim dan pemilik-pemilik lot tanah macam mana? Baik ke mereka?' Dia bangun untuk memasuki rumah membawa bersama persoalan yang terus membisik dalam hatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan