Bertarikh 18 Mei 2011 hari Rabu, di Poliklinik Kerajaan , Air Keroh Melaka, pukul 10.20 pagi terdapat beberapa anak-anak muda lelaki dan perempuan sedang berurusan dengan pihak klinik untuk membuat Pemeriksaan Perubatan bagi tujuan memasuki Institut Pengajaian Tinggi. Saya sempat bertanya ringkas seorang daripadannya yang menyatakan akan mengikuti kursus Sains Kuantitatif di UiTM Lendu Melaka. Beliau adalah lepasan peperiksaan SPM tahun 2010 yang lepas.
Berbanding dengan tahun awal enam puluhan sehingga tujuh puluhan pada abad yang lepas, peluang untuk belajar di institusi pengajian tinggi ketika ini amat terbuka luas. Pada tahun-tahun di abad yang lepas seseorang pelajar itu akan mula menghadapi proses penyingkiran iaitu peperiksaan seawal diperingkat rendah lagi. Untuk memasuki sekolah menengah pelajar wajib menduduki peperiksaan darjah enam. Jika lulus , alhamduliilah , bolehlah meneruskan pelajaran diperingkat menengah. Sebaliknya jika gagal maka setakat itulah bekalan pendidikan yang akan dibawa bersama dalam meneruskan kehidupan. Biasanya mereka memasuki ke pasaran buruh pada umur yang terlalu muda, menjadi penorih getah atau nelayan menurut persekitaran mereka.
Ketika ini , paling rendah pendidikan yang akan diterima tanpa penyingkiran, walaupun ada peperiksaan UPSR diperingkat rendah dan PMR diperingkat menengah rendah, pelajar dengan keputusan yang kurang baik pun berpeluang untuk meneruskan pendidikan sehingga ke tingkatan lima sama ada dalam jurusan biasa mahu pun bidang vokesyenal dan teknik. Seterusnya mereka ini akan menduduki peperiksaan SPM atau yang setaraf dengannya untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran diperingkat yang lebih tinggi lagi, jika memnuhi syarat-syarat yang diperlukan. Bermakna proses penyingkiran pada ketika ini berlaku setelah seseorang itu diberi peluang mendapat pendidikan selama 11 tahun. Selepas SPM dan yang setaraf dengannya seseorang pelajar itu akan meneruskan kehidupan mereka sama ada masuk kepasaran buruh/menganggur atau meneruskan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi.
Mereka yang berjaya dalam SPM yang mahu meneruskan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi mempunyai pilihan untuk berbuat demikian melalui saluran-saluran seperti memasuki tingkatan enam untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan; memasuki Kolej Matrikulasi untuk menghadapi peperiksaan khas yang telah ditentukan; dan memasuki Universiti bagi mengikuti kursus di peringkat asas atau diploma.
Pelajar yang sempat saya ketemui tadi telah memilih untuk mengambil diploma. Kalau mendapat keputusan yang boleh melayakkan beliau untuk mengambil ijazah , saya percaya beliau tidak akan melepaskan peluang itu.
Saya tidak mempunyai stastistik untuk membandingkan saluran mana yang menjadi pilihan yang popular bagi seseorang pelajar itu bagi meneruskan pelajaran sehingga ke peringkat ijazah pertama. Cuma saya melihat bahawa meneruskan pelajaran ke tingkatan enam dan menduduki peperiksaan STP untuk ke peringkat ijazah pertama telah menjadi kurang popular. Bahkan ada setengah pihak berpendapat bahawa saluran tingkatan enam itu adalah bagi pelajar-pelajar yang gagal untuk memasuki kolej matrikulasi atau gagal dalam permohonan di peringkat diploma. Kelihatan bahawa saluran pilihan yang popular untuk keperingkat ijazah pertama ialah melalui kolej matrikulasi dan mendapatkan diploma terlebih dahulu.
Ada juga setengah pihak menyatakan bahawa saluran matrikulasi juga sudah menunjukkan aliran yang menurun dari segi pilihan keperingkat ijazah pertama kerana katanya peperiksaan itu tidak mengeluarkan sijil yang diiktirafkan tidak seperti SPM dan STP. Ini akan merumitkan seseorang yang keluar dari kolej untuk mendapat pekerjaan setelah gagal memasuki universiti. Keputusan peperiksaan matrikulasi katanya tidak dapat digunakan bagi menilai tahap pendidikan yang diterima oleh seseorang. Dengan demikian mereka itu terpaksa menggunakan keputusan SPM semasa melamar pekerjaan. Sama ada kenyataan ini benar atau sebaliknya perlulah dibuat siasatan. Tapi saya lebih cenderong untuk mempercayainya kerana belum pernah terjumpa dalam mana-mana iklan pekerjaan, yang menyebutkan syarat keputusan peperiksaan matrikulasi.
Kalau anda bertanya saya, saluran yang mana yang akan saya cadangkan untuk dipilih saya suka mencadangkan saluran mendapatkan diploma terlebih dahulu, iaitu dapatkan keputusan peringkat diploma yang terbaik, kemudian teruskan keperingkat ijazah pertama. Kenapa? Saya tidak ada jawapannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan