Theflowersellingboy

Isnin, 9 Mei 2011

Bukan begitu caranya untuk ke puncak

Bukan begitu caranya untuk kita berada di puncak. Bukan juga caranya untuk meletakkan kawan kita di puncak. Cara yang kau lakukan  itu pada akhirnya tidak akan bertahan lama. Aku tidak mahu mengatakan cara kau itu salah dari sudut moral, agama mahupun hukum negara kerana siapalah aku yang juga tidak sunyi dari kecacatan peribadi sendiri.

Aku cuma nak segarkan cerita rombongan kita ke Sabah dulu.Tak kan kau terlupa peristiwa semasa kita dan rombongan ke Kundasang untuk menawan puncak  Kinabalu pada tiga tahun yang baru berlalu. Kau dan aku begitu gelojoh sekali untuk mendaki, mahu tunjuk kehebatan pada orang -orang yang kita bawa bersama bahawa ke puncak Kinabalu itu satu kerja yang enteng sekali sehingga kau dan aku tidak mahu menerima nasihat pemandu pelancong yang turut bersama.

Kau kata apa nak susah mendaki gunung kerana ia hanya memerlukan tenaga muda mu yang perkasa. Apa yang telah berlaku? Kau sendiri tentu ingat setiap kali kau berdiri dihadapan cermin kerana parut didahi boleh memberitahu kepala mu terhantuk diatas batu apabila jatuh tergelincir kerana hendak tunjukkan kehebatanmu kepada si Ayu gadis cantik gilaanmu. Nasib baik kau masih boleh bernafas sehingga sekarang. Nasib baik juga kau tidak memimpin tangan si Ayu, kalau tidak , entah lah aku tidak tahu, menangis lah pak Ali  penjual mee rebus di sekolah kita dulu. Mana si Ayu sekarang ini agaknya? Kali terakhir aku melihatnya menangis setelah dia keluar dari bilik hotel kediaman kau di Kundasang dulu.

Minggu lepas kawan kita si Eril datang berjumpa dengan ku membawa salam dari kau. Waalaikum salam, terima kasih kerana kau masih lagi ingat pada ku yang tinggal di kampong ulu. Si Eril telah juga memaklumkan ketika ini kau sedang berkerja dalam sebuah projek untuk kepuncak. Kali ini bukan ke puncak Kinabalu tetapi ke puncak Istana . Yang menghairankan aku, kau hanya menjayakan cita-cata orang lain, bukan kau yang hendak ke puncak yang menjadi idaman mu dulu.. Mungkin pengalaman kau tergelincir dulu telah   menumpulkan nafsu kau itu. Kalau begitu aku terlalu amat bersetuju bukan kau yang ke puncak itu sebab aku tahu kau akan jadi lebih gelojoh lagi. Gerenti, tapi aku takut sumpah potong ayam, tidak juga sumpah laknat.

Aku juga diberitahu bahawa kau perlukan khidmat aku untuk membantu dalam projek amal makruf nahi mungkar, demi bangsa, negara dan agama kau itu. Wah hebat sungguh kau bina konsep projek kau itu. Kalaulah aku tidak mengenal kau dulu yang tinggal serumah semasa bujang dulu, sudah tentu aku segera ke Kuala Lumpur  berjuang bersama kau. Apatah lagi Eril kata upahnya sungguh lumayan. Tapi sayang kita terlalu kenal mengenali. Dengan itu  aku tidak berfikir panjang untuk membuat keputusan ajakan kau itu. Aku tolak mentah-mentah tanpa apologi.  Aku percaya kau mesti sudah tahu kenapa aku buat begitu. Sekurang-kurangnya kau  boleh mengagak-agak sebab-sebabnya melainkan kau terlalu obses dengan dendam mu dahulu. 

Kalau kau terlalu obses dengan dendam kau itu sehingga memberi kekuatan pada kau untuk melaksanakan projek  'demi bangsa, negara dan  agama' kau itu maka aku dengan rela dan senang hati menyegarkan cerita-cerita yang aku tahu, dan kau sudah tentu lebih tahu kerana siapa lagi kalau tidak kau pemuda perkasa yang tidak terkawal nafsu. Cukup rasanya jika aku sebutkan nama-nama yang sentiasa dibibirmu masa dahulu.

Kau tentu tidak lupa Si Ayu masa kita ke Kundasang dulu. Kalau lupa juga cuba kau berdiri di depan cermin. Macam mana? Si Angela pekeja hotel yang menangis merayu? Cucu Cik Minah yang baru saja lepas PMR? Lagi? Ah cukup lah tiga nama ini saja.

Cuma aku bersetuju jika kita bertemu untuk aku beritahu 'marilah sama-sama kita bertaubat'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan