Theflowersellingboy

Ahad, 29 Mei 2011

Masih Ada Peluang Lagi: Usah Kecewa

Beberapa hari yang lepas mereka yang memohon untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas SPM memberikan berbagai reaksi bergantung kepada berita yang mereka terima. Mereka yang berjaya  dalam permohonan mengikut pilihan sudah tentu merasa gembira, dan ada yang rasa sedikit kurang gembira walaupun permohonan mereka berjaya tetapi dik sebabkan bukan bidang pilihan pertama. Kita faham perasaan mereka yang tidak berjaya, sudah tentu tidak ceria , wajah muram seolah-olah itulah saja masa depan yang akan dibawa.

Ada juga yang berjaya itu tidak juga rasa sempurna kejayaan mereka kerana dapat tawaran biasiswa belajar dalam negeri sahaja kerana ada kawan dapat pergi USA, UK, Germany, Korea , Jepun dan mana-mana saja diseberang laut.

Kesemua reaksi-reaksi itu adalah gambaran jelas bahawa melanjutkan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi adalah  sesuatu yang memang menjadi cita-cata semua orang khususnya pelajar-pelajar lepasan SPM itu. Ertinya telah ada didalam hati bahawaitulah yang jadi keutamaan mereka.

Tetapi sayang sebahagian mereka yang tidak berjaya dalam permohonan itu telah menjadi luntur cita-caita hanya kerana permohonan mereka tidak berjaya. Jangan begitu. Anda masih muda dan perjalanan hidup anda masih jauh lagi. Peluang masih terbuka luas.

Marilah kita semua berdoa supaya anda memilih jalan yang terbaik untuk meneruskan kehidupan. Dan anda mesti juga berusaha dengan gigih, membina kekuatan diatas 'kegagalan' anda itu. Jauhkanlah dari memanjang-manjangkan ingatan kita tentang perkara yang lepas. Tidak ada gunanya kerana ia menambahkan sakit hati dan kecewa. Kenangan itu tidak membawa kita kearah yang lebih baik malah ia menghasutkan kita untuk memilih cara kehidupan yang tidak baik dan tidak sihat. Sebab itulah banyak kawan-kawan anda yang terlalu merasa kecewa memilih untuk mengambil dadah sebagai jalan keluar dalam meneruskan kehidupan yang mereka anggap tidak akan memberi apa-apa harapan. Ada yang terlibat dalam aktiviti kurang sihat seperti rempitan. Elakkan diri anda berfikir ke arah itu. Cahaya kehidupan masih ada lagi bagi anda , dan sinarannya sentiasa menunggu anda dengan syarat anda mesti yakin dan bekerja kuat menuju ke cahaya itu.

Banyak peluang yang terbuka bagi anda melanjutkan pelajaran walaupun gagal tadi. Banyak institusi pengajian, kerajaan atau swasta yang menyediakan berbagai kursus untuk menaikkan nilai pasaran anda. Bukankah itu yang kita hasratkan? Kalau begitu gunakan saluran yang lain pula untuk mendapatkan nilai pasaran itu. Kita ada Kolej Komuniti, Kolej-kolej dibawah pengurusan MARA seperti Kolej Professional MARA atau banyak lagi yang lain yang menawarkan berbagai jenis kursus, disampinh menyediakan pembiayaan. Kolej-kolej swasta yang terbaik pun ada menawarkan berbagai kursus. Cuma pembiayaannya saja yang mungkin menjadi halangan.

Diantara kursus-kursus yang belum mendapat sambutan yang hangat dari para pelajar khususnya pelajar Melayu ialah kursus untuk menjadi pekerja diperingkat pertengahan iaitu kursus-kursus kemahiran dan semi-professional.  Satu daripada kursus itu ialah CAT atau Certified Accounting Technician yang mengambil masa 1 tahun setengah atau dua tahun atau sehingga anda lulus kesemua kertas yang ditawarkan. Jika anda lulus anda berpeluang untuk meneruskan ke peringkat ACCA. Kalau anda berjaya diperingkat ACCA, nilai pasaran anda terbuka luas dan lumayan sekali. Malah berkemungkinan lebih baik daripada kawan-kawan anda yang telah berjaya sewaktu memohon masuk universiti yang mengambil bidang yang mungkin nilai pasaran tidak seberapa.

Banyak lagi bidang kursus yang masih terbuka luas. Satu lagi yang boleh difikirkan ialah Non-Destructive Testing (NDT). Kursus ini adalah satu kursus kemahiran yang menjurus kearah kejuruteraan. Anda bolehlah menyemak secara terperinci tentang kursus ini dan pihak-pihak yang ada menawarkannya.

Apa yang hendak disampaikan ialah bahawa kegagalan permohonan anda itu tidak sekali-kali menutup peluang anda untuk meneruskan pelajaran. Percayalah Allah sentiasa membukakan pintu rezekiNya sekiranya kita tidak mudah kecewa sebaliknya berusaha dengan lebih gigih kerana sumber rezeki terbuka luas. Peluang masih ada dan usahlah kita kecewa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan