Theflowersellingboy

Selasa, 17 Mei 2011

Sepanjang Perjalanan Dari Bukit Chandan Kuala Kangsar ke Bukit Istana: Warna-warna Kehidupan

Hari ini Selasa 17 Mei 2011 Kuala Kangsar: Waktu berangkat untuk balik ke Melaka telah dirancang pada  pada jam 8.30 pagi. Itulah jangkaan masa yang telah diberitahu oleh anakku Jaja yang bermalam dirumah mertua di Taman Raja Bendahara untuk mengambil kami berdua berangkat ke Melaka

.Justeru pada 8 pagi kami mengambil sarapan di cafe  tempat kediaman Rumah Rihat Kuala Kangsar (RRKK)  setelah semua barang-barang keperluan dimuatsiap dalam beg dan bekas isian yang lain. Jam, isterku memesan mehun goreng dan aku dengan kegemaran pagi sekeping roti bakar bersapukan kaya. Untuk membasahi tekak kami memesan air minuman yang sama iaitu segelas air suam untuk menelan ubat dan secawan milo 'o' setiap seorang.

Supaya tidak timbul kekeliruan , Jam menjelaskan milo'o' itu bermaksud milo yang tidak ada gula dan susu kerana dalam pengertian biasa atau pengertian setengah restoran/cafe/gerai milo'o' itu bermaksud milo yang tidak ada susu tetapi ada gula. Perkara ini telah berlaku beberapa kali kepada kami. Sepatutnya kata pengusaha restoran/cafe/gerai kami memesan milo kosong dan bukan milo 'o'. Kami pula berpendapat 'o' itu sama ertinya dengan kosong.

Itulah benda yang sama, sebutan berbeza membawa pengertian yang berbeza. Kadang-kadang pula sebutan berbeza tetapi bagi maksud behda yang sama misalnya sejenis kuih yang dipanggil  Buah Melaka. Yang peliknya kuih yang sama ini dipanggil Ondeh-ondeh oleh orang Melaka dan bukan buah Melaka.

Begitu juga perkataan semalam. Bagi orang dibahagian tengah hingga selatan semalam itu sama ertinya dengan yesterday dalam bahasa Inggeris. Bagi orang utara mereka menggunakan perkataan kemarin untuk yesterday.
Dengan yang demikian lebih baik kita menyatakan dengan tepat waktu dan hari untuk mengelakkan kekeliruan. Misalnya semalam pada hari Isnin 16 Mei 2011 pada pukul 2 petang saya telah mengadakan satu majlis khatam Quran.

Tetapi dalam masyarakat Melayu masih lagi menggunakan waktu solat sebagai penentuan masa bagi seuatu majlis. Contoh : Jemput kerumah selepas Zohor/'Asar/'Isya . Tidak dinyatakan dengan tepat pukul berapa. Maka orang yang dijemput itu akan datang pada waktu yang tidak sama. Kadang-kadang membuatkan majlis terpaksa lewat dimulakan atau dimulakan juga dengan bilangan yang tidak ramai tetapi kemudiannya bertambah semasa majlis sedang berjalan.

Anakku dan suaminya beserta Naqib cucuku, bapa dan ibu mertua serta adik-adik iparnya sampai di RRKK sepuluh minit memasuki pukul sepuluh pagi. Kelewatan adalah disebabkan untuk mengurus Naqib dari segi mandinya, kencing beraknya, muntahnya dan untuk mengisap nenen. Aku dan  isteri telah menjangka perkara seperti ini kerana itulah yang telah kami hadapi dulu semasa bersiap-siap untuk berjalan membawa sama anak kecil.


Kami meninggalkan RRKK pada pukul 10 pagi. Besanku suami isteri dan dua orang anak juga ke Kuala Lumpur atas  urusan tertentu.

Sepanjang perjalanan kami telah berhenti di tiga kawasan Rihat dan Rekreasi (R&R) iaitu di Tapah, Ulu Bernam dan Dengkil untuk berihat dan urusan bersih dan segar diri disamping membeli buah-buahan di Tapah dan Solat Zohor dan makan tengah hari di Dengkil. Nampaknya kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pengurusan R&R yang kami singgah adalah baik sekali.

Cuma ada satu perkara yang kurang menarik ialah tiadanya pokok-pokok besar yang ditanam disepanjang tempat letak kereta. Ini membuatkan keadaan yang tidak selesa dalam cuaca yang begitu panas apabila kita mahu masuk semula kedalam kereta bagi memulakan perjalanan selepas berihat terutama jika kita membawa sama anak kecil, apatah lagi yang baru lahir. Jika ada pokok-pokok besar dikawasan tempat letak kereta ianya boleh menjadi teduhan kereta disamping menghijaukan kawasan R&R itu sendiri. Bukankah hijau yang kita cari! Contohilah Melaka sebuah bandaraya hijau walaupun masih ada lagi tempat yang belum hijau. Tapi usaha tetap berjalan.

Satu perkara yang menjelekkan ialah perangai pengguna yang menggunakan kemudahan yang ada seperti tandas. Masih lagi kedapatan pengguna yang tidak mengguna dengan baik dan betul kemudahan yang disediakan. Contoh: Ada pengguna tidak tergerak tangannya untuk 'flush' najis buangannya sehingga menimbulkan rasa jijik bagi pengguna seterusnya. Ada yang membuang putung rokok pula kedalam mangkok tandas. Agaknya orang yang serupa inilah yang suka membuang putung rokok diatas jalan semasa pemanduan. Apa punya perangai manusia  ini? Jangan terperanjat, ada yang berkopiyah putih, tak kurang juga yang bersongkok  hitam dan yang paling banyak yang tak pakai kopiah atau songkok. Sungguh memalukan.

Akhirnya kami sampai di rumah pada jam 320 petang. Bersyukur kepada Allah kerana  memudahkan sepanjang perjalanan kami  dari Bukit Chandan Kuala Kangsar dan selamat sampai di kediaman kami di Persiaran Istana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan