Theflowersellingboy

Sabtu, 21 Mei 2011

SYMP? = Saya Yang Makan Petai

Inilah Petai Yang Busuk Menyelerakan

SYMP ? Empat huruf ini bagi setengah pihak memang sudah biasa dan sebati. Setengah pihak pula mungkin akan cuba mencari-cari perkataan yang sesuai bagi setiap huruf itu yang boleh memberi makna yang meyakinkan.

Bagi yang telah biasa dan sebati kita ketepikan sebentar ceritanya.

Kita cerita dulu mereka yang cuba mencari-cari itu. Mungkin SYMP itu bersamaan dengan Seri Yang Mulia Paduka? Yang mungkin merujuk kepada salah satu diantara gelaran yang diberi dalam penganugerahan bintang dan pingat. Tetapi ada semacam tidak lengkap dan tidak tersusun.  Nampaknya padanan itu tidak meyakinkan. Cuba kita gunakan juga dengan meletakkan pada hujung nama kita . Katakan nama kita Ali bin Abdullah, maka kita tulis Ali bin Abdullah SYMP. Nampaknya ok je. Tapi bila juru acara dalam sesuatu penganugerahan menyebut 'Encik Ali bin Abdullah dianugerahkan bintang Seri Yang Mulia Paduka' , maka sudah tentu kita menunggu untuk mendengar satu atau dua lagi perkataan kerana bunyinya macam tergantung. Tidak sedap, tiada merdu. Sudah tentu tidak akan menggamit banyak orang atau peminat untuk mendekati bersahabat erat dengan kita. SYMP bukan itu maksudnya.

Mungkin SYMP itu membawa maksud 'Saya Yang Makan Petai'. Ya, yang ini lebih sesuai . Tidak tergantung. Tetapi dia bukan satu bintang penganugerahan. Yang demikian tidak sesuai untuk dilekatkan di hujung nama. Tidak glamour.

Tetapi ada masanya perkara yang dianggap tidak glamour bagi setengah pihak, akan menjadi pilihan seseorang untuk meng'glamour'kan diri. Cuba lihat nama-nama penyanyi, penghibur dan mereka yang terlibat dalam  bidang yang bersamaan dengannya. Nama asal memang nama pilihan ibubapa setelah jenuh merujuk dengan pakar-pakar dan ilmuan termasuk yang tinggi ilmu agama. Maka diberikan nama Lukman al Hakim misalnya. Memang cantik. Tapi sebagai penghibur ditukar kepada Lekeh. Dapat sambutan pula.

Maksudnya, glamour atau tidak 'SYMP bersamaan 'Saya Yang Makan Petai' itu terpulang kepada nilai dan pandangan masing-masing. Nama lekeh yang selekeh itupun ramai peminat, diangkat dan dipuja. Apa salahnya SYMP dilekatkan pada hujung nama? 
 
Benarkah SYMP itu seperti tajuk yang diperkatakan bermaksud demikian, 'Saya Yang  Makan Petai?'.Rasanya lebih molek jika kita perkenalkan sepintas lalu apa itu petai sebelum meneruskan coretan mengenai SYMP.

Kita percaya sebahagian besar masyarakat Malaysia tidak kira latarbelakang mereka sudah kenal petai . Namun molek juga ditunjukkan gambar dan diberi gambaran apa itu petai. Petai (parkia speciosa) ialah sejenis buah-buahan yang boleh dibuat ulam untuk menaikkan selera makan. Pokok petai itu tinggi dan tumbuh meliar dan juga ada yang ditanam untuk dijadikan hasil jualan. Petai ini bolehlah kita kategorikan dari jenis kekacang dimana 'kacang-kacang'nya terdapat dalam tangkaian kulit yang memanjang yang dipanggil atau diberi penjodoh bilangan sebagai 'papan' iaitu sepapan petai. Rasanya, terpulang kepada yang memakannya, tetapi bolehlah dikatakan agak pahit sedikit. Cuma yang pasti, bau atau aromanya terutama setelah menjadi najis buangan amat menjelekkan, busuk. Dahsyat.
 
Yang busukpun ramai yang berminat sebab rasanya sedap menyelerakan, bagi sebahagian oranglah. Tidak hairanlah kalau nama yang cantik diubah kepada yang kurang cantik kerana seperti petai yang busuk itu sudah pasti nama itu boleh menarik sebahagian orang untuk meminatinya. Glamour.

Bagi setengah orang, mungkin majoriti, merasakan coretan diatas masih jauh untuk mendekati apa sebenarnya SYMP yang hendak dimaksudkan seperti tajuk. Kalau begitu sangkaannya kita beri jawapan negatif, tidak. Malah kita sudah mendekati maksud yang dihasratkan. Apa maksud yang ada dalam hati? Jawabnya BUSUK dan LEKEH.

Baru-baru ini, satu cerita ulangan sebenarnya, berbagai pihak sungguh naik angin dan marah ditujukan kepada pejawat awam yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam khususnya bahagian yang mengendali dan membuat 'keputusan' dalam agihan biasiswa kepada pelajar-pelajar bagi tujuan melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Mereka marah  kerana berlaku ketidakadilan dimana menurut mereka yang sepatutnya ditawarkan biasiswa telah dinafikan hak mereka . Sebaliknya, tuduh mereka, yang tidak layak diberikan biasiswa. Perbuatan seperti  ini bercanggah dengan konsep meritokrasi dan arahan kabinet. Nampaknya penjawat awam, atau pegawai JPA ini melawan arus, berani dan hebat sungguh sehingga arahan kabinet pun dipandang sepi dan  dinyahbuangkan ke tepi. Kalau dalam istilah tatatertib perbuatan ini dipanggil 'INGKAR PERINTAH'. Boleh diambil tindakan dan dihukum. Mungkin boleh dibuang kerja. Sekali lagi kita kata 'berani sungguh pegawai JPA itu, hebat". 

Benarkah begitu?

Ada banyak lagi cerita mengenai penjawat awam ini. Kita cuma coretkan beberapa cerita saja. Selain dari hal diatas kita juga dalam beberapa tahun yang lepas mendengar kompleks sukan di negeri Terengganu yang runtuh termasuk stadium bolasepak. Kompleks itu baru dibena bagi mengadakan SUKMA di negeri itu. Maka sekali lagi penjawat awam diasak dan dihentam terutama pegawai dari Jabatan Kerja Raya Terengganulah. Macam-macam ulasan dan kritikan dihamburkan. Yang tidak gagal keluar dari mulut yang membuat serangan keatas penjawat awam itu ialah 'Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) mesti buat siasatan'. Mereka mengesyakki ada perbuatan menerima rasuah.

Maka tidak hairanlah apabila SPRM dalam usaha memerangi rasuah sentiasa mendahulukan penjawat awam dalam menyenaraikan pihak yang banyak terlibat dalam kes rasuah.

Mungkin ada yang tidak perasan atau tidak mahu perasan bahawa setiap kali kegagalan sesuatu pelaksanaan projek, program, perolehan awam (kerajaan) , penjawat awam sentiasa dikedepankan, untuk dijadikan sasaran. Seolah-olah penjawat awam itu hebat sangat. Mempunyai terlalu banyak kuasa dan berkuasa sepenuhnya dalam setiap keputusan dan tindakan. Boleh buat sesuka hati mereka.

Cuba juga anda ikuti kes-kes jenayah atau kes-kes lain sama ada dalam hal penyiasatan atau perbicaraan. Renung dan fikir baik-baik  akan kedudukan penjawat-penjawat awam yang bersama-sama membantu untuk menguruskan kes-kes tersebut. Kita percaya anda dapat memberi satu renungan yang baik dan adil.

Cukup setakat itu saja dapat kita coretkan cerita untuk memberi jawapan perkataan apa yang sesuai bagi empat huruf diatas. Anda masih belum jumpa jawapan?

Kalau begitu , anda ulang baca dan ambil bayangan dari perkatan 'BUSUK' yang dikaitkan dengan cerita petai dan perkataan 'LEKEH',  nama yang boleh meng'glamour'kan penghibur diatas tadi. Masih belum jelas?

Apalah ada kepada penjawat awam. Mereka itu orang suruhan. Disuruh ke atas pergilah dia. Disuruh ke bawah, segera turunlah dia. Disuruh ke kiri , tidak pernah ke kanan, di suruh ke kanan itulah pilihan yang ada. Disuruh terjun tingkap? Yang ini kita tak pasti sebab yang ini membunuh diri. Kalau mati siapalah yang nak beri nafkah anak isteri. Penjawat awam kan. Mereka kaya ke? Mungkin 'cikit' ada yang kaya. Ini SPRM jangan lupa.

SYMP itu telah sebati dengan penjawat awam. Sudah biasa. Itulah tumpuannya sehingga bersara. Seperti bau petai yang BUSUK itu tetapi menyelerakan  untuk dimakan maka ramai juga yang berebut-rebut untuk berkhidmat sebagai penjawat awam. Tak kisahlah menjadi sasaran hentaman. Kalau yang 'cikit' itu tidak menjadi hal tetapi yang banyak, majoriti yang harum mewangi dihentam. Kalau boleh jawab , reda sikit dihati. Tidak boleh, ada sekatan OSA. Nak mampus, masuk penjara jawabnya.

BUSUK busuklah, LEKEH, lekehlah, ramai juga orang yang suka, glamour juga.  SYMP,  saya yang menurut perintah. Apalah daya saya. Ada kuasa? Tanya kepada yang marah-marah tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan