Theflowersellingboy

Sabtu, 28 Mei 2011

GST: Apa Bendanya Tu

Apa bendanya GST tu.

Kemungkinan besar itulah pertanyaan yang tercetus atau yang tersimpan dari atau dalam hati kebanyakan orang apabila terbaca atau mendengar sebutan dari mana-mana media perkhabaran pelbagai jenis.

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh dan Salam Jumaat yang ke Dua Belas untuk anda budiman.

SJ memulakan salam dengan pertanyaan seperti diatas, ya , apa itu GST. Anda semua bebas untuk memberikan jawapan mengikut sudut pandang masing-masing, mengikut kecenderungan berdasarkan fahaman politik, bidang keceburan atau minat dan kesukaan anda. Setengah pihak terlalu berminat untuk memperlekeh, menyindir, kata-mengata dengan tujuan untuk menjatuh atau memandang rendah pihak yang lain. Ada yang terlalu akademik dan serious sambil membuat kupasan yang mungkin tepat, bernas tetapi tidak mudah difahami oleh orang-orang pasar, pasar malam, pasar tamu, pekan rabu atau bazar ramadhan. Tidak kurang juga pihak yang terlalu yakin betapa bagus jika GST itu disokong dan diterima.

Tetapi apa itu GST? Macam mana kita hendak terima jika kita mempunyai berbagai tanggapan dengan memberikan setiap huruf dengan perkataan yang berbeza. Atau perkataan yang sama tetapi kita saja yang faham yang amat mengerti sedangkan sebahagian yang besar tidak faham terus tidak ambil peduli walau pun pada akhirnya mereka sendiri menerima implikasi.

Kalau anda seorang ahli sukan, katalah pelumba lari, tidak kira jarak dekat atau jarak jauh, semasa anda bersaing, semasa anda dan pelari-pelari yang lain hendak dilepaskan digaris permulaan, anda mungkin mendengar suara pelepas yang memegang pistol menyatakan, sebagai arahan: Get, Set (.senyap beberapa saat) peng (bunyi tembakan pistol, tak kisahlah peng ke pum ke atau beng atau yan lain-lain). Cuba anda susun huruf mengikut kaedah pelepasan tadi. Pertama sudah tentu huruf G, kedua S. Huruf ketiga, ada masalah. Takkan P untuk bunyi peng atau pum. Atau hurf B untuk bunyi beng. Mungkin ada yang mencadangkan huruf G kerana ianya boleh digunakan untuk 'go' seperti pelepas yang suatu masa dulu yang tidak menggunakan pistol. Maknanya kita telah dapat menyelesaikan masalah.

Belum lagi. Cuba aturkan huruf yang anda fikirkan tadi iaitu G , S, G. Sudah tentu tidak sama dengan huruf yang kita maksudkan iaitu GST.

Jawapan anda tidak salah kerana pada akhirnya pelari-pelari itu memecut juga. Itu pandangan anda. Tapi yang sebenarnya tahu ialah pelepas itu sendiri kerana dia yang terlibat menarik pemicu pistol itu . Dia tahu apa perlu dibuat selepas mengatakan 'set' iaitu tembak. Sekarang anda susun huruf itu berdasarkan perbuatan pelepas itu. Sudah tentu anda berjaya menyusun huruf  menjadi GST.
  
Sudah ke kita memberi jawapan yang sama akan huruf GST itu? Belum lagi tetapi sudah ada bau-bau bacang. Kalau dah masak ranum tak payah diberi tau semua akan terbau. Ada yang suka dan tak kurang yang lari sambil tutup hidung kerana tidak yahan dengan baunya.

Baiklah , GST ini kerajaan saja yang tahu dan pakar kerana sama seperti pelepas tadi, kerajaan yang menentukannya bila nak melepaskan tembakan. Kerajaan perlu melihat banyak perkara antaranya kesediaan rakyat dari segi keupayaan atau kemampuan, kefahaman rakyat, kesan dan faedah kepada negara dengan merujuk kepada kepentingan rakyat dan banyak lagi. Kalau pakai tembak saja, naya rakyat. Kita harap GST ini bukan satu senjata untuk tembak rakyat terbanyak  Sasaran biar betul.

Itulah yang dikatakan bau-bau bacang. Ada yang suka dan ada yang tutup hidung.

Maknanya Kerajaan mesti beri fahaman yang tepat dan betul apa itu GST. Gunakan pakar molek juga. Tapi pakar kita ni cakap selalunya mereka faham sendiri. Macam satu sessi mempertahankan tesis. Sudahlah begitu bercakap gunakan bahasa campur-campur. Sekejap orang putih, sekejap Melayu. Yang paling mengelirukan apabila ayat Melayu atau orang putihnya tak habis. Tergantung. Kalau anda tidak percaya ikutilah forum, perbincangan dalam semua saluran media perdana. Cubalah. "...you know we can't apa tu biarkan our negara keep on borrowing, abislah...". Mungkin bentuk macam ini yang anda boleh dengar.

Kalau nak cakap orang putih tidak salah. Teruskan kerana kita pun dapat belajar. Kalau nak cakap Melayu lebih baik kerana semua rakyat Malaysia boleh faham. Kalau tak faham maka sudah ingkar janji sebab syarat sebagai warga negara antaranya mesti tahu bahasa Melayu. Satu hal lagi, kalau cakap bahasa Melayu tu biarlah orang pasar boleh faham. Maksudnya orang pasar, pasar malam, pasar tani, pasar rabu, pasar tamu, pasar ramadhan dan yang setaraf dengan pasar Chow Ket faham. Apa yang mereka faham? Apa yang mereka mahu?

Yang mereka faham ialah  GST membawa erti wang mereka mencukupi  untuk tawar menawar dipasar.  Yang mereka mahu ialah supaya hidup mereka tidak tertekan dengan berbagai bayaran dan kenaikan kos hidup. Kalau nak beli ikan yang paling murah pun tak terdaya, fikir baik-baik jangan acukan picu pistol anda itu kepada mereka. Nanti mereka marah , mengamuk. Ingat mereka ini majoriti berbanding orang yang mengunjungi hyper market.

Apa saja nama diberikan kepada tiga huruf tadi bukan satu perkara yang merisaukan orang-orang pasar itu asalkan mereka dapat di fahami dan dihargai kemahuan mereka.

Bagi kerajaan GST itu ialah satu jenis cukai baru yang hendak diperkenalkan. Khabarnya pada tahun 2012 selepas pilihanraya umum gamaknya. Anda kena baca dan faham asas dan maksud GST ini. Jangan tunggu orang lain beritau. Sekarang kita semua mesti pandai berdikari dan cari sendiri. Jangan berangan-angan nak dapat subsidi berterusan. Subsidi itu candu. Bahaya.

Kita masih lagi belum memadankan huruf-huruf itu dengan perkataan yang sesuai. Baiklah, kita sudah kata GST itu sejenis cukai. Ada terkecuali ke? Mungkin ada yang terkecuali . Tapi yang pasti anda semua kena kerana anda perlukan barang-barang atau perkhidmatan. Melainkan anda berpuasa dan bertapa. Tapi itu pun tak tentu . Kena juga sebab anda perlukan pakaian dan berbuka puasa.

GST = Goods and Services Tax atau terjemahan Melayunya Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Kalau pihak berkuasa tidak memberi penjelasan sebaiknya maka macam-macam orang boleh kata terutamanya yang cari fasal. Apatah lagi sekiranya memang kerajaan mahu cari fasal menyusahkan rakyat, menekan dengan beban belanja yang semakin meningkatkan sedangkan pendapatan meningkat tidak sebanyak mana. Maka GST itu dikatakan sebagai Gomen Suka Tekan; Gomen Suka Temberang dan yang teruk Gomen Sudah Teruk, dan yang legih teruk lagi Gomen Suka Tipu. Ada juga yang kaitkan sebagai Golongan Songkok Tinggi. Saya percaya anda faham kepada siapa gelaran itu dimaksudkan.
 
Oleh itu sekali lagi kita mengharapkan supaya pihak berkuasa Kerajaan dapat menjelaskan Goods and Services Tax ini dengan secara meluas dalam bahasa yang mudah difahami terutama dikalangan majoriti, orang pasar yang disebutkan tadi sebelum melaksanakan pada tahun 2012 nanti. Kalau ramai yang tak faham akan kebaikannya, mereka lebih yakin akan kata-kata GST itu sebagai Gomen Sudah Teruk dan Gomen Suka Tekan dan Gomen Suka Tipu.

Elakkan prasangka ini terlebih dulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan