Bersiap untuk menghadiri majlis perkahwinan anak kepada seorang kenalan di Rembau Negeri Sembilan. Sabtu lepas menghadiri dua majlis yang sama, satu di kampong kelahiran dan yang lagi satu diadakan di sebuah dewan. Dua minggu sebelumnya telah menghadiri satu majils di Kuala Lumpur yang diadakan di Dewan Komuniti.
Sekarang majlis perkahwinan atau pernikahan tidak lagi di monopoli ketika musim cuti sekolah. Bila-bila masa pada hari Sabtu dan Ahad kita berkemungkinan untuk menerima jemputan tersebut. Apa tah lagi kalau musim cuti sekolah, kadang-kadang lebih dari sepuluh jemputan yang diterima . Jemputan ke majlis ini sama ada waktu biasa atau musim cuti sekolah datangnya dari dekat dan jauh, dari adik beradik, saudara mara, kenalan rapat, kenalan biasa dan rakan waktu bekerja dahulu. Tempat majlis diadakan juga berbeza-beza. Ada yang mengadakan majlis di perkarangan rumah terutama jemputan dari kawasan kampong , di dewan-dewan majlis tempatan yang ditempah sewa dan di hotel yang menjadi pilihan sebahagian besar mereka yang tinggal di bandar atau pinggir bandar. Majlis yang diadakan di hotel biasanya diadakan disebelah malam dan di buat secara jamuan serentak.
Sinario yang dipapar diatas adalah satu realiti yang kita semua hadapi ketika ini yang kadang-kadang boleh memeningkan kepala tetapi ianya satu tanggongjawab yang terlau afdal kita tunaikan selagi badan masih sihat. Majlis yang berdekatan rasanya tidak menjadi kerisauan, dua tiga buah rumah atau dewan boleh kita singgah dan jenguk memberi ucapan tahniah kepada tuan rumah yang tersenyum, nampak macam riang tetapi dalam hati Allah lah yang tahu selagi majlis belum selesai, berdebar-debar takut kehabisan hidangan sedangkan tetamu berarus datang. Perkara kehabisan hidangan ini bukan cerita rekaan, ia sebenar-benarnya telah berlaku. Kasihan melihat wajah tuan rumah yang pucat lesi, tidak tahu nak berbuat sesuatu kerana terlalu malu. Kalau beginilah situasi yang kita temui, kita sebagai tetamu jangan menambahkan runsing tuan rumah lalu terus menunggu kalau-kalau ada hidangan yang mungkin dipesan, sebaliknya kita bersalaman ucapkan tahniah dan katakan kita ada hal lain yang tidak mengizinkan kita berada lama di majlis. Jangan lupa hulurkan sedikit wang sekadar tanda persahabatan, dan dapat juga meringankan kerisauan tuan rumah.
Itu mengenai tuan rumah. Bagaimana dengan orang yang mendapat sepuluh jemputan dalam satu hari? Pening kepala memikirkan yang mana perlu ditinggalkan kerana kita tidak mampu untuk hadir semua, apatah lagi majlis itu berjauhan sedangkan mereka kenalan baik dan mereka juga telah menghadiri majlis kita dan telah juga menghulur seadanya. Yang bertambah pening lagi jika ianya anak pertama dan jemputan yang pertama.
Maka pandai-pandailah mencari jalan dan cara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan