Theflowersellingboy

Isnin, 1 Disember 2014

WWE dan Perhimpunan UMNO: Benci Tapi Rindu.


Saya suka mengelamun sebelum tidur.

Ramai yang minat tonton siri tinju World Wrestling  Entertainment (WW Entertainment)? Saya salah seorang darinya. Tapi itu cerita dulu. Sekarang, lebih baik tidur.

Dulu saya suka tonton bukan kerana kehebatan keganasan yang ditunjukkan. Saya seronok mendengar mereka bercakap, berhujah mengenai kehebatan masing-masing sambil memperlekeh lawan lakunnya. Perkataan-perkataan yang digunakan, pertuturan yang lancar dan petah, dan gaya mereka berhujah sungguh menarik sekali. Saya amat terhibur.  Dan saya percaya ia menaikkan emosi para penonton. Itu saja sebabnya dulunya saya seronok menonton siri ini.

Saya tahu dan sedar siri wwe ini adalah satu siri hiburan dalam bentuk keganasan. Maknanya ianya adalah satu siri keganasan yang mengadukan kekuatan dengan tujuan untuk menghiburkan penonton yang hadir mahupun penonton skrin. Sudah tentu mereka semua adalah   terlatih dan mahir. Sebab itu penonton selalu diingatkan agar jangan sekali-kali cuba meniru lagak gaya yang mereka lakukan.

Mereka hanya pelakun seperti juga pelakun dalam filem dan drama. Tetapi apa yang mahu difaham dan diyakinkan oleh pengeluar siri ini kepada orang ramai khususnya yang menonton siri ini, pada pendapat saya, bahawa keganasan mengadu kekuatan itu adalah bersifat hakiki, bukan lakunan.  

Jangan silap dengan siri ngeri dan keganasan dalam sebuah filem atau drama. Semua orang tahu bahawa ianya adalah lakunan.

Ada manipulasi dalam wwe agar orang percaya ianya bukan lakunan? Terpulang kepada cara berfikir masing-masing. Bagi saya  apabila ianya dikategorikan sebagai hiburan, ciri-ciri lakunan tidak dapat dipisahkan.

Walau apa pun sikap penonton, termasuk saya yang mengatakan ianya sebagai lakunan dan bukan hakiki, pengeluar dan pemilik siri ini telah menjadi kaya raya melalui siri keganasan yang dilakunkan.

Sudah lama saya tidak menonton siri ini. Saya merasakan tidak wajar menjadi seorang dari penyokong kepada lakunya siri ini, sekaligus mengkayakan pengeluar dan pemiliknya. Saya sedar tindakan saya ini tiada barang sedikitpun memberi kesan bagi mengurangkan kekayaan pemilik wwe.

Saya juga sedar bahawa saya tidak lagi dapat mendengar bahkan kadang-kadang rindu dengan kepetahan berbicara para pelakun yang mengadu kekuatan dalam wwe. Tapi saya tidak pernah bersetuju dengan lakunan keganasan yang ditunjukkan.

Sebagai ganti bagi menghiburkan hati, saya suka menonton perlawanan bole sepak, tenis, badminton dan beberapa sukan yang lain. Tapi komentar atau ulasan dalam setiap sukan yang saya tonton itu tidaklah menarik sangat seperti apa yang dilakukan oleh para pelakun dalam siri wwe.

Jadi saya benci tapi rindu. Saya rindu akan kepetahan serta cara dan gaya mereka berhujah.

Dalam lamunan rindu dan benci itu , saya teringat akan perhimpunan tahunan UMNO tahun ini yang baru saja tamat itu. Saya tersenyum sendirian. Ahli-ahli UMNO yang berucap termasuk dari barisan kepimpinannya, pada penilaian saya , tidak kalah berbanding dengan para pelakun wwe, dari banyak segi terutama yang bersifat menghiburkan dan menaikkan emosi.

Dan perasaan yang terzahir apabila mengingatkan ucapan diperhimpunan parti itu adalah juga sama seperti menonton wwe iaitu benci tapi rindu.

Saya pun masuk tidur untuk memberhenti lamunan saya itu.

 
  


Tiada ulasan:

Catat Ulasan