Theflowersellingboy

Khamis, 11 Disember 2014

BUAT KERJA RUMAH




Alhamdulillah...masih lagi sihat. 

Cuma jarang sekali berborak dengan kawan-kawan. Lebih banyak masa duduk di rumah dan melakukan kerja-kerja rumah. Bukan bermaksud 'home works' seperti ketika sekolah dulu. Kerja rumah, ertinya menyapu sampah, mop lantai, potong rumput, basuh dan cuci kereta, dan tolong isteri menyediakan makanan termasuk mencuci pinggan.

Sekarang ini pula jaga cucu yang terbaru. Tapi tidak lama lagi mereka akan balik ke Ampang. Jadi sunyilah. Tinggallah kami berdua-duan suami isteri.

Semasa kerja dulu, semacam tidak ada masa untuk melakukan kerja-kerja itu. Sibuk memanjang. Dari Isnin sampai Sabtu (dulu Sabtu hari kerja setengah hari), tak berhenti-henti dengan urusan rasmi. Tidak ada had waktu, boleh sampai ke malam. Hari Ahad juga dalam banyak hal tidak terkecuali dengan urusan rasmi.

Tekanan kerja? Bergantong pada sikap masing-masing. 

Kerja yang banyak dan tumpuan dan masa yang lebih diberikan terhadap perlaksanaan tugas berbanding dengan melakukan kerja rumah ketika itu, tidak boleh dikatakan sebagai  satu tekanan. Ianya satu tanggongjawab. 

Beban kerja bukan tekanan. Melaksanakan tanggongjawab juga bukan tekanan.

Tekanan hanya apabila gagal melaksanakan tanggongjawab dengan baik.

Siapa pun yang diberi tanggongjawab akan merasa puas jika dapat melaksanakan tanggongjawab itu dengan baik dan sempurna. Tapi ianya tidak semudah itu. Berbagai cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi. Dan kadang-kadang boleh menimbulkan rasa marah dan kecewa.  Dan kesannya buruk sekali kepada kerjaya.

Oleh itu simpan saja segala kekecewaan dan kemarahan jika tanggongjawab yang hendak dilaksanakan itu menjadi terhalang. Dan ramai orang yang mengambil sikap begitu kerana ianya lebih selamat daripada menyatakan yang sebenarnya. Itulah pilihan terbaik jika mahu meniti tangga yang lebih tinggi dalam perkhidmatan awam.

Malah dalam kebanyakan urusan didunia ini.

Sekarang semua itu telah tiada lagi. Saya sudah bersara dan buat kerja rumah seronok sekali walaupun tidak dapat gaji dan elaun. Tiada siapa menghalang saya cuci kereta. Tiada juga yang menghalang saya menyapu sampah. Semua kerja beres. Tanggongjawab dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana saya yang menilainya sendiri.

Dan yang penting, saya masih sihat. Alhamdulillah.




 

 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan