Theflowersellingboy

Selasa, 30 Disember 2014

Cakap-cakap Banjir




Cakap-cakap banjir. Ada macam-macam jenis cakap. Tapi banyak cakap datangnya dari orang yang tidak menjadi mangsa banjir. Antaranya:
 
1. Banjir adalah satu musibah, ujian dari Allah. Maka banyaklah bersabar.
 
Cakap ini antara lain bertujuan untuk mengingatkan semua insan terutama mangsa banjir bahawa mereka jangan mudah putus asa, sebaliknya menerima apa yang berlaku itu dengan penuh redha.
 
Tapi jika orang yang bercakap itu hanya berhenti setakat itu tanpa membuat sesuatu bagi membantu mangsa banjir itu, misalnya turut bersama menyelamatkan mangsa banjir dan/atau menghulurkan wang mahupun barang-barang keperluan seperti pakaian dan sebagainya, cakap seperti itu tidak ada nilainya.
 
2. Banjir ini mengesahkan bahawa hukum hudud perlu dilaksanakan.
 
Cakap ini juga mengingatkan akan perlunya perlaksanaan hukum Allah dalam menguruskan kehidupan kita.
 
Dalam keadaan orang ditimpa banjir, utamakan tindakan membantu dari cakap seperti ini. Sesungguhnya perlaksanaan hukum Allah tidak perlukan pengesahan berlakunya sesuatu musibah.
 
3. Dalam keadaan banjir menimpa rakyat, pemimpin pula pergi bercuti.
 
Cakap ini adalah cakap orang yang kecewa dan marah diatas ketiadaan pemimpin kerana pergi bercuti yang selalu ditafsirkan sebagai berseronok, ketika rakyat ditimpa musibah. Orang yang bercakap ini sangat berharap agar pemimpin itu ada bersama, semasa senang dan semasa susah kerana pemimpin adalah orang yang mereka sanjung, dan tempat mereka mengadu hal untuk mendapat pertolongan. Ada juga yang bercakap ini mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan pemimpin bermotifkan politik.
 
Sesiapapun yang ditimpa musibah, misalnya banjir, perlukan pertolongan. Dan pemimpin adalah tempat bergantung harap untuk memberi pertolongan. Bukankah itu tanggungjawab pemimpin? 
 
Jika pemimpin tiada sewaktu rakyat ditimpa banjir, cakap seperti ini tidak mudah dikawal, secara otomatik ianya terhambur. Jika yang bercakap ini sebenarnya atas kesedaran semata-mata bagi mendapat pertolongan atau bercakap bagi tujuan membantu mangsa banjir, cakap seperti ini wajar diterima sebagai cakap mengadu nasib kepada pemimpin yang diharap dapat membantu. Ianya patut difahami seperti itu.
 
Jika cakap itu bermotif politik, maka janganlah celupar bercakap, sebaliknya kita yang ada, yang tidak bercuti, dengan segera turun ataupun keluarkan apa saja bentuk bantuan bagi membantu mangsa banjir itu. Tidak perlu kita salahkan pemimpin yang bercuti itu sedangkan kita hanya celupar bercakap, tapi tidak langsung beri bantuan. 
 
Kalaupun kita bersama membantu, pada ketika banjir ini, tahanlah mulut dari bercakap seperti itu. Apabila sudah reda, apabila mangsa telah selamat dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa, nak bangkitkan perangai pemimpin yang suka bercuti semasa rakyat ditimpa banjir, dipersilakan.

4. Banjir ini adalah disebabkan kerja-kerja pembalakan dan pembangunan yang tidak terurus dengan baik.
 
Cakap ini adalah cakap mencari salah pihak yang bertanggungjawab dalam pentadbiran negara/negeri. Cakap menuding jari.
 
Ketika mangsa perlukan bantuan , dan bantuan perlu diberikan dengan segera maka segala tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha, ikhtiar dan tindakan kearah menyedia dan menyampaikan keperluan itu.  Jangan buang masa mencari sebab-sebab berlakunya banjir terutamanya dengan tujuan mencari pihak yang bersalah. Buat kerja untuk menyelamatkan mangsa banjir ini.
 
Itulah empat jenis cakap yang terdengar, yang sebanyak sedikit mengganggu usaha dalam penumpuan untuk membantu mangsa banjir. Walaupun cakap-cakap itu ada asasnya tapi tidak sesuai pada ketika mangsa banjir perlukan bantuan segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan