Theflowersellingboy

Khamis, 4 Disember 2014

Hapuskiralah Hutang Para Pelajar dan :Laksanakan Pendidikan Percuma.




Siapapun berhutang, hutang wajib dibayar.

Bagi orang Melayu (Islam), kewajipan membayar hutang ini diperingatkan dan mesti ditunaikan waemah seseorang itu telah meninggal dunia. 

Selepas jenazah disembahyangkan maka anak atau ahli keluarga akan membuat pengumuman antara lain, bahawa jika simati ada berhutang semasa hidupnya maka hutang itu boleh dituntut dari waris simati yang masih hidup. 

Dan apabila dituntut, waris simati itu wajib membayarnya melainkan pemberi hutang menghalalkannya.

Dua perkara penting, i) hutang mesti dibayar, ii) hutang juga tidak perlu dibayar jika pemberi  hutang menghalalkannya.

Oleh itu sesiapa yang berhutang adalah tertakluk kepada dua perkara diatas. 

Pelajar yang berhutang dengan PTPTN atau dengan mana-mana pihak yang memberi pinjaman, jika dalam perjanjian mewajibkan membayar balik pinjaman maka wajib membayar seperti yang disyaratkan dalam perjanjian. Kewajipan itu termasuk kepada waris pelajar itu jika pelajar itu meninggal dunia.

Hutang itu juga boleh dihapuskira (tidak perlu bayar) jika pihak yang memberi pinjaman bersetuju melakukannya. Maknanya pemberi pinjaman telah menghalalkan hutang itu.

Saya percaya semua pihak sudah sedia tahu tentang perkara yang diperkatakan diatas.  

Namun saya merasa simpati dengan pelajar-pelajar yang meminjam  dengan PTPTN dan mana-mana institusi pinjaman yang lain yang wajib membayar hutang pinjaman pelajaran mereka.

Sepatutnya kerajaan menghapuskira hutang mereka. Mereka berhutang demi mendapatkan ilmu untuk menjadi modal insan yang berguna kepada negara.

Oleh itu polisi pendidikan percuma wajar dilaksanakan. Pendidikan percuma dari peringkat menengah sehingga ijazah pertama.

Rakyat sewajarnya mendesak kerajaan untuk melaksanakan pendidikan percuma ini. Bagi saya pendidikan percuma ini adalah wajib.

Saya percaya sumber negara mampu membiayai pendidikan percuma ini.

Cuba renungkan perkara-perkara dibawah ini:

i) Pembaziran wang seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara
ii) Salahguna wang dan aset negara termasuk jenayah rasuah
iii) Menghapuskira hutang dalam kes MAS dan Perwaja.
iv) Pengaliran keluar wang haram berbillion ringgit
v) Memulihkan syarikat MAS dengan menyediakan wang 6 billion

Apakah Malaysia kekurangan sumber untuk melaksanakan dasar pelajaran/pendidikan percuma?

Masalah kita bukan tidak ada sumber. Masalah kita ialah salah memilih keutamaan demi rakyat dan salah urus/tidak cekap dalam pengurusan wang negara. Jika wang diuruskan dengan baik penuh tanggungjawab maka tidak ada sebab pendidikan percuma tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.

Kasihanilah pelajar yang berhutang itu. Hapuskiralah hutang mereka itu. Mereka baharu mahu memulakan kehidupan. Itupun jika mereka mudah dapat kerja. Banyak yang masih menganggur.

Namun selagi masih taraf berhutang, hutang perlu dibayar. Oleh itu berjuanglah mendesak kerajaan melaksanakan pendidikan percuma.









   


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan