Theflowersellingboy

Isnin, 15 Disember 2014

Memberi dan Meminta




Memang mudah kita mengatakan bahawa tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang suka meminta-minta. Dalam kata lain lebih baik kita menjadi penderma atau memberi pertolongan dari menjadi peminta sedekah atau mengharapkan pertolongan orang lain.
 
Dan ramai pula yang mengingatkan, terutama dikalangan orang yang dipanggil ustaz bahawa tangan kiri tidak perlu tahu tangan kanan yang memberi. Maksudnya pemberian itu mesti ikhlas.
 
Secara ringkas masyarakat bersetuju bahawa memberi pertolongan atau menderma adalah satu amalan yang baik. Dan mesti dilakukan dengan ikhlas-tiada maksud yang lain, hanya bertujuan semata-mata untuk menolong atau membantu mereka atau pihak yang memerlukan. 
 
Ada dua persoalan tentang memberi dan menerima ini.
 
Pertama, jika masyarakat bersetuju bahawa memberi pertolongan atau menderma itu satu amalan yang baik, ramaikah orang yang suka melakukannya?
 
Kedua, jika meminta itu tidak baik atau tidak digalakkan, bagaimana pula orang yang suka menderma atau memberi bantuan itu   mahu melakukan amalan baik menderma atau menolong? Dan apa akan terjadi kepada orang yang sangat-sangat perlu bantuan kalau amalan meminta itu dipandang tidak atau kurang baik?
 
Kita bicara dulu persoalan yang pertama. Ramaikah orang yang suka menderma atau memberi bantuan?
 
Saya jawab begini: Bahawa yang ramai hanya orang yang suka bercakap atau suka menyeru agar melakukan derma sedangkan orang yang bercakap itu tidak semestinya bersedia atau bermurah hati untuk menderma.
 
Macam-macam alasan untuk tidak melakukannya. Antaranya mengesyakki yang meminta itu adalah terdiri dari satu-satu sendiket. Perasaan syak seperti ini ada juga kebenarannya kerana ada bukti telah berlaku sendiket seperti ini. Maka orang yang tidak mahu menderma itu sebenar-benarnya berhati-hati agar pertolongannya hanya diberikan kepada orang/pihak yang memerlukan.
 
Satu lagi alasan ialah bahawa pihak yang menyeru agar orang menderma itu merasakan hanya cukup saja buat seruan tanpa diri sendiri menderma.  Misalnya kalau dianya seorang penceramah agama dan menyeru agar orang menderma, seruan itu hanya untuk orang lain. Tapi tidak semuanya begitu. Cuma banyak kes seperti ini, jika kita ambil peduli untuk mengesannya.
 
Persoalan kedua ialah tentang orang yang meminta. Memang benar ada orang yang suka meminta-minta, bukan sebab ianya dalam keadaan sangat memerlukan. Maksud saya orang yang tidak cacat tapi malas bekerja atau meminta secara penipuan seperti dalam hal sendiket itu.
 
Orang kurang upaya seperti orang buta,  jika meminta mereka wajar diberi pertolongan atau dihulurkan derma. 
 
Jadi dalam soal memberi dan meminta, rasanya tidak perlu kita bersandarkan kepada pegangan bahawa memberi lebih baik dari meminta. 
 
Memang memberi itu baik. Tapi apabila kita mengatakan ianya lebih baik dari pihak yang meminta, dikhuatiri nanti pihak yang meminta berasa hati, apatah lagi jika kita kata secara berdepan, misalnya dalam ceramah agama dimana orang yang memerlukan derma atau bantuan itu turut hadir sama.   
 
Jika kita ada kemampuan dan lebihan sewajarnya kita menolong orang yang meminta itu iaitu orang yang kita sendiri merasakan ianya layak ditolong.
 
Dari segi besar kecil derma yang diberikan juga, rasanya tidak ada salah jika tidak diketahui atau diumumkan kepada pihak lain. Tapi tidak juga salah jika diketahui atau diumumkan. Sebab kita mahu elakkan perasaan besar diri (riyak) jika dimaklumkan.  
 
Dalam segi yang lain pula jika dimaklumkan ianya boleh menjadi teladan dan menggalakkan orang lain untuk melakukannya.
 
Cuma jangan pula kita menyatakan bahawa derma kita ini adalah ikhlas. Tidak perlu cakap perkataan ikhlas itu. Adakah derma yang tidak ikhlas? Lagipun yang tahu ikhlas dan tidak ikhlas itu adalah Allah.
 
Mengakhiri paparan ini, saya ada sedikit cerita tentang memberi bantuan kepada orang yang memerlukan. 
 
Dua hari yang lepas, dalam barisan kereta yang terlalu banyak di persimpangan sebuah lampu isyarat, seorang perempuan dewasa (mungkin dalam usia 50an) membimbing beberapa bungkusan (saya jangka keropok) berjalan dari tiang lampu isyarat menuju satu demi satu kereta yang berhenti kerana lampu merah. 
 
Saya dibarisan hujung.
 
Kasihan. Tidak ada seorangpun yang mahu membeli dagangan si perempuan itu. Mungkin barang yang di jual itu tidak diperlukan atau dirasakan harganya tidak berpadanan. 
 
Tapi, tidakkah rasa kasihan melihat perempuan itu yang sanggup berpanas terik berpeluh untuk mendapatkan rezeki yang halal?
 
Atau tidak adakah dalam fikiran bahawa jika perempuan itu tidak memerlukan, dianya tidak akan menjual muka menjinjing barang dagangannya di persimpangan lampu isyarat dalam keadaan panas terik?

Sebelum perempuan itu sampai ke kereta saya iaitu dalam tiga jarak kereta, lampu  isyarat merah bertukar menjadi hijau. 
 
Duit isteri yang ada ditangan tidak dapat disampaikan kepada perempuan itu kerana kami khuatir jika kami tidak bergerak, kereta yang dibelakang akan membunyi hon, satu sifat yang ada pada pemandu kenderaan di Malaysia.
  
Hasrat perempuan itu untuk menjual barangnya kepada kami tidak tercapai. Dan jika dia berjaya mendekati kereta kami (lampu isyarat masih lagi merah) kami akan membeli barangan itu, tidak kira sama ada  barang itu yang kami berkenan atau tidak berkenan.  
 
Yang penting perempuan itu dapat sedikit wang yang kami telah sediakan atas dasar bahawa sememangnya perempuan itu amat memerlukan.

Sebab itu diawal paparan diatas saya menyatakan memang mudah untuk mengatakan lebih baik kita memberi. Tapi adakah sebenarnya kita suka memberi khususnya kepada orang yang amat memerlukan.

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan