Theflowersellingboy

Jumaat, 26 Disember 2014

Aku Hanya Mahu Bercuti Bersama Keluarga: Takkan Itupun Bos Tak Faham

 
 
 
Sudah dua minggu langit mendung. Musim tengkujuh menyapa lagi.

 
Mataku tidak lagi berminat untuk menatap surat itu. Aku biarkan surat itu terbaring diatas meja. Menyusahkan. Isi kandungannya menusuk hatiku.
 
" .....sebagai langkah bersiap sedia menghadapi banjir semua cuti adalah dibekukan kecuali dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan.....".
 
Macam mana janjiku dengan anak-anak untuk bercuti ke luar negeri. Macam mana aku nak beritahu pada Rini yang tidak sabar lagi untuk terbang ke Paris mahu panjat Eiffel Tower sebagai hadiah kejayaan cemerlangnya dalam UPSR. 
 
Tidak kah itu dikatakan mungkir janji? 
 
Apakan terjadi dengan tempahan tiket kapalterbang bagi 7 orang. Hangus? 
 
Matilah aku macam ni.

Surat arahan seperti itu bukan satu perkara yang baru. Setiap tahun pada akhir bulan Oktober, surat seperti itu pasti aku terima memberi tahu cuti bagi bulan November dan Disember dibeku sehinggalah keadaan banjir pulih semula. Bermakna cuti dibekukan melampaui bulan Disember selagi banjir masih belum pulih.

Aku telah berjanji kepada anak-anakku yang seramai 5 orang itu  bahawa pada tahun ini aku akan membawa mereka bercuti ke luar negeri, ke Paris. Sudah lama kami tidak bercuti ke luar negeri. 
 
"Papa ni asyik-asyik cuti dalam negeri", komen anaku Rini.
 
"Ok. Tahun ini, cuti sekolah bulan dua belas nanti, kita bercuti ke Paris", Aku buat janji, "Tapi dengan syarat, UPSR mesti dapat A semua subjek", Aku menambah meletakkan syarat pada anakku Rini.
 
"No problem ", dengan pantas dijawab oleh anakku Rini sambil memeluk dan menciumku.

Aku tahu Rini boleh melakukannya kerana itulah rekod yang dicapai dalam setiap kali ujian di sekolahnya.

Sebenarnya syarat itu hanya ambil ada saja. Sememangpun telah ada dalam perancangan untuk kami bercuti sekeluarga ke luar negeri. Agak lama juga kami tidak bercuti ke luar negeri bersama keluarga semenjak kembali dari tamat pengajian sarjana di kota London lima tahun sudah.
 
Semua anak-anak merasa teruja untuk ke Paris. Apatah lagi Rini yang mahu membuktikan bahawa percutian ke luar negeri ini adalah disebabkan kejayaannya nanti dalam UPSR. Straight A UPSR, ke Parislah semua orang. Jika satu saja B yang lain A, pasti gagal ke Paris, dan semua orang akan menuding jari padanya.
 
"Bila papa nak tempah tiket. Tempahlah online", suatu hari di meja makan Rini membuka cerita fasal hendak ke Paris. Semua anak-anak yang lain bersetuju agar tempahan segera secara online dibuat.
 
Aku serahkan tugas menempah tiket secara online pada kakak sulung Rini. Aku mana ada masa, seminggu lapan hari kerja.
 
Beberapa minggu kemudian Rini memberitahu, tiket telah ditempah. Dia sungguh seronok sekali. Tapi dia mengingatkan aku  agar cuti hendaklah digunakan sepenuhnya sebagai cuti bersama keluarga. Jangan ada agenda lain.

"Masa di Paris nanti, papa janganlah main golf pulak".
 
Aku faham mengapa Rini khuatir tentang agenda bermain golf itu. Sebab setiap kali bercuti keluarga dalam negeri, padang golf tetap menjadi satu tempat wajib aku lawati bersama dengan kawan-kawan. 
 
" Di Paris mana papa ada kawan", aku meyakinkan anakku itu.
 
Anakku Rini yakin dengan kata-kataku itu dan dia tahu bahawa aku tidak pernah mungkir janji. Bila berjanji aku sentiasa tepati.
 
Ya, janji mesti aku tepati. 
 
Tapi bagaimana dengan arahan dalam surat yang terbaring diatas mejaku ini. Cuti dibekukan. 

Bolehkah aku gunakan percutian keluarga ke Paris ini sebagai satu keadaan yang tidak dapat dielakkan? Sebab, tiket sudah dibeli, hanguslah kalau percutian ini dibatalkan. Yang paling beratnya aku sudah berjanji dengan semua anak-anak. Aku telah berjanji dengan Rini, kalau dapat straight A hadiahnya ke Paris. Dia telah memenuhi syarat.
 
Reputasiku ialah tidak pernah mungkir janji dengan anak-anak. Nama baik ini perlu dijaga. 
 
Lagipun, timbalanku si Zainudin tu kan ada. Aku yakin dia dapat menguruskan keadaan semasa ketiadaanku. Aku bukan 'indispensable', orang lainpun boleh buat kerja.
 
Aku mesti jumpa bos minta pengecualian agar aku dapat bercuti bersama keluarga di Paris. 
 
Main golf di Paris? Sudah tentu anak-anakku kata aku mungkir janji.
 
Tidak, aku tidak akan main golf. Aku hanya mahu bercuti bersama keluarga di Paris. Itu saja. Takkan bos tak boleh faham.
 
Ahhh  langit masih mendung.
 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan