Theflowersellingboy

Sabtu, 6 Disember 2014

Abah Tahu Apa Yang Saya Mahu




Bukan itu yang saya mahu. Dan abahpun tahu apa yang saya mahu. Kemahuan saya melampaui kemampuan abah. Saya pula tidak mahu mengendurkan kemahuan itu.

Saya berusia 12 tahun. Tahap pendidikan darjah enam sekolah melayu. Mempunyai banyak cita-cita. Satu cita-cita yang amat membara ialah tidak mahu menjadi penoreh getah seperti abah. Kerja penat, kotor, badan bau busuk dan  gaji murah. Seluruh ahli keluarga menjadi kasta taraf rendah.

Pukul 4 pagi, abah sudah bangun. Dia ke perigi dibaruh untuk mandi. Abah tidak takut sejuk. Bagi abah air perigi menyegarkan.

Emak sibuk menyediakan kuih muih untuk jualan. Ada karipap, nasi lemak dan bingka ubi. Saya turut menolong emak.

Beberapa orang penoreh singgah untuk membeli kuih. Kuih yang berbaki saya menjajanya dalam perjalanan ke sekolah, dan diwaktu rehat pukul 10pagi. 

Abah hanya memakan sekeping dua karipap sebelum mengayuh basikal tuanya pergi menoreh.  Dia jarang membawa bekal. 

Antara saya dan abah , kami jarang berkomunikasi. Emak adalah perantara. 

Tapi abah tahu apa yang saya mahu. Saya tahu abah tidak mampu.  Namun saya berkeras mahukannya.

Abah seorang bapa yang  bermuka tebal, tidak tahu segan dan malu. Sentiasa buat muka selamba. Abah tidak kisah jatuh air muka. 

Saya juga diajak berkongsi sama buat tebal muka. Di hari dapat gaji, abah ajak saya membeli belah barangan keperluan dapur. Tauke kedai menunjukkan rasa tidak puas hati bila abah hulurkan wang kepadanya. "Tak cukup ni. Banyak baki lagi" , kata tauke itu. Saya tersipu malu. Tapi  air muka abah selamba saja. "Besok  aku bayarlah". 

Itulah  jawapan yang saya dengar setiap kali saya menemani abah membayar hutang sambil membeli belah. Muka abah selamba saja. Kena marah , kena sindir, dia tidak ambil kisah. Saya  pula yang ambil kisah, air muka berubah.

Tauke itu berhati mulia sebab walaupun hutang bertambah, dia terus membenarkan abah mengambil keperluan dapur. Kalau tidak rumah kami tidak berasap.

Setiap kali membayar hutang, hutang semakin bertambah. Tauke tidak dapat menahan perasaan. Dia meninggikan suara lebih dari biasa. Abah pula buat selamba saja sambil mengambil barang-barang keperluan dapur. 

"Kalau begini bengkeraplah aku", suara tauke marah, tinggi sekali apabila melihat abah terus mengambil barang keperluan. Nasib baik kami bertiga saja. Kalau ada orang lain alangkah besar malunya. 

Kali ini abah menjadi terkedu, langkahnya mati. Abah memandang saya, dan sebaik saja kami bertembung mata, abah segera menoleh ke arah tauke.

"Anak aku dah kerja besok, aku bayarlah", kata abah, suaranya agak terketar,minta simpati. Tauke diam saja mungkin dia tahu tempoh menunggu agak lama kerana saya masih berusia 12 tahun, masih sekolah rendah.

Saya diam malu. 

"Bulan depan kau bayar lebih sikit lah", kata tauke itu, suaranya sudah menurun. Abah membaca dan mentafsirkan suara yang menurun itu sebagai tauke membenarkan barang-barang boleh diambil. Abah melakukannya dengan muka tebal. Demi aku, demi keluarga. Asalkan dapur berasap, muka tebal dan harga diri bukan satu keutamaan.

Abah telah buat janji. Hutang akan dibayar, aku percaya maksudnya semua hutang akan dibayar bila saya bekerja nanti.

Kerja apa? Penoreh getah? Saya geleng kepala. Saya tidak mahu jadi penoreh getah. Gaji kecil. Kerja kotor, bahu busuk.

Saya mahu jadi....

Macam mana? Mesti sekolah tinggi.

Ambil periksa masuk sekolah menengah terlebih dulu. Wang masuk periksa sebanyak 3 ringgit belum berbayar. Dua minggu lagi tempoh bayaran tamat.

Sudah beritahu emak, tapi tiada jawapan.

Saya tahu abah tidak akan mampu menyempurnakan kemahuan saya itu.
 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan