Theflowersellingboy

Sabtu, 13 Disember 2014

Apabila Orang Tua Berjumpa Kawan Lama




Apabila orang tua berjumpa kawan lama, apa bual bicara mereka?

Hari ini hadir majlis kahwin di Shah Alam Seksyen 3. Majlis kahwin anak lelaki kawan satu sekolah dulu. Kawan ini berasal dari Batu Pahat Johor. Tapi sekarang setelah bersara menetap di Shah Alam.

Jumpa beberapa orang kawan lama. Banyak perubahan fizikal dalam proses menjadi tua. 

Rambut sudah nipis, lebih banyak putih dari hitam. Ada yang kepala hampir licin botak. Ada kedutan di muka, dan kaki melangkahpun tidak sepantas semasa menghadiri kelas persediaan malam dulu, atau semasa 'mencuri' kerak nasi di dapur dewan makan.

Berjumpa kawan lama, apatah sekali sekala, lebih banyak suka dan ketawa. Sudah hilang kisah merebut tempat duduk di dewan makan, lalu bergaduh. Sudah lupa kisah cabar mencabar, ajak bertumbuk mengadu kekuatan. Tidak ada lagi berkawan ikut asal negeri. Tiada ada dendam disimpan dalam hati.

Majlis kahwin adalah tempat untuk bertemu kawan-kawan lama yang duduk berjauhan. Saya memberi keutamaan dan akan hadir jemputan majlis seperti ini, jika tiada aral melintang.

Di majlis Shah Alam ini berjumpa dengan kawan-kawan lama. Apabila orang tua berjumpa kawan lama apakah cerita dan bual bicara mereka?

Ada empat perkara yang dibualbicara. Pertama fasal cucu, kedua fasal anak, ketiga fasal kesihatan dan keempat apa buat sekarang.

Masing-masing kami bertanya dan mahu tahu berapa bilangan cucu yang ada. Berapa perempuan berapa lelaki. Berapa usia mereka. Sudah bersekolah atau masih di nursery. Siapa yang jaga cucu-cucu itu.

Ada dua cerita cucu yang menarik pada saya. Pertama tentang seorang kawan yang telah ada lebih dari sepuluh cucu. Sebenarnya dia pun lupa berapa bilangan sebenarnya. Tapi yang pasti katanya lebih dari sepuluh orang.

Pening kepala aku bila cucu balik ke rumah (bukan balik kampong, sebab dia orang bandar), kata kawan itu. Bila cuti sekolah, ramailah berkumpul di rumah. Yang tak boleh tahan, banyak hero dari heroin, bergaduh. Pening kepala aku kata kawan saya lagi.

Jadi macam mana kau atasi, tanya saya.

Aku suruh dia main dalam kolam renanglah. Biar dia orang bergasak.

Kau ada kolam renang, ok lah, kata saya.

Kawan saya itu ketawa besar. Kemudian dia beritahu bahawa bukan sebenarnya kolam renang yang ada dalam otak kepala saya. Kolam renang itu adalah plastik/getah yang diisi dengan air.

Saya pun ketawa besar.

Perkara kedua tentang cucu ialah tentang penjagaan cucu yang baru lahir. Bukan masalah nak cari penjaga tapi mereka tidak percaya dengan orang yang menjaga atau hantar cucu ke nursery. Banyak cerita cucu-cucu yang tersedak susu dan meninggal dunia, cerita seorang kawan.

Jadi macam mana kau atasi? Tanya saya.

Hantar juga ke nursery. Berserah kepada Allah lah, kata kawan saya.

Mengapa kau sendiri tak jaga? tanya saya.

Aku ada banyak cuculah. Kalau semua aku jaga, apa jadi dengan rumah aku.

Saya dan kawan saya itu ketawa besar.

Kau macam mana pulak? Tanya kawan saya.

Aku? Sebulan dua kami jagalah. Lepas itu hantar nursery. Kami juga berserah kepada Allah agar tiada apa-apa berlaku.

Tiba-tiba ada seorang kawan lagi menyampok dengan berkata bahawa kami yang ada cucu ini adalah sangat bertuah. Boleh menjaga dan bermain dengan cucu. Tapi beliau belum ada seorang cucu lagi walaupun dua orang anaknya sudah lama kahwin.

Saya nampak ada kesedihan dalam bicara kawan saya itu. Kami yang ada cucu tidak lagi mahu meneruskan cerita tentang cucu.
 
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan