Theflowersellingboy

Selasa, 23 Disember 2014

Memasuki Tahun 2015: Apa Yang Saya Sedang Fikirkan




Saya seorang pesara. Ada pencen bulanan yang mencukupi untuk menyara kehidupan suami isteri. 

Walaupun saya menjangkakan kuasa beli wang saraan pencen saya itu akan berkurangan kesan daripada kenaikan kos barangan dan perkhidmatan, pengecilan nilai ringgit, dan tanggongan cukai baru GST, saya percaya kehidupan saya lebih baik berbanding dengan sebahagian besar orang lain yang berpendapatan rendah dan tanpa pekerjaan. 

Alhamdulillah, saya masih mampu membuat penyesuaian perbelanjaan tanpa menjejaskan sangat kualiti hidup,  kerana saya tidak lagi menangong perbelanjaan anak-anak. Tiga dari empat orang sudah bekerja, dan seorang lagi akan tamat pengajian pada bulan  Februari 2015.

Bagaimana dengan orang-orang lain? 

Sebelum bertanya fasal orang lain saya mesti ambil peduli tentang anak-anak, adik beradik dan anak-anak saudara terlebih dahulu.

Tiga dari empat orang anak saya telah bekerja dan berumahtangga. Masing-masing telah ada dua orang anak tiap-tiap seorang dalam lingkungan usia 2 bulan ke empat tahun. Seorang lagi baru saja berumah tangga dan dijangka akan menimang anak pada Jun 2015.

Bagi yang telah ada anak , belanja penjagaan anak nursery adalah butir perbelanjaan tetap. Butiran perbelanjaan tetap yang lain ialah bayaran balik pinjaman kenderaan dan perumahan.  

Bayaran nursery seorang anak purata 700 seorang, bayaran balik rumah dan kenderaan RM2500. Ertinya bagi satu keluarga wang yang telah terikat bagi butiran-butiran perbelanjaan itu berjumlah RM 3200.

Perbelanjaan lain? Makan minum, minyak kenderaan, pakaian, tol dan sebagainya terpaksa dibuat penyesuaian. Setakat mana dapat dilakukan penyesuaian adalah bergantong kepada jumlah gaji yang diterima. Tapi RM3200 telah diketepikan lebih awal

Bagi anak yang sedang menunggu kedatangan orang baru, rasanya sedang sibuk membuat kira-kira berapa wang yang diperlukan untuk menyambut orang baru itu, termasuk belanja menghantar ke nursery sebagai tambahan kepada bayaran balik pinjaman kenderaan dan sewa rumah.

Berapa jumlahnya? Yang pasti ialah anak itu kena membayar sewa rumah sebanyak RM1200 sebulan.

Bagaimana pula anak yang akan tamat pengajian pada Februari 2015 nanti? 

Adakah akan dapat kerja pada Mac atau dalam masa yang terdekat? Atau .......saya tidak mahu menyambung tentang kemungkinan ini. Ia amat menakutkan.

Sesungguhnya ia amat menakutkan kerana realiti yang ada masih ramai graduan yang menganggur ketika ini, melebihi 120,000 orang.

Hari ini seorang anak saudara yang telah tamat pengajian pada 2012 memberitahu dia dipanggil temuga bagi jawatan penguatkuasa gred 41 disebuah kerajaan tempatan. 

Sebenarnya dia telah melalui banyak temuduga sama ada jawatan yang sepadan dengan kelayakannya atau yang lebih rendah. Tapi semuanya gagal. Sudah dua tahun menganggur. PTPTN asyik menuntut bayaran balik pinjaman.

Pemimpin kita ada alasan yang standard dengan mengatakan kegagalan itu disebabkan kelemahan dalam bahasa Inggeris. Tapi saya tidak boleh terima alasan itu. Itu hanya alasan bagi mengelak dari memikul tanggungjawab untuk mengadakan peluang pekerjaan yang mencukupi.

Saya bimbang akan anak saya yang bakal jadi graduan itu. Harap-harap beliau mendapat pekerjaan.

Bagaimana pula dengan adik beradik yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan yang ramai? 

Ya, saya ada adik beradik dalam kategori itu. Pendapatan tidak melebihi satu ribu. Anak ada enam orang dan semua masih bersekolah.

Macam mana agaknya adik beradik saya itu membuat kira-kira perbelanjaan. Apa butiran perbelanjaan utama mereka. Macam mana mereka melakukan penyesuaian perbelanjaan dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi.

Saya tidak mampu menjawab atau membuat apa-apa cadangan kerana kadang-kadang saya sendiri pening kepala juga walaupun tanggungan saya 2 orang dengan wang pencen saya jauh melebihi pendapatan adik beradik itu. 

Bayangkan mereka yang berpendapatan satu ribu dengan tanggongan 8 orang.

Saya pening kepala boleh beli panadol. Sebab ada wang labih. Adik saya itu pening kepala, nak beli panadol pun tiada wang yang mencukupi. 

Maka jawapan kerajaan pergilah ke klinik 1 Malaysia.

Sesungguhnya kerajaan tidak faham bahasa kiasan? Atau sengaja tidak mahu faham dan lebih suka lepas tangan dan mencari alasan atau mencadangkan jalan penyelesaian yang menyakitkan hati. Contoh: Ayam mahal belilah daging.

Oleh itu saya mahu beritahu secara terang dan jelas bahawa pendapatan RM1000 terlalu rendah. Mesti paling kurang 2000 sebulan. Itupun terkial-kial untuk menjalani kehidupan.

Bagaimana kawan-kawan saya penjawat awam yang berpendapatan kecil misalnya pemandu kenderaan, pembantu pejabat dan tukang kebun.

Begitu juga kawan-kawan dalam kategori bukan pengurusan. Bagaimana pula yang dalam kumpulan pengurusan diperingkat rendah.

Bagaimana pekerja sektor swasta diperingkat rendah?

Saya rasa saya mampu memberi gambaran yang tepat. Mereka akan melalui tekanan perbelanjaan yang berat sekali.

Dan saya juga dapat memberi gambaran yang tepat jika ditanya tentang kehidupan para menteri.

Mereka tidak ada apa-apa yang boleh memeningkan kepala dari segi keluar belanja. Sebab, gaji dan elaun banyak sekali. Untuk naik gaji dan elaun mudah sekali. Hanya angkat tangan di parlimen. Sudah tentu semua angkat tangan. 

Dan banyak butiran perbelanjaan mereka dibayar oleh rakyat. Contoh: makan minum mesyuarat dan tugas rasmi -rakyat bayar; utiliti iaitu air dan letrik -rakyat bayar; tol -rakyat bayar; penyenggaraan dan minyak kereta -rakyat bayar.

Dan macam-macam lagi rakyat bayar. Sebab itu mereka kata GST tidak membebankan. Mereka selalu kata kos tidak naik tinggi sangat. Sebab  wang tidak datang dari poket mereka.

Itulah yang sedang saya fikirkan dalam menghadapi tahun 2015. Alhamdulillah saya hanya perlu membeli sekeping dua panadol.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan