Theflowersellingboy

Khamis, 25 Disember 2014

Sungguh Mudah Menghadapi dan Menyelesai Masalah :Berserah Saja Kepada Allah kerana Semuanya Atas Kehendak Allah

 



Bahawa semua yang berlaku adalah atas kehendak dan izin Allah. Itu adalah yang kita imani sebagai umat Islam.
 
Tapi adakah ianya menjadi sebab dan alasan maka setiap yang berlaku itu hanya dibiarkan berlaku walaupun ianya memudaratkan kita?  Merugikan atau membinasakan? 
 
Kita tidak perlu lagi menggunakan akal fikiran, tubuh badan dan segala kudrat serta kuasa yang ada bagi menghadapi dan menyelesaikan sesuatu keadaan yang membahayakan nyawa kita?
 
Dan kita dengan mudah mengeluarkan kenyataan bahawa ini adalah hukum dari Allah kerana ada yang ingkar terhadap perintah Nya atau kita gagal atau belum melaksanakan hukum Allah. Seterusnya kita mengatakan musibah ini sebagai suatu ujian dari Allah, lantas kita perlu bersabar.

Tiada siapa yang beriman akan menolak kenyataan seperti itu. Dan tiada siapa boleh menafikan bahawa Allah sentiasa mengingatkan kita supaya gunakan otak dengan pertanyaan: Tidakkah kamu mahu berfikir?
 
Tidakkah kita mahu berfikir agar tindakan segera dan berkesan perlu kita lakukan apabila dihadapan mata kita ada seseorang dihanyutkan air deras akibat banjir? 
 
Kita hanya berkata, atas pengetahuan kita tentang latarbelakang seseorang itu yang tidak pernah bersolat atau yang menentang hudud, bahawa inilah balasan dari Allah kerana tidak bersolat atau menolak hudud!
 
Memadaikah cara itu? Dan betulkah itu yang disuruh oleh Allah?
 
Mengapa semudah itu kita menghadapi dan menyelesaikan masalah.
 
Bagaimana jika kita dihanyuti oleh air deras itu, dan ditebing sungai berdiri beberapa orang melihat keadaan kita, apakah kita tidak mengharapkan bantuan mereka, dan hanya kita berserah kepada Allah kerana ini satu ketentuan dariNya?
 
Tidakkah kita mahu berfikir?
 
Apatah lagi kita seorang pemimpin, pemimpin politik yang dipilih yang diberikan amanah untuk memimpin, adakah setakat itu caranya kita menghadapi dan menyelesai masalah yang dihadapi oleh mangsa banjir.
 
Kita berkata "Hadapilah ujian Allah dengan penuh kesabaran".  
 
Kita cepat berkata, "Banjir ini sebagai tanda hukum hudud perlu segera dilaksanakan".
 
Kita enak berkata, "Hujan yang turun yang menyebabkan banjir itu adalah satu rahmah".
 
Bagaimana tindakan segera kita terutamanya kita pemimpin yang diberi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan mereka yang kita pimpin?
 
Cukup dengan kata-kata itu maka kita percaya dan yakin kita telah melaksanakan tanggungjawab selaras dengan perintah Allah?
 
Apakah kita tidak perlu menggerakkan segala jentera dan kekuatan dibawah kuasa dan pengaruh politik yang kita ada bagi membantu dan menyelamatkan mereka yang hanyut, rumah ditenggelami air dan berbagai penderitaan lagi. Kerana kita percaya ini adalah satu ujian dari Allah.
 
Amat malang sekali jika kita dipimpin oleh pemimpin seperti itu.
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan