Theflowersellingboy

Rabu, 17 Disember 2014

Berhati-hati Ketika Menyalin Pakaian Anak Kecil




Kali kedua berlaku pada saya. Kali pertama pada tahun 1977. Saya lupa bulan berapa dan hari apa. Tapi saya ingat peristiwa itu sehingga kini. 

Kali kedua peristiwa yang sama berlaku sehari yang lepas. Peristiwa kali kedua inilah yang membuatkan saya mengingat semula peristiwa tahun 1977. Ia menyegarkan cerita yang telah lama berlaku.

Saya tidak tahu sama ada cerita saya ini melucukan, memalukan atau menyeronokkan dari sudut pandang orang lain.

Ianya menjadi lucu, jika ada yang ketawa, seolah-olah mengatakan saya orang yang tidak berhati-hati atau ada unsur kepandiran.
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                           
Ianya memalukan, jika ada yang ketawa kerana peristiwa itu tidak sepatutnya diceritakan atau dikongsi bersama.
Dan ianya menyeronokkan, jika ada yang ketawa kerana ianya satu kejutan dan tidak selalu berlaku, tapi diterima sebagai bukan satu yang luar biasa.

Apa pun sikap dan reaksi terhadap cerita saya ini, satu perkara yang pasti ialah bahawa ianya mengingatkan kepada saya agar jangan sekali-kali mengambil sikap mudah (take thing for granted) kerana sesuatu  akan berlaku dalam bentuk kejutan. 

Apa kejutan itu?

Kejutan tahun 1977 dan tahun 2014 adalah sama saja. Pada tahun 1977 saya dikejutkan oleh anak sendiri yang baru berusia 1 tahun. Kejutan tahun 2014 pula adalah dari cucu yang keempat yang baru berusia dua bulan.

Oleh kerana kejutannya sama saja maka memadai saya kongsikan cerita yang terbaru.

Saya dan isteri mahu menukar pakaian cucu kami itu.Ketika itu dia sedang menangis. Saya pula menghagahnya dalam usaha untuk memberhentikan tangisannya itu. Tapi dia terus menangis. Dan saya terus menghagah sementara isteri mengambil pakaian cucu itu.

Semasa menghagah, muka saya semakin dekat dengan muka cucu itu. Dia terus menangis. Tiba-tiba terpancutlah air kencingnya mengenai baju dan kain isteri saya. 

Saya yang sedang menghagah itu tidak sempat mengelak dari kena pancutan kencing cucu itu. Tahu ke mana kencing cucu saya itu tuju? Pancutannya masuk dalam mulut saya, sebab mulut saya terbuka semasa menghagah cucu saya itu.

Apa rasanya? Saya tidak tahu. Tapi saya dengan cepat masuk bilik air untuk berludah mengeluarkan air pancutan itu. Kemudian berkomor-komor beberapa kali untuk membersihkan mulut saya itu.

Kami semuanya ketawa (saya, isteri dan emak kepada cucu saya). Cucu saya berhenti menangis, dan mukanya macam biasa saja.

Oleh itu jika mahu salin pakaian anak kecil, sebelum bersedia dengan pakaian baru, pakaian lama jangan dibuka terlebih dahulu. Dan jika dibuka, tentukan anak itu dibaluti dengan kain terutama jika anak kecil itu sedang menangis. Jangan buat macam saya menghagah anak yang sedang menangis.

Anak yang sedang menangis mudah memancutkan kencing apatah lagi jika anak itu anak lelaki. Mulut yang ternganga itu adalah sasaran paling baik pancutan air kencing anak kecil itu.

Dulu tahun 1977 sama juga, cuma pelakunya yang berbeza. Ertinya, saya adalah datuk yang mudah lupa. Namun begitu, ianya menambahkan lagi ikatan kasih sayang diantara seorang datuk dengan cucunya.

Macam mana cerita yang saya kongsi ini. Anda ketawa? Apakah jenis ketawa anda?

  
 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan