Theflowersellingboy

Ahad, 30 November 2014

Hasil Persidangan Tahunan UMNO




Tiga kesan yang terserlah hasil persidangan UMNO adalah seperti berikut:

i) Janji tidak ditepati. 
ii) Gagal melihat kelemahan dan kesilapan dalam diri
iii) Kejayaan UMNO dalam membudayakan rasa mengenang budi.

JANJI YANG TIDAK DITEPATI.

Ini bukan kali pertama UMNO mungkir janji. Janji tidak naikkan harga minyak semasa meraih undi PRU 13 sudah hancur berkecai. Itu baru satu contoh.

Contoh yang paling klasik dan terbaru ialah janji menghapuskan AKTA HASUTAN 1948. Yang berjanji bukan sebarang orang, PM yang buat janji. Beberapa hari lepas PM/presiden UMNO mungkir janji. Akta Hasutan tidak dihapuskan seperti yang dijanji bahkan diperkukuh dan diperkuatkan.

Ini bukan janji budak kecil yang tidak akan bermain air kotor apabila dinasihati ibubapanya. Budak kecil yang buat janji itupun patuh pada janjinya, menghargai nilai janjinya. Ini janji seorang PM. PM bukan saja mewakili imej partinya UMNO/BN ianya adalah imej rakyat Malaysia dikaca mata antarabangsa. Ia juga mewakili imej dan maruah orang Melayu. Imej orang yang beragama Islam.

Macam mana respon atau rasa dihati kalau ada pihak yang berkata; i) Orang UMNO/BN ini tidak tepat janji (berbohonglah); ii) PM Malaysia ini tidak boleh dipegang kata dan janji, kata PM/Presiden/Ketua Negara asing; iii)   PM Melayu dan Islam ini macam ini ke? Komen bangsa asing bukan Islam.

Sudah tentu saya marah. Sudah tentu orang UMNO/BN marah. Sudah tentu rakyat Malaysia marah atau jadi malu-malu.

Tapi kenyataan tetap kenyataan bahawa janji untuk menghapuskan AKTA HASUTAN itu telah dimungkiri. Menjeritlah dengan sekuat-kuat hati untuk mengolah cerita bahawa PM tidak pernah berjanji, dan yang mungkir janji adalah pengundi yang tidak mengundi BN atau berbagai justifikasi untuk mengesahkan perbuatan mungkir janji itu, akalbudi dan hati kecil yang sihat tetap mengaku bahawa janji telah tidak ditepati.

Kenapa dulu tidak berfikir panjang? (Saya percaya PM telah mengambil masa yang lama setelah mendapat pandangan dari berbagai pihak, beliau membuat pertimbangan untuk memansuhkan Akta itu). Atau adakah atas desakan dan tekanan, demi kuasa tidak tergugat maka imej dan nama baik perlu dikorbankan? Atau mengambil mudah saja dengan berkata bahawa apa ada pada imej dan harga diri berbanding dengan pengekalan kuasa? 

Bagi saya ianya tidak menuntungkan PM itu sendiri. Dari kaca mata lawan (pembangkang dan sesama parti), ianya sebagai satu peluru terbaik untuk memburuk-burukkan peribadi PM. PM yang flip flop, PM yang tidak ada ketahanan dan PM yang lemah. Bagi mereka yang menyokong tindakan PM ini juga akan terdetik dihati mereka bahawa PM ini tidak ada pendirian yang kuat dan boleh diacah-acah untuk berubah fikiran. Lain kali kita buat acahan lagi, ketawa mereka terbahak-bahak.

Jika janji telah dibuat, teruskan. Dan buktikan bahawa keputusan itu adalah betul dengan melakukan semua perkara secara teratur dan atas garis kebenaran. Cara sedemikian boleh menutup mulut orang yang celupar.

GAGAL MELIHAT KELEMAHAN DAN KESILAPAN DALAM DIRI

Menuding jari sudah menjadi satu sifat ahli-ahli UMNO khususnya dalam persidangan tahunan seperti ini. Melayu gagal dapat kerja, salahnya terletak pada bukan Melayu. Tanah rezab Melayu semakin berkurangan, salah orang Cina. Ramai lagi orang Melayu miskin sebab bukan Melayu menguasai ekonomi. 

Islam dihina seperti kempen mengajak sentuh anjing dan dakwaan Quran dibakar adalah agenda bangsa dan agama lain. Islam diancam dan teranacm oleh bangsa dan agama lain.

Dengan itu maka obat penawar yang diminta antara lain, i) berikan jawatan menteri sumber manusia kepada orang UMNO (saya percaya maksudnya UMNO Melayu bukan Melayu selain UMNO), ii)Kenakan syarat wajib lulus mata pelajaran Islam, iii) Ubah Perlembagaan untuk mengadakan peruntukan melindungi tanah rezab Melayu, iv) Ambil tindakan dibawah Akta Hasutan mereka yang menghina Islam dan Melayu (justifikasi mengekalkan Akta Hasutan), v) banyakkan lagi orang Melayu (UMNO) diambil dalam GLC.

Banyak lagi.

Sikap dan tabiat suka menuding orang lain atas kelemahan sendiri ini memanjangkan jangka hayat perangai suka meminta-minta dan mahu dapat sesuatu dengan cara mudah tanpa usaha yang bersungguh. Inilah manusia Melayu yang telah dilahirkan oleh UMNO dari dulu, kini, dan jika tidak berubah akan menjadi selama-lamanya. 

Mengapa tidak melihat ke dalam diri sendiri. Mengapa hendakkan sesuatu dengan cara mudah tanpa usaha gigih. Mengapa salahkan orang Cina sedangkan kawan kongsi dalam kontrak dan projek adalah dengan orang Cina. Bukan saja berkawan secara kongsi malah ambil komisyen beberapa persen atas kontrak yang digadaikan juga dengan orang Cina.

Benar, yang miskin dan tidak/kurang kemampuan perlu dibantu dan ditolong. Tapi sudah 57 tahun mengapa kerajaan yang dipimpin oleh UMNO gagal melakukannya. Saya berkata ini adalah berdasarkan kebimbangan dan keluhan orang UMNO itu sendiri,  yang sentiasa diluah dan dibangkitkan dalam persidangan dan perjumpaan seperti ini yang mengatakan orang Melayu dan Islam terancam.

Setelah menjadi kerajaan dari dulu hingga kini, salah orang Cina ke? 

iii) KEJAYAAN UMNO DALAM MEMBUDAYAKAN RASA MENGENANG BUDI

Inilah kejayan UMNO yang paling terserlah dan abadi kepada sebahagian besar orang Melayu terutama dikalangan ahli UMNO.

PM/Presiden UMNO sendiri amat berbangga dengan kejayaan ini. Apatah lagi rasa kenang budi itu dizahirkan oleh bukan orang kampong yang duduk di pedalaman yang buta huruf tanpa akses kepada dunia luar dan tanpa capaian berbagai  sumber maklumat dan applikasi berbagai kelengkapan dan teknologi modern, canggih dan terkini. Ianya dizahirkan oleh seorang doktor pakar. Manakan tidak PM/Presiden UMNO tidak tersentuh jiwa da raganya apabila mendeng'arkan biji butir kata-kata doktor itu yang kurang lebih, "bahawa sebutir nasi yang disuap adalah kerana UMNO yang memberi".

Saya menghormati sikap doktor itu.      

Tapi saya tetap berpegang kepada pendirian bahawa perkhidmatan mahupun sebarang pertolongan atau bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat yang memerlukan adalah merupakan  peranan dan tanggungjawab dalam menunaikan amanah yang telah diberikan oleh rakyat yang memilihnya. Ertinya jika wang yang digunakan bagi memberi bantuan, ianya bukan wang peribadi pemimpin kerajaan itu. Jika dalam bentuk tenaga dan buah fikiran, itu adalah tanggongjawab hakikinya. Maknanya bantuan itu tidak ada ikatan dalam bentuk peribadi.

Berterima kasih dan mengenang budi? Ya tidak salah, sebagai kita berbudi bahasa. Tetapi menjadikan itu sebagai sebab untuk kita tidak berani untuk mengatakan yang salah itu salah atau tidak mahu menegur perbuatan yang salah yang dilakukan oleh pemimpin itu kerana kita 'telah terhutang budi' disebabkan pertolongannya itu, adalah satu sikap yang boleh merosakkan pemimpin itu dan diri kita sendiri.

Pemimpin akan menjadi sombong bahawa dialah yang membuatkan kita boleh dapat makan sesuap nasi.

Kita pula jadi insan yang membiarkan saja jika ada perkara yang tidak betul dilakukan oleh pemimpin.

KERANA MEMBERI BUDI DAN TERMAKAN BUDI.

Itulah kesan yang saya dapat dalam perhimpunan agung UMNO tahun ini. Wallahualam.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan