Theflowersellingboy

Sabtu, 27 Disember 2014

Selamat Pulang PM.




Bilangan mangsa banjir ketika saya menulis  paparan ini telah meningkat melebihi 130,000, dan kawasan yang terlibat juga bertambah, terbaru di Keluang Johor. 

Kedudukan seperti ini pada pendapat saya, lebih dari mencukupi untuk diistiharkan darurat di kawasan-kawasan yang terlibat. 

Apakah suasana dibawah ini tidak cukup untuk mengistiharkan darurat?

i) Bilangan mangsa yang terlibat terlalu ramai, melebihi 130,000 orang. 
ii) Kawasan yang terlibat melebihi satu negeri. 
iii) Banjir yang melanda amat besar dan berpanjangan tanpa menunjuk tanda reda dan berdasarkan tambahan kawasan dan bilangan mangsa. 
iv) Terdapat kejadian kehilangan nyawa (manusia dan binatang termasuk binatang ternakan) dan kemusnahan harta benda. 
v) Keadaan cemas dan getir di hospital dalam memberi rawatan dan menyelamatkan nyawa akibat dari ketiadaan bekalan perubatan yang mencukupi dan terputusnya bekalan letrik dan air bersih.
vi) Terputusnya hubungan atau rumitnya bagi pasukan bantuan untuk sampai ke kawasan-kawasan yang terlibat dalam misi menyelamat dan menghantar bantuan.

Apakah Arahan Majlis Keselamatan Negara N0. 20 yang menggariskan Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana tidak mengambil kira perkara-perkara diatas bagi menetapkan tahap bencana yang sedang menimpa rakyat ketika ini?

Saya yakin banjir yang melanda banyak negeri ketika ini, dan kerosakan serta kemusnahan akibat darinya bukan lagi pada Tahap 1, mahupun 2. Ianya telah memasuki tahap 3 yang memerlukan campur tangan Kerajaan Persekutuan. Bukan itu saja ianya perlu diistiharkan sebagai darurat.

Mengapa TPM yang mengatakan beliau memangku jawatan PM semasa ketiadaan PM tidak segera mengistiharkan darurat?

Malah beliau berhujah bahawa yang penting ialah melakukan kerja dan langkah-langkah bantuan dan menyelamat bukan soal pengistiharan darurat.

Jika begitu mengapa perlu ada peruntukan pengistiharan darurat dalam Arahan MKN No.20 itu?

Adakah beliau tidak ada kuasa untuk melakukannya kerana pengistiharan darurat sesuatu bencana hanya boleh dilakukan oleh PM secara pentadbiran dan eksekutif atas syor Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan oleh PM?

Maknanya TPM bukanlah memangku jawatan PM semasa PM berada di luar negara. Sebab itu agaknya PM kena balik dari bercuti untuk mendengar taklimat dan melihat sendiri seterusnya menilai keadaan yang ada, dan jika JPBP mengesyorkan darurat perlu diistiharkan dalam mendepani banjir ketika ini, maka taraf darurat akan berkuatkuasa. 

Jika itu berlaku maka segala sumber yang ada (kewangan dan peralatan/kelengkapan/tenaga manusia) boleh digerak dan digunakan bagi menghadapi banjir yang masih terus melanda kawasan-kawasan tersebut. Bermakna pengistiharan darurat itu akan meliputi arahan kepada semua agensi kerajaan (persekutuan dan negeri), badan-badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela.

Hanya PM saja yang boleh melakukannya. Sebab itu rakyat amat menunggu dengan penuh harapan akan kepulangan PM, bukan atas nama peribadi tapi atas jawatan yang dipikulnya.

Selamat pulang PM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan