Theflowersellingboy

Ahad, 21 Disember 2014

Cerita Semalam Belum Habis




Cerita semalam belum habis. 
 
Pasukan bola sepak Malaysia berjaya mengalahkan Thailand dalam perlawanan akhir pusingan kedua piala suzuki dengan kedudukan jaringan 3-2. 
 
Namun, Malaysia sebagai tuan rumah yang budiman telah menghadiahkan kemenangan kepada pasukan Thailand, kata seorang kawan secara sinis. Dan ada nada kecewa dalam kesinisannya itu.
 
Setelah Malaysia tewas pada pusingan pertama di Thailand dengan kedudukan 0-2, sebahagian besar rakyat Malaysia tidak yakin Malaysia akan dapat mengatasi Thailand dan seterusnya memenangi piala suzuki pada tahun ini.  
 
Kena jaraingan 2 gol itu bukan satu perkara yang mudah untuk Malaysia menang pada pusingan kedua, mengikut pandangan banyak pihak.
 
Sesungguhnya  mereka itu silap. Mereka mudah putus harap. Selagi pusingan kedua belum berakhir, harapan untuk Malaysia menang masih ada, kata setengah pihak pula.

Saya pula tidak yakin Malaysia boleh mengalahkan Thailand di pusingan kedua, dan tidak juga putus harapan untuk menang dan seterusnya memenangi piala suzuki ini.
 
Dalam kata lain saya yakin Malaysia akan kalah. Dan dalam masa yang sama saya mendoakan Malaysia boleh menang.
 
Saya dapati dari segi kemahiran bermain diantara Thailand dan Malaysia tidak banyak beza. 
 
Cuma Thailand melebihi sedikit dari segi kawalan bola dan kepantasan membuat 'folow up'  dan memberi bantuan kepada kawan dalam sesuatu serangan. Inilah aset utama pasukan Thailand selain semangat juang yang kental. Mungkin sebahagian besar pemainnya lebih muda dari pemain Malaysia.

Kemahiran pemain Malaysia tidak kurang hebat terutama yang ditunjukkan oleh pemain 'senior' yang berpengalaman. Cuma stamina mereka mudah luntur.

Atas dua sebab diataslah saya yakin Malaysia akan tewas sebelum bermulanya sepak mula pusingan kedua. Tapi saya mengharapkan Malaysia boleh menang.

Rupa-rupnya sangkaan saya meleset. Pasukan Malaysia menempelak 'jiwa kecil' saya itu dengan  menyumbatkan 3 gol tanpa balas dari pasukan Thailand. 
 
Namun begitu saya merasa bangga walaupun kena tempelak. Maka saya ketawa besar sambil melompat kegembiraan apabila kita masih lagi berkedudukan 3-0 sedangkan permainan hanya berbaki lebih kurang 20 minit. Tidak mungkin Thailand boleh menjaringkan gol dalam baki tempoh 20 minit itu, kata hati kecil saya.

Saya mengistiharkan piala suzuki itu kita punya.

Dalam keyakinan itu, saya menjadi tersentak dan terkedu apabila Thailand berjaya menjaringkan 1 gol. Dengan serta merta saya menyerah diri dan mengaku kalah walaupun masih mengharapkan 2 jaringan gol boleh dilakukan oleh pemain kita.
 
Saya yakin pemain kita tidak mampu melakukannya. Ini berdasarkan dari pengalaman. Apabila saja gol kita ditembusi, biasanya ia mudah lagi ditembusi oleh pihak lawan. Sama seperti saya yang mudah mengaku kalah, pemain kita pun mempunyai ciri yang sama. 
 
Lagipun pemain-pemain senior yang memainkan peranan utama dalam menyumbang gol Malaysia itu tidak mempunyai stemina yang cukup untuk bersaing dengan pemain pasukan Thailand yang muda. Sebab itulah dalam tempoh akhir permainan, gol kita  mudah di bolosi pihak lawan.

Imbau kembali permainan kita pada peringkat kumpulan dulu. Bukankah kita telah mengalahkan Thailand diperingkat awal permainan? Apa jadi selepas itu iaitu dalam tempoh baki permainan yang sedikit? Tahiland berjaya mengalahkan kita dengan jaringan 3-2.

Bagi saya , kita telah gagal belajar dari perkara semalam, perkara yang telah berlaku. Kita telah gagal mengambil iktibar  perlawanan pada peringkat awal dulu yang mana kita mulanya menang tetapi berakhir kepada kekalahan. 
 
Sebenarnya cerita semalam belum habis lagi.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan