Theflowersellingboy

Jumaat, 12 Disember 2014

Malaysia Menang dan Vietnam Juga Menang.




Tahniah kepada pasukan bola sepak negara yang berjaya ke pusingan akhir piala Suzuki untuk bertemu Thailand setelah mengalahkan Vietnam dengan agregat 5-4. 

Ya, kita menang. Namun yang pasti menang dalam perlawanan sukan bola sepak ini ialah pasukan Vietnam dan penyokong serta rakyat negara itu. Mereka menang kerana mereka menerima kekalahan tanpa membelasah penyokong pasukan lawan yang menang.  

Mereka mengajar kita sebenarnya bagaimana menjadi tetamu yang baik dan budiman.

Malaysia, khususnya penyokong mesti belajar dari penyokong Vietnam, macam mana cara menjadi penyokong yang penuh semangat menyokong pasukan sendiri, dengan riuh rendah suara membangkitkan semangat, diiringi dengan pukulan gendang, memeriahkan perlawanan, begitu ceria sekali.

Dalam semangat yang berkobar dan membara untuk menang, tiba-tiba pasukan dihukum dengan tendangan penalti disaat awal perlawanan, penyokong masih tidak hilang pertimbangan dan harapan, mereka terus membangkitkan semangat juang pasukan, kerana mereka tahu selagi wisel penamat belum berbunyi, harapan menang masih ada lagi. 

Begitulah semangat yang ditunjukkan oleh penonton Vietnam yang disambut dengan penuh yakin oleh para pemain Vietnam yang bertali arus menyerang pintu gol pasukan lawan, Malaysia. 

Saya katakan sesungguhnya kita bernasib baik kerana banyak dari tendangan mereka pada saat akhir perlawanan, tersasar sedikit atau terus dapat ditepis oleh penjaga gol kita.

Alhamdulillah kita menang. Dan kita perlu belajar dari penonton Vietnam dan para pemainnya yang tidak mudah putus semangat dan hilang pertimbangan walaupun kekalahan amat jelas sekali pada kedudukan 4-2, penonton mereka terus memberi semangat dan pemain mereka terus menyerang. 

Mereka menyerang untuk mendapatkan gol kemenangan. Mereka tidak menyerang pemain dan penonton kita walaupun mereka kalah dengan agregat 4 berbalas 5.

Terdapat kain rentang menyatakan permohonan maaf kita atas perbuatan beberapa penyokong kita yang tidak tahu cara mana menjadi penyokong yang baik. 

Itu adalah satu tindakan yang terpuji. Sewajarnya permohonan maaf seperti itu tidak kita ulangi lagi. 

Bertemu dengan Thailand nanti, marilah bersama-sama menyokong pasukan kita dengan membangkitkan semangat juang untuk menang. Dan jangan hilang pertimbangan jika kita kecundang. 

Lawan tetap lawan dengan penuh semangat sukan. 

Semasa menjadi tuan rumah nanti, jadilah tuan rumah yang meraikan tetamu dengan penuh hormat dan mesra.

Selamat berjaya untuk merangkul sekali lagi piala Suzuki.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan