Theflowersellingboy

Isnin, 29 Disember 2014

Jika Dia Menangis Kita Menangis Sama: Bantulah Mereka




Langit masih mendung dan kita masih lagi dalam keadaan murung.  
 
Banjir melanda lagi. Kita mengeluh.
 
Waktu musim panas terik dan kering sehingga membuatkan tanah menjadi keras dan merekah, air dan sumber air mula berkurangan dan mengecil, tumbuhan banyak yang mati, dan kebakaran mudah terjadi, dan kita pula tidak tahan dengan cuaca yang panas yang menyebabkan bil letrik meningkat akibat penggunaan arus letrik yang bertambah untuk mendinginkan anggota badan dari alat penghawa dingin dan kipas yang berkerja lebih dari masa biasa.
 
Musim panas, kita juga mengeluh.
 
Tapi tidak semua orang mengeluh. Ada yang menerima seadanya sebagai ujian dari Allah dan sentiasa memohon pertolongan dari Allah melalui doa dan solat hajat bagi mempercepatkan keluar dari musibah itu: Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNyalah kita dikembalikan.
 
Mengeluh adalah kelemahan kita sebagai manusia yang sebahagian besarnya tidak tahan dengan keadaan yang tidak selesa dan menyusahkan. Sebab, kadang-kadang kita terlupa bahawa realiti sebuah kehidupan adalah berbagai-bagai: ada masa kita mampu untuk senyum ketawa dan ada ketikanya kita perlu menangis hiba dan berdukacita.
 
Rasa saya yang terbaik adalah kita sama-sama senyum ketawa apabila saudara mara, sahabat dan insan yang lain yang kita kenal dan tidak kenal di limpahi dan dikurniai dengan sesuatu nikmat; dan jangan lupa untuk bersama-sama menangis, hiba dan susah hati apabila mereka ditimpa musibah. 
 
Ucapkan tahniah dan syabas kepada mereka waktu mereka senyum ketawa kerana nikmat, dan hulurkan bantuan dan pertolongan waktu mereka susah ditimpa musibah.
 
Ertinya siapapun kita dan apapun perasaan kita, sama ada mudah mengeluh resah gelisah atau insan yang sentiasa insaf akan ujian Allah, kita jangan lupa bahawa ada tanggungjawab kita dalam menghadapi sesuatu musibah seperti banjir misalnya.
 
Sekecil-kecil tanggungjawab yang kita boleh laksanakan ialah dengan mengeluarkan sedikit wang untuk membantu mereka yang ditimpa musibah banjir ini selain mendoakan agar banjir cepat surut dan Allah melindungi dan menyelamatkan nyawa dan harta benda mereka yang ditimpa musibah itu.
 
Mungkin banyak orang telah mempunyai maklumat tentang akaun yang boleh disalurkan bantuan seperti yang dimaklumkan dalam siaran di tv. Namun begitu saya turunkan juga no. akaun tersebut seperti berikut:
 
Maybank 514105320757.
 
Bantulah orang dalam kesusahan ini.
 
Saya telah melakukannya, hanya sedikit saja. Bukan tujuan untuk menunjuk-nunjuk, kerana saya tahu itu sifat tidak baik atau riak tapi sebagai mahu menyatakan bahawa saya perlu menangis bersama orang yang sedang ditimpa banjir. Menangis dari jauh kerana saya tidak mampu untuk kesana.
 
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan