Theflowersellingboy

Isnin, 30 Disember 2013

Rasionalisasi Subsidi: Adakah ianya satu tindakan yang rasional?




Apa itu rasionalisasi subsidi? 

Sebelum itu baik kita fahami dulu apa itu rasionalisasi dan apa itu subsidi.

Rasionalisasi berasal dari kata asas rasional. Sesuatu yang rasional itu mempunyai sifat-sifat atau unsur antara lain waras, munasabah, logik, mempunyai alasan kukuh, yang masuk akal, adil, ada kebijaksanaan, yang boleh diterima ramai dan baik.

Manakala subsidi pula ialah satu bentuk bantuan bagi meringankan beban atau ketidakupayaan dalam menghadapi persaingan.

Dengan demikian rasionalisasi subsidi adalah satu usaha yang berasaskan logik, yang munasabah dan waras, mempunyai alasan kukuh, masuk akal, adil, yang ada kebijaksanaan yang boleh diterima ramai dan menghasilkan kebaikan dalam memberi bantuan bagi meringankan beban atau ketidakupayaan dalam menghadapi saingan.

Maknanya rasionalisasi subsidi itu adalah bertujuan untuk kebaikan ramai, iaitu untuk kebaikan rakyat.  Baik untuk rakyat, baiklah untuk  negara.

Ianya adalah satu usaha yang berasaskan fikiran yang waras, logik dan adil bagi membantu rakyat miskin dan berpendapatan rendah yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup , yang tidak ada upaya untuk bersaing dengan mereka yang berpendapatan tinggi. 

Jika rakyat berpendapatan rendah itu berterusan dibiarkan tanpa bantuan ianya akan melahirkan jurang  kehidupan yang semakin membesar sehingga menzahirkan perasaan tidak puas hati serta kebencian dalam diri orang yang tertekan itu terhadap orang berpendapatan tinggi dan pimpinan kerajaan yang diberi tanggungjawab untuk mengurus tadbir negara. 

Diatas, adalah rasionalisasi subsidi yang sepatutnya diusahakan kerajaan dari perspektif rakyat, khususnya rakyat miskin dan yang berpendapatan rendah. 

Bagi rakyat, sebarang usaha dalam merasionalisasikan subsidi, mestilah memberi menfaat kepada rakyat, untuk kebaikan rakyat, demi rakyat kerana rakyat mesti didahulukan, bukan demi kepimpinan untuk mengekalkan kuasa.

Sebaliknya, dari perspektif pimpinan kerajaan dan mereka yang berpendapatan tinggi dan hidup mewah, dan sebahagian pakar pelbagai bidang serta ketua beberapa NGO, logik dan kewarasan rasionalisasi subsidi  adalah dengan memotong subsidi itu sendiri atas alasan bahawa subsidi itu jika tidak dikurangkan dan seterusnya dihapuskan akan membebankan kewangan negara dan menjejas daya saing negara yang akhirnya boleh menjadikan negara muflis.
 
Mengikut pandangan mata mereka, cara terbaik dalam menghadapi kesan pemotongan subsidi dan kenaikan harga ini ialah pihak yang terbeban dan tertekan itu hendaklah menghadapinya dengan penuh ketenangan, bersyukur , menerimanya sebagai satu ketentuan takdir, menghilangkan sifat malas yang sentiasa mengharapkan bantuan dengan menggandakan usaha melakukan berbagai kerja bagi mendapat tambahan pendapatan serta berjimat cermat, tidak berbelanja membeli barangan mewah,  dan  tidak  boros dalam berbelanja. Rakyat miskin dan berpendapatan rendah hendaklah berbelanja 'dengan mengukur baju di badan sendiri'.

Bagi rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah termasuk yang berpendapatan sederhana, rasionalisasi subsidi ialah satu usaha untuk mengekalkan subsidi atau bantuan, agar dapat meringankan beban kos sara hidup yang tinggi. Kerana pemotongan subsidi akan membuatkan harga bahan yang diberi bantuan itu akan naik, seperti harga minyak dan gula.

Adalah tidak waras, tidak logik dan tidak rasional serta tidak adil mengatakan bahawa pemotongan subsidi keatas sesuatu barang dan perkhidmatan tidak akan membuatkan harga barangan dan perkhidmatan itu tidak naik. Hanya orang yang suka berkhayal, yang hidup penuh kemewahan dan yang mahu kekal berkuasa  dan bermuka tebal saja, sanggup untuk mengatakan begitu, sedangkan dihadapan mata kepala sendiri, sedia terpampang harga yang tinggi setelah subsidi dipotong berbanding dengan harga sebelumnya.

Pendek kata rakyat berhujah bahawa MENGEKALKAN SUBSIDI adalah satu usaha yang RASIONAL. 

MEMOTONG dan MENGHAPUS  SUBSIDI adalah usaha yang TIDAK RASIONAL.

Oleh itu perspektif pimpinan kerajaan dalam usaha rasionalisasi subsidi ini dengan cara MEMOTONG SUBSIDI adalah tidak berdasarkan pemikiran yang  logik, dilakukan secara tidak  munasabah, tidak masuk akal, tidak mempunyai asas yang kukuh dan tidak adil dalam keadaan dan suasana ketika mana sebahagian besar rakyat masih hidup miskin, berpendapatan rendah dan sederhana yang sedang terhimpit dan menghadapi berbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, dan akan dihimpit lagi dengan pengenaan cukai GST.

Dalam keadaan tidak ada pertambahan pendapatan, sebaliknya menghadapi kenaikan kos sara hidup, maka adalah TIDAK ADIL bahkan bersikap ZALIM jika bantuan atau subsidi dikurangkan.

Ini tidak bermakna pemotongan subsidi dengan cara merasionalisasi subsidi itu tidak patut dilakukan. Ia perlu dilakukan bagi mengurangkan beban tanggungan kewangan negara. Wang jimatan dari pemotongan subsidi itu akan memperkukuhkan kewangan negara untuk mampu berdaya saing dalam ekonomi global yang terbuka tanpa sempadan. Jika kewangan dapat diuruskan secara terbaik, tanpa berbagai kepincangan, insyaAllah, ekonomi negara akan bertambah mapan. Negara makmur, rakyat juga yang senang akhirnya.

Jadi apa yang tidak kena dengan rasionalisasi subsidi yang diusahakan oleh kerajaan ini sehingga mendapat tentangan sebahagian rakyat?

Yang tidak kena ialah pelaksanaannya pada ketika pendapatan rakyat tidak bertambah, dan dalam masa yang sama kos sara hidup semakin bertambah. Lihat saja kenaikan berbagai harga barangan dan perkhidmatan seperti minyak, gula, cukai pintu, tambang bas, lrt, teksi, tol, perkakas alat tulis dan perkhidmatan tv berbayar, disamping kenaikan bermusim harga ayam dan barangan keperluan waktu perayaan.  

Amat malang sekali, kenaikan satu harga barang akan memberi kesan kepada harga barang yang lain. Ianya kenaikan berangkai.

GST pula akan mengangakan mulut pada April 2015.

Pendapatan dan kos sara hidup bukan saja tidak setara (matching) bahkan terlalu jauh jurang pemisahannya. Macam mana tergamak kerajaan mengurangkan atau memotong subsidi, seolah-olah tiada langsung belas ikhsan keatas mereka yang terbeban ini. 

Adilkah tindakan itu sedangkan pimpinan kerajaan hidup dalam keadaan mewah, boros, membazir, rasuah, salah guna kuasa, dan mendapat berbagai keistimewaan yang dibayar oleh wang negara seperti kediaman, bil utiliti (air dan letrik), kereta termasuk kos minyak dan penyenggaraan, tol; menuntut berbagai elaun untuk dibayar dengan wang negara dalam urusan rasmi, termasuk makan dan minum pagi, makan tengah hari, minum petang, dan makan malam semasa bermesyuarat dan tugasan rasmi yang lain. 

Kalau turun ke padang atau keluar dari ibupejabat, misalnya melakukan perasmian bagi sesuatu acara atau pecah tanah bagi sesuatu projek, makan dan minum ditanggung beres. Sudah tentu upacara itu diakhiri dengan sembah kasih cendera mata/cenderahati dari rakyat yang susah berpendapatan rendah, sebagai tanda kenangan kerana sudi mencemar diri.   
  
Jadi ada rasionalnya, ada logiknya, ada munasabahnya, ada asas yang kukuh, ada kewarasan, dan sesungguhnya adil sekali jika rakyat menyatakan tidak bersetuju dengan kaedah rasionalisasi subsidi yang diusahakan kerajaan itu iaitu dengan memotong subsidi. Bagi rakyat mengekalkan subsidi adalah sebenarnya cara yang betul dan sesuai dipanggil rasionalisasi subsidi.

Ertinya rakyat tidak menentang usaha kerajaan melakukan rasionalisasi subsidi jika keadaan dan suasananya sesuai, dan jika wang negara diuruskan secara terbaik.

Ertinya juga rakyat bukan menentang usaha kerajaan memotong subsidi yang bertujuan mengukuhkan kewangan kerajaan tapi rakyat menentang kerana tidak percaya dan yakin wang jimatan itu atau apa-apa tambahan pendapatan negara sama ada melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dan juga GST akan diurus secara terbaik demi kemantapan ekonomi negara untuk menfaat rakyat.

Pimpinan kerajaan sentiasa menafikan tentang salah urus tadbir negara. Tapi mana boleh menyorok bangkai gajah dengan sehelai daun keladi. Sesunguhnya, pimpinan kerajaan boleh main silap mata dengan setengah orang tapi setengah orang lagi mempunyai mata yang amat tajam, yang sentiasa memerhati dan mengesan setiap gerak anggota badan pimpinan.

Jadi kaedah rasionalisasi subsidi kerajaan itu adalah tidak rasional. 

Dibawah ini diturunkan beberapa petikan kata-kata pimpinan kerajaan dan mereka yang hidup mewah yang menasihatkan rakyat yang tertekan dengan pemotongan subsidi dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan untuk diberi penilaian. 

Rasionalkah jalan pemikiran mereka dan ada belas ikhsan kah mereka itu terhadap orang susah?

i) Kami tidak terima sebarang aduan, ini membuktikan rakyat sokong barang naik -Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan.

Rakyat sokong barang naik? Gila punya rakyat.

ii) BN berhak naik barang kerana menang pilihanraya--Perkasa.

Menaikkan harga barang sebagai satu hak? Itukah janji BN jika menang pilihanraya?

iii) Pengguna boleh guna laluan tidak bertol kalau tidak mahu bayar tol ---Menteri di JPM.

Adakah itu satu penyelesaian jika rakyat memerlukan bantuan? Menyenang atau menyusahkan?

iv) Harga petrol tidak naik, tetapi hanya subsidi petrol dikurangkan--Menteri Kewangan dan Timbalan.

Tidak naikkah jika sebelum pemotongan subsidi , harga Ron 95 RM 1.90 dan setelah dipotong/kurang subsidi menjadi RM2.10? Waraskah orang yang berkata begitu.

v) Kurangkan gula lebih baik untuk kehidupan seks anda --PM.

Begitu pulak cara berfikir PM.

Dan banyak lagi yang tidak langsung dapat membantu bagi meringankan beban tanggungan sara hidup yang tinggi.

Jadi bagaimana rasionalisasi subsidi dapat dilakukan oleh pimpinan yang mempunyai pemikiran seperti itu, pemikiran yang tidak rasional yang tidak mengenal makna keadilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan