Theflowersellingboy

Jumaat, 27 Disember 2013

Kalau Harga Minyak Naik, Lu Jalan Kaki atau Naik Basikallah. Badan Jadi Sihat.




Pagi-pagi lagi sudah kena sebiji.
 
Pagi ini , pukul 915 pagi, disebuah bengkel membaikki hawa dingin kereta, saya kena sebiji , terkedu dibuatnya. Senyap tak terkata-kata, tapi mampu juga senyum dengan sedikit ketawa kecil, bagi mengelakkan perasaan dapat dibaca.
 
Ceritanya bermula dengan  hal-hal mengenai penyeleggaraan kereta khususnya kereta yang sudah berusia melebihi 20 tahun. Banyak benda yang terpaksa diganti. Barang ganti pun mahal sangat. Belanja penyelenggaraan agak tinggi berbanding dengan kereta baru. Apatah lagi kereta mercedez yang telah terlalu tua.
 
Macam biasa, bila cakap fasal kereta, kita juga akan bercakap fasal minyak. Tambah-tambah lagi dengan perkembangan yang ada ketika ini, dimana harga minyak yang sudah naik.

Maka terkeluar ayat-ayat yang sifatnya berterus terang, tapi ditafsirkan oleh kawan yang mendengar sebagai tidak patut dikatakan begitu. Maka lantas ditembaknya saya dengan menggunakan senjata WMD (Weapon of Mass Destruction) seperti yang digunakan oleh US semasa menyerang Iraq dahulu dengan alasan mengatakan Iraq menggunakan senjata itu.

"Kereta ni kuat makan minyak", kata saya, menceritakan hal belanja minyak yang saya bayar. Ayat ini semacam menabur beras dihadapan ayam belaan. Dengan pantas kawan itu menyambut ayat saya itu. Tapi, dia orang licik, tidak mahu mengenakan secara langsung. Dia kenakan orang lain tapi dia kenen pada saya, macam pukul anak sindir menantu.

"Saya ada seorang kawan. Dia nak beli kereta dan bertanya saya. Kereta mana yang tak makan minyak?" Kawan itu mula mengaturkan ayat untuk mengenakan saya.

"Saya beritahu dia, mana kereta yang tak pakai minyak. Kalau nak pakai kereta, mestilah sanggup bayar duit minyak", sambung kawan itu. Katanya lagi bahawa kawan yang bertanya tadi diam tanpa berkata apa. 

"Baru-baru ni ada seorang Cina asyik komplen fasal harga minyak naik", kawan tadi menambah satu cerita lagi. "Saya beritahu dia kalau tak mahu bayar harga (harga naik), jangan pakai kereta. Baik jalan kaki atau naik basikal. Tak ada siapa yang melarang. Lagipun badan jadi sihat", cerita kawan itu lagi sambil ketawa dan menyandarkan badan ditepi kiri sebelah belakang kereta saya.

Saya terkedu tidak dapat bersuara, cuma senyum dan ketawa kecil saja. Saya tidak pasti air muka berubah atau tidak. Rasanya tidak berubah, bagi mengelak dapat dibaca oleh kawan itu, bahawa sebenarnya saya terasa terbeban dengan kenaikan harga itu.

Lama juga saya tidak bersuara, hanya menjadi pendengar saja. Saya macam tidak percaya kawan itu tidak merasa susah hati dengan kenaikan harga minyak. Katanya dia ada 2 buah kereta, dan keretanya pun selalu buat perangai. Minggu lepas, kereta hondanya baru ditukarkan kompressor hawa dingin.

Mungkin dia ni gaji besar. Saya terbaca dibajunya tertulis nama sebuah Universiti. Lalu saya bertanya hari ini tak mengejar ke. Dia tidak menjawab, tidak juga mengatakan dia seorang pensyarah universiti berkenaan.

Rasanya gaji pensyarah pun tidak setinggi mana. Tak mungkin kawan ini tidak terkesan dengan kenaikan harga minyak. Dia juga tidak bercerita fasal kenaikan harga barangan yang lain, seolah-olah perkembangan tentang kenaikan harga ini tidak termasuk dalam butiran yang ada dalam kepala beliau. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Tenang nampaknya, sama seperti apa yang dipesan oleh seorang professor dalam menghadapi harga naik.

Setelah lama tidak bersuara, saya menyatakan bahawa sekarang ini saya jarang  menggunakan kereta ini bagi perjalanan jauh sebaliknya menaikki bas ekspress untuk ke Putra Jaya atau ke Ampang , pergi rumah anak-anak.

Dengan cepat kawan tadi berkata, "Begitulah caranya. Jimat belanja. Tak payah nak komplen harga minyak naik. Tol pun tak kena bayar". 

Saya senyum saja. Saya memilih untuk tidak mahu berbeza dengan kawan itu kerana nampak gaya dia seorang penyokong kuat kepada kenaikan harga. Tidak ada faedah untuk bicara soal kesusahan yang dihadapi oleh orang yang berpendapatan rendah kesan dari kenaikan harga minyak, tarif letrik dan barang-barang yang lain. Lagipun mengapa perlu timbul kemarahan seseorang yang baru saja kita kenal.

Saya pun tidak mahu kena lagi sebiji. 

Entah macam mana hati saya berbisik bahawa orang ini ialah ahli tegar UMNO, penyokong kuat kerajaan, apabila dia memberitahu kawasan mana dia tinggal. Saya tahu kawasan itu.

Sekarang sahlah bahawa ada juga pihak yang mempertahankan kenaikan harga, walaupun orang itu bukanlah orang berpendapatan tinggi  yang hidup mewah. Orang setaraf dengan saya pun, sokong kenaikan harga. Patutlah kerajaan tidak ada masalah untuk menaikkan harga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan