Theflowersellingboy

Ahad, 8 Disember 2013

Jaga Tutur Katamu: Adalah Perasaan Malu.



                    





Mungkin anda sudah menonton video diatas  terlebih dulu sebelum membaca tulisan yang dipaparkan, dan mungkin sebaliknya. 

Jika anda memilih menonton video, anda akan  mendengar suara yang menyebut satu perkataan yang tidak sopan. Tidak sopan untuk disebut oleh semua orang bagi menggelarkan seseorang atau mana-mana pihak, sama ada kawan baikpun lawan. 
 
Apatah lagi jika yang menyebutnya adalah orang yang berkedudukan pimpinan yang selalunya kita meneladani tingkah laku dan perwatakannya.  

Meneladani watak orang berkenaan? Anda akan hampa, jika keperibadian yang baik yang anda harapkan. 

Anda kena buat sempadan bagi mengelakkan anak cucu anda dari mendengar perkataan yang tidak sopan itu. Nanti pandai pula anak cucu anda menyebutnya. Setelah pandai menyebut, ia akan menjadi seronok pula. Lepas seronok, ia akan menjadi perkataan basahan yang diulang sebut bila-bila masa anak cucu kita suka.

Dijauhkan Allah.

Saya membayangkan bahawa jika dua orang cucu saya, seorang berusia 3 tahun lebih (Yousef) dan seorang lagi 2 tahun lebih (Naqib), mendengar perkataan itu, salah seorang akan berkata,

"Nek janganlah sebut perkataan itu, sedih rasanya hati saya. Nanti adik aqib dengar,  dia akan panggil teacher dia kat nursery macam nenek sebut, malulah saya". 

Cucu saya tu tahu malu rupanya.

Anda juga saya rasa punya rasa malu, dan tidak akan menyebut perkataan itu jika marah terhadap orang lain. Harap-harap begitulah.

Penutur perkataan itu begitu bersungguh melontarkan perkataan tidak sopan itu. Sebutannya jelas, lantang dan lancar sekali. Tidak langsung tersekat-sekat atau pelat-pelat. Dia terlalu yakin bahawa perkataan itu boleh mencederakan lawan, sekurang-kurang mengharapkan orang ramai percaya bahawa lawannya itu atau pihak yang menjadi saingan sebagai orang jahat atau pihak yang jahat.

Itulah makna yang diberikan oleh kamus Dewan Bahasa  yang bersamaan dengan perkataan yang ditutur.

Kalau itu yang dia percaya bahawa panggilan dengan menggunakan perkataan tersebut boleh mencederakan lawan, maka beliau membuat satu kesilapan yang besar. 

Tidak semua orang menyebelahi beliau. Malah lawannya pula mendapat simpati dari ramai orang. Bukankah ini satu kerugian politik sedangkan itulah yang diharapkan oleh seseorang yang bergiat dalam polotik, apatah lagi sebagai pemimpin politik, yang masih mengharapkan untuk menjadi menteri?

Walaupun misalnya tidak berminat untuk menjadi menteri atau menjadi pemimpin politik , dan dengan itu tidak mengharapkan sokongan orang ramai, tapi sebagai manusia biasa, perkataan kurang sopan itu tidak wajar digunakan bagi menggelar atau memanggil seseorang atau satu-satu pihak yang tidak sealiran dengannya atau puaknya.

Beliau kena fikir juga kesan penyebutan perkataan itu kepada anak-anak dan cucu-cucu yang masih belum tercemar fikirannya, seperti mana yang cuba saya bayangkan kekhuatiran, perkataan itu akan digunakan oleh cucu saya apabila memanggil 'teacher'nya di nursery.

Malulah saya.

Kecuali ada orang yang tidak tahu malu. Kita percaya penutur perkataan dalam video diatas ada perasaan tahu malu.

Begitulah harapan kita semua. 
































  

 
 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan