Theflowersellingboy

Jumaat, 20 Disember 2013

Kenaikan Harga dan Pemotongan Subsidi adalah Baik Untuk Ekonomi Negara dan Baik Untuk Rakyat. Sama Seperti Bunga Yang Cantik Berwarna Warni Harum Mewangi Yang Semua Orang Suka. Tapi Rakyat atau Orang Terlalu Amat Khuatir Bunga Yang Cantik, Berwarna Warni dan Harum Mewangi Itu Diberikan Kepada Sang Beruk




Berturut-turut hari saya bicara tentang kenaikan harga barang. Saya bukan wakil rakyat. Saya hanya seorang rakyat Malaysia. Hidup sederhana, tidak senang sangat dan tidak susah, melarat. Alhamdulillah.

Saya juga terkena kesan kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan, sama seperti orang lain. Kuasa beli wang pendapatan persaraan setiap bulan saya, juga menjadi kurang, sama seperti orang lain. Maka berbagai cara penjimatan dilakukan untuk menyesuaikan diantara kuasa beli yang ada dengan kos sara hidup yang bertambah. 

Dan tahun ini dan beberapa tahun kebelakang ini, banyak kali penyesuaian terpaksa dilakukan agar perbelanjaan tidak mengatasi perbelanjaan. Kerana terlalu kerap berlaku kenaikan harga.

Sebagai orang yang terlatih dan mempunyai latarbelakang dalam pengurusan kewangan, saya wajar berdisiplin seperti itu. Belanja tidak boleh melebihi pendapatan. Lebih baik lagi jika pada hujung sesuatu bulan , baki akaun saya menunjukkan lebihan, untuk dijadikan simpanan bagi kegunaan-kegunaan tertentu misalnya untuk pelajaran anak-anak.

"Buatlah seperti diatas", kata pimpinan kerajaan dan mereka yang mengatakan kenaikan harga barang dan perkhidmatan tidak membebankan. 

"Mesti pandai ukur baju dibadan sendiri", tambah puak-puak itu lagi, sambil mengajak rakyat yang keluh kesah dengan kenaikan harga itu berjimat cermat, tidak boros dan berbelanja apa yang perlu saja.

Tapi cerita saya diatas masih ada sambungannya. 

Penyesuaian yang saya lakukan itu, selain dari menjejaskan sedikit sebanyak kualiti hidup, ianya menjejaskan kualiti hidup keluarga saya yang susah, yang sedikit sebanyak mendapat bantuan bulanan dari saya. 

Saya percaya sebahagian besar kita yang mempunyai sedikit lebihan kewangan akan berbuat apa yang saya buat. 

Jadi kenaikan kos sara hidup mempunyai kesan yang saling berkait. Kalau dulu wang bulanan boleh diberi seratus ringgit, dengan kenaikan barang-barang dan perkhidmatan, bantuan dikurangkan kepada lima puluh ringgit, misalnya. Terjejas tak?

Pimpinan kerajaan dan mereka yang mengatakan kenaikan harga tidak membebankan, adalah hidup dalam dunia penuh khayalan. Sebab itu dalam otak kepala mereka tidak pernah mahu berfikir tentang 'keterdayaan' seseorang untuk melakukan penyesuaian diantara perbelanjaan dengan pendapatan.

Ketika ini, saya masih mampu melakukan penyesuaian. Antaranya mengurangkan bantuan kepada keluarga yang susah yang amat memerlukan. Adakah keterdayaan saya ini akan berterusan, jika harga sentiasa naik? 

Sudah tentu saya tidak terdaya melakukan penyesuaian, melainkan ada orang atau pimpinan kerajaan mencadangkan saya pakai unggun kayu untuk mendapat cahaya; memasak dengan menggunakan kayu api seperti dulu (kayu api pun susah untuk diperolehi); dan mandi sebulan sekali untuk menjimatkan air, atau mandi menggunakan air perigi (perigi pun sudah tiada lagi).

Ertinya saya tidak ada daya untuk melakukannya.  PM pun idak terdaya untuk menggunakan lilin bagi menerangkan kompleks kediamannya apabila rakyat bising tentang bil letriknya yang berjumlah 2 juta setahun.

Apatah lagi orang yang miskin susah, yang berpendapatan rendah. Mereka mahu makan nasi dan sedikit sayur. Mereka mahu pakai baju dan seluar/kain, hanya sehelai dua untuk digilir-gilirkan. Mereka mahu tempat tinggal untuk tidur dan merihatkan diri dari kepenatan, berteduh dari hujan dan panas.

Apa cara penyesuaian yang mereka perlu lakukan. Nak masuk dalam hutan pun, habis semua hutan kayu kayan ditebang dan dimusnahkan. Kerja siapa? Atau suruh mereka bertelanjang?

Sebenarnya selera dan nafsu mereka sama juga dengan selera saya, selera pemimpin-pemimpin kerajaan dan orang berpendapatan tinggi. Mereka mahu makan dari menu yang mahal-mahal; mahu melancung dalam dan luar negeri; memiliki kereta mewah; mendapat perkhidmatan tv berbayar; menggunakan  internet; rumah berhawa dingin; dan segala macam yang dinikmati oleh pimpinan kerajaan dan orang kaya.

Tapi mereka sedar diri. Siapalah mereka. Mereka terlebih dahulu melakukan penyesuaian. Sebanyak ini wang yang ada, termasuk dari bantuan anak-anak, sebanyak itu yang digunakan. Malah mereka 'kemut'kan nafsu mereka, semata-mata untuk menghasilkan lebihan untuk disimpan. Mana tahu, bulan depan, anak yang biasa membantu tidak dapat berbuat demikian kerana ada keperluan lain yang terpaksa ditanggung.

Jadi, wahai orang yang mengajak melakukan jimat cermat dalam perbelanjaan, orang yang sentiasa mengajak rakyat melakukan penyesuaian diantara pendapatan dan perbelanjaan, sedarlah diri dari khayalan, bahawa rakyat telah lama melakukannya. 

Kamu-kamu semua yang masih berkhayal.

Lihat semula bajet yang kamu bentangkan selama lebih 10 tahun, defisit memanjang. Inikah ertinya berbelanja mengikut pendapatan?

Kamu berkhayal kerana hidup kamu mewah. Pendapatan besar. Ditambah dengan berbagai elaun: elaun pemandu, elaun keraiaan, elaun pembantu rumah, elaun kerja luar ibu pejabat, elaun makan, elaun tempat tinggal, dan macam-macam lagi. 

Kalau keluar negara dan diberi status tamu negara, yang mana sebahagian perbelanjaan ditanggung oleh negara tuan rumah, kamu juga membuat tuntutan bagi perbelanjaan yang telah diberikan itu. Cepat-cepat Akauntan General buat bayaran tuntutan kamu itu. Negara juga yang bayar. 

Ditambah lagi dengan kereta percuma, minyak percuma, rumah kediaman percuma dan macam-macam lagi perbelanjaan yang percuma. Makan pagi percuma, tengah hari percuma dan malam pun percuma, jika kamu semua menghadiri mensyuarat.Kamu dapat percuma, wang negara yang membayar.

Kamu juga sentiasa diberi hadiah dan berbagai pemberian. Semuanya percuma.  Apa saja yang kamu lakukan, kamu jarang sekali  mengeluarkan wang sendiri.

Apa lagi? 

Wang raya kepada tetamu pada perjumpaan hari raya? Perbelanjaan mengadakan rumah terbuka pada hari raya? Gunakan wang siapa? Kamu sudah tentu ada jawapan.

Peluang mendapat berbagai kemudahan dan keistimewaan. Tol dibayar oleh negara, minyak dan penyelenggaraan kereta, kerajaan juga yang bayar  (kerajaan itu bererti negara bukan UMNO/BN). Bil air dan letrik, rakyat juga yang bayar.

Ini tidak termasuk mendapat pelepasan dari tindakan membayar saman/denda diatas perlanggaran sesuatu undang-undang, misalnya kelewatan membayar cukai taksiran harta, memberi maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan dalam penyata cukai pendapatan; saman trafik kerana memandu dari had yang dibenarkan; tidak membayar cukai kastam dengan menggunakan kemudahan status dan laluan  VVIP;  dan banyak lagi.

Pendek kata, tiada apa yang perlu dirisaukan dengan kenaikan harga ini. Semua percuma. Maksud saya, kamu dapat percuma, negara yang menanggung. Maka menjadi besarlah tanggungan perbelanjaan negara, termasuk kehilangan hasil denda dan hasil dari barang yang sepatutnya dibayar cukai.

Tidak termasuk hal-hal yang berkaitan salah guna kedudukan dan kuasa misalnya rasuah kerana perlu dibuktikan. 

Kemudian kamu mengajak sambil menyeru rakyat yang berpendapatan rendah, rakyat berpendapatan sederhana, dan rakyat miskin agar berjimat cermat. 

Sebenarnya ajakan kamu itu dibuat semasa kamu asyik dengan khayalan hidup mewah, belanja percuma yang dikenakan keatas wang negara, wang rakyat juga.

Kamu menjadikan negara berhutang terlalu tinggi, macam air sampai ke paras hidung. Sekarang susah untuk bernafas.

Maka kamu naikkan bermacam-macam harga; kamu potong subsidi minyak dan gula; dan kamu bawa GST, perah wang rakyat yang sedia terseksa itu semata-mata untuk menambah kantung negara, dengan kata manis demi mengukuhkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Kamu sebenarnya berkhayal dan tidak bercakap benar.

Hari ini diberitakan, seseorang dari geng-geng kamu mengulangi ayat yang sama, mungkin ayat yang keramat bagi kamu, tapi yang amat menyeksa dan meluat bagi rakyat,  bahawa 'KENAIKAN HARGA  dan PENGURANGAN SUBSIDI adalah BAIK UNTUK RAKYAT. APA YANG BAIK UNTUK EKONOMI adalah juga BAIK UNTUK RAKYAT'.

Kenaikan harga baik untuk ekonomi dan baik untuk rakyat? Baik dari segi macam mana? Kalau menambahkan pendapatan negara tanpa membebankan kehidupan rakyat, dan tambahan pendapatan itu diurus dengan secara terbaik demi rakyat, tidak jadi masalah.
Pengurangan subsidi baik untuk rakyat dan baik untuk ekonomi? Subsidi untuk siapa yang dikurangkan. Dan kalau dikurangkan siapa sebenarnya menanggung kesan buruk keatas pengurangan subsidi itu. 

Minyak naik, sebab subsidi minyak kena potong (ya, kerajaan boleh main silap mata dengan mengatakan kerajaan tidak menaikkan harga minyak. Tapi kerajaan terlupa untuk berfikir bahawa dengan pemotongan subsidi minyak itu, harga minyak meningkat, yang membuatkan kuasa beli rakyat menurun). Siapa yang terlalu terbeban? Sudah tentu rakyat berpendapatan rendah.
Subsidi gula dipotong, kesannya pun sama.

Kenapa tidak dipotong atau dirunding semula berbagai kemudahan atau keistimewaan yang telah diberi atau  yang telah terikat oleh sesuatu perjanjian, bagi tujuan mengurangkan tanggungan kerajaan, dan disalurkan wang yang dapat diselamatkan itu kepada rakyat yang susah yang amat memerlukan. Runding semula dengan syarikat IPP dan syarikat yang mendapat konsessi lebuh raya. 

Mengapa perlu dinaikkan tarif letrik?

Mengapa perlu naikkan kadar tol lebuhraya?

Mengapa perlu naikkan tambang LRT?

Sudah tentu tiada kewajaran membawa GST.

Katalah kita mengambil sikap bersangka baik dengan bersetuju bahawa kenaikan harga dan pengurangan subsidi adalah baik untuk ekonomi negara. Dengan itu baik untuk rakyat.  Oleh itu rakyat wajar menerima dan berterima kasih kepada kerajaan.

Tapi saya ada satu kekhuatiran yang amat sangat yang saya ingin sampaikan dalam bentuk kiasan seperti dibawah ini;

"Bunga itu sungguh cantik, berwarna warni dan harum mewangi. Semua orang suka dan mahu memilikinya. Tapi bunga yang cantik, berwarna warni dan harum mewangi itu, jika diberikan kepada sang beruk, saya amat khuatir sekali". 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan