Theflowersellingboy

Jumaat, 27 Disember 2013

Cubalah Jalani Kehidupan Dengan Gaji RM800 Sebulan, Hanya 2 Bulan Saja: Jiwa Boleh Tenang Dengan Kenaikan Harga.


Dengar baik-baik apa yang disampaikan Prof. ini. Apa yang dia sampaikan itu mudah difahami. Cuma rasanya ada hal yang beliau faham tapi beliau tidak tahu rasa atau mungkin tidak pernah rasa. Sudah tentu beliau faham tentang kemiskinan, faham tentang orang berpendapatan rendah,  faham tentang titik peluh orang kampong, orang susah bekerja tanpa kira waktu untuk mencari rezeki dan faham tentang wang atau gaji yang rendah tidak mempunyai kuasa beli sehebat kuasa beli beliau. Tambah-tambah lagi dengan kenaikan harga barang.

Ya, kita mesti sentiasa positif dalam respons kita keatas kenaikan harga barang. Kita mesti kerja kuat. Kita mesti sentiasa bersyukur, kerana rezeki sentiasa ada. Kita mesti lihat dalam diri kita dan jangan menyalahkan pihak luar. Barulah kita ada ketenangan walaupun kita menghadapi kenaikan harga barang.

Itu cerita motivasi. Cerita dalam sebuah kelas. Bukan cerita berdasarkan realiti.

Kalau prof. ini hendak tahu realiti, hendak merasa apa yang orang miskin rasa, nak rasa apa  yang sedang ditanggung oleh orang yang berpendapatan rendah rasa,cuba prof hidup dengan wang gaji RM800 sebulan.; ada 5 tanggungan (anak-anak), suami tidak bekerja; duduk di flat atau rumah sewa d i KL dengan sewaan RM 500 sebulan; ada sebuah motorsikal untuk ke tempat kerja. Ke lima-lima orang anak masih bersekolah dengan menaikki bas yang dibayar RM30 sebulan bagi setiap seorang.

Jangan lupa, prof pun mahu makan tengah hari dan makan malam. Tanggungan juga mahu makan sama. Jangan lupa pakaian juga terlalu perlu untuk menutup aurat, untuk bersolat dan untuk basahan hari-hari.

Cubalah, hanya dua bulan saja prof berpendapatan RM800. Hadapi kenaikan harga. Jika respons prof. positif iaitu sentiasa tenang tidak rasa tertekan apabila anak meminta wang sekolah, boleh senyum dan riang apabila prof dimarahi tuan rumah kerana terlambat bayar sewa; boleh berjalan kaki ke tempat kerja bagi mengelakkan bayaran tol dan minyak yang meningkat , dan macam-macam ikhtiar yang dilakukan secara tenang dalam  menentukan keutamaan perbelanjaan, tabik hormat dari mereka.

Prof, ilmu prof orang susah dan miskin ini sentiasa hormat. Dan orang miskin dan berpendapatan rendah ini juga sentiasa melihat dalam diri mereka. Mereka tahu dan sedar orang kaya mana yang tahu susah payah mereka.  Apa yang mereka ada. Apa yang mereka makan. Apa yang mereka pakai. Dan bagaimana mereka bekerja demi mencari rezeki yang halal. Soal hasad dengki dan iri hati, bukan juga menjadi sifat semula jadi mereka. Mereka takut kepada Allah, malah sentiasa berdoa, selepas bekerja keras agar dimurahkan rezeki yang halal dan barakah. Kerana mereka juga takut neraka, dan mahukan syurga.

Apakan daya, orang berpendapatan tidak sebanyak prof ini, tidak mempunuyai ruang dan peluang yang terbuka luas dan mudah untuk menambahkan pendapatan. Kerja online? Ada setengah dari mereka faham dan ada yang garu kepala bila dengar kerja online itu. Mereka yang faham pun, tidak boleh buat seperti yang prof cadangkan itu. Sewa bulanan internet, membuatkan mereka  menggilirkan makan -hari Isnin makan tengah hari tanpa makan malam, dan hari Selasa, makan malam tanpa makan tengah hari . Mereka rihatkan perut mereka secara berselang hari.

Orang yang prof kata tidak tenang dik keanaikan harga barang , yang tidak pandai bersyukur ini, memohon jasa baik prof, seorang yang terpelajar, apatah lagi mempunyai access yang baik dengan orang besar-besar, pak menteri dan perdana menteri , agar menyampaikan rasa ketidaktenangan mereka akan beban sara hidup yang menghimpit mereka dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Itu saja harapan mereka. Kerana itulah cara yang mereka nampak boleh membuatkan mereka mendapat ketenagan iaitu sangat berbeza dengan cara prof. mendapat ketenangan. Bagi prof untuk mendapat ketenangan, respons terhadap kenaikan harga hendaklah bersikap positif.

Sebelum prof. berjumpa dengan orang-orang besar itu bagi membantu orang susah dan berpendapatan rendah untuk boleh bersikap tenang dalam menghadapi kenaikan harga, prof wajar mencuba hidup selama dua bulan dengan gaji RM800 seperti yang dinyatakan diatas. Mereka yang berpendapatan rendah dan orang yang susah percaya bahawa jika prof. mencuba hidup seperti kehidupan mereka selama ini, bertahun-tahun lamanya, prof akan dapat membezakan antara kelas motivasi dengan realiti sebuah kehidupan seorang yang miskin, susah dan bergaji kecil yang tidak mampu bermewah seperti  orang kaya.

Tapi rasanya sama ada kaya atau miskin , bahawa kita adalah sama, insan yang sentiasa mempunyai berbagai perasaan dalam menghadapi dan menjalani kehidupan - ada masa kita tenang, suka ria, ada masa kita berdukacita dan kecewa, ada masa kita marah dan sebagainya. Sudah tentu orang miskin, akan terlalu tertekan kalau terlalu banyak harga barang naik. Mereka mampu marah, buat bising tapi kesannya tidak seberapa. Siapa lah mereka.

Ya, siapalah mereka selepas pilihanraya. Tapi mereka inilah yang amat berguna sebelum pilihanraya. Tukang tampal poster, bawa bendera kesana sini, panjat pokok untuk pasangan bendera parti, membuka dan menggerakkan bilik gerakan parti, tukang pujuk dan raih undi, menyediakan pentas dan kelengkapan untuk pak menteri menjual cerita; menyediakan makanan untuk pemimpin dan macam-macam kerja lagi.

Sekarang mereka diminta bertenang, jangan salah orang lain, pandang diri sendiri dulu. Bersyukur.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan