Theflowersellingboy

Selasa, 10 Disember 2013

Apa Pasal Runtuh Lagi.......Hari Esok Masih Ada Lagi Untuk Dikitar Semula



Runtuh lagi!!!!

Di Terenggau sudah jadi perkara biasa. Di Hospital Serdang juga sama. Kejadian berulang kali. Ada yang berlaku pada tarikh yang sama. 

Satu soalan semua orang akan tanya: Pasal apa runtuh?

Ada berbagai jawapan. 

Pihak yang bertanggungjawab keatas bangunan yang terlibat itu akan memberi jawapan standard: Kami akan siasat, satu jawatankuasa akan dibentuk. Jika kita dapati ada perkara-perkara yang tidak kena, tindakan yang sewajarnya akan diambil.

Pihak yang tidak sealiran dengan kerajaan, khususnya parti pembangkang dengan pantas buat komen: Ini sudah tentu kontraktor kroni yang dapat kerja.

Rakyat biasa yang ambil peduli, menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati kerana ia melibatkan pembaziran wang rakyat. Maka antara lain akan berkata: SPRM mesti masuk. Siasat,  adakah unsur rasuah dan penyelewengan.

Masa berjalan. Tindakan membaikki  dan memulihkan semula kerosakan akan diambil untuk membolehkan ianya selamat digunakan. Jika melibatkan struktur bangunan, ianya akan mengambil masa yang lama.

Masa berjalan. Sebahagian rakyat sudah lupa, atau ingat-ingat lupa akan kejadian itu. Perasaan tidak puas hati dan marah sudah kendur, mungkin  hilang dibawa masa.

Pembangkang pun sama juga, cepat lupa melainkan jika mahu dekat pilihanraya.

SPRM, tidak lebih dari itu, senyap juga kecuali ada pihak yang gatal mulut membangkitkannya. Apa sudah jadi? SPRM kata masih dalam siasatan.

Pihak audit buat kerja senyap-senyap. Sediakan berbagai pertanyaan kepada tuan punya bangunan atau pegawai penguasa bangunan, iaitu JKR. 

Jika audit berpuas hati dengan jawapan yang diberi, maka tidak dimasukkan dalam laporan tahunan. Jika jawapan tidak menyakinkan maka ianya jadi perkara yang dimasukkan dalam laporan tahunan untuk dibentang di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Ahli Dewan/Parlimen bersidang. Biasanya ahli dewan/parlimen kerajaan tidak berapa ambil kisah tentang laporan audit. Yang sangat ambil kisah ialah pihak pembangkang. Ada dua sebab, pertama merugikan wang rakyat, kedua untuk dapat faedah politik diatas kelemahan jentera kerajaan.

Jika perkara itu dibangkitkan dalam dewan/parlimen maka berlaku riuh rendah dan hingar bingar dalam dewan/parlimen yang mereka sebut sebagai dewan/parlimen yang mulia. 

Macam-macam lagak kita boleh saksi yang dilakunkan oleh mereka. Tuding menuding jari, menyenseng baju naik kelengan, menghentak dan memukul meja di depannya, menjerit ikut suka hati volumenya,  hamun menghamun, mengoyak kertas dan cabar mencabar termasuk cabar untuk berlengan.

Pengerusi/Speaker Dewan/Parlimen tak cukup perkataan untuk mengawal keadaan. Biasanya lebih condong pada kerajaan. Kalau ahli dewan/parlimen yang ditafsirkan tak ikut peraturan, orang itu di perintah keluar. Biasanya ahli pembangkang. Tidak bermakna ahli itu yang bersalah. Hanya sepeaker ada kuasa membuat tafsiran, siapa ikut peraturan dan siapa yang tak ikut peraturan.

Wayang dalam dewan/parlimen itu cukup panas. Segala media berminat untuk melaporkannya. Sampai kepada pengetahuan rakyat. Rakyat mula ingat kisah runtuh dulu. Maka darahnya mula menyirap. 

Masa berjalan.  Cerita runtuh semakin menghilang. Apatah lagi ada berbagai cerita yang lain, sama ada yang menyukakan hati dan menyakitkan hati, yang perlu dilayan.

Berlaku lagi sekali cerita runtuh. Proses kitar semula mengambil tempat.

Begitu juga halnya dengan cerita rasuah, salah guna kuasa dan yang lain-lainnya. 

Proses kitar semula,
Rakyat marah dan mahu ambil tahu, mengapa berlaku dan apa tindakan yang akan diambil; 

Pembangkang ambil kesempatan , ada yang buat demonstrasi;

Pihak berkuasa akan memberitahu bahawa satu  jawatankuasa akan ditubuhkan bagi melakukan siasatan; 

SPRM akan membuka fail siasatan; 

Audit akan membuat pertanyaan kepada pihak yang terlibat, dan akan menyediakan laporan; 

Ahli dewan/parlimen akan terus bertengkar tentang isu yang dibangkitkan oleh ahli pembangkang seperti yang dilaporkan Audit, dengan menunjukkan berbagai kehebatan seni lakunan yang lebih banyak jijik dan memalukan dari yang sopan dan berperadaban; 

dan segala media jadikan cerita sebagai goreng pisang panas yang habis dibeli sebelum sempat minyaknya kering (belum sempat tus pada pisang yang digoreng itu).
Darah rakyat naik menyirap, beberapa ketika saja. Sebab, hari esok masih ada, cerita dan lakunan yang sama, dikitar semula.



Masjid Terengganu: Bumbung Runtuh. Soalan Rakyat Yang Ambil Peduli:Berapakah agaknya kos masjid ini. Berapakah pula kos membaikpulih. Bila siap kerja baikpulih.

Bangunan Hospital Serdang: Melibatkan siling runtuh. 30.1 .11 di lobi utama; 30.1.12 di lobi utama (menyambut ulang tahun keruntuhan; 13.8.12 jabatan kecemasan, 4 cedera; 30.9.13 ward bersalin; 14.11.13 ICU; 4.12.13 jabatan kecemasan (4 hari sebelum  menyambut ulang tahun); 9.12.13 (terbaru) rumah warga kerja , 5 orang terselamat dari mengalami kecederaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan