Theflowersellingboy

Rabu, 18 Disember 2013

Apakah Tiada Jalan Lain Untuk Menguruskan Ekonomi Negara Dengan Lebih Baik Selain Dari Menaikkan Harga dan Mengenakan GST?




Saya, sama seperti orang lain, terlalu amat bimbang dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Saya juga amat bimbang keatas perlaksanaan GST. 

Kesan kenaikan harga itu amat serious sekali, kepada rakyat dan negara. Kesan cukai GST itu amat membebankan kehidupan rakyat. Dan sudah tentu memberi kesan negatif kepada kerajaan BN yang berkuasa ketika ini. 

Rakyat, negara dan kerajaan BN akan menghadapi mala petaka.

Harga naik ini sudah semacam satu ketagihan dadah oleh kerajaan BN. Selepas BN memenangi PRU 13, pengumuman demi pengumuman  tentang kenaikan harga dibuat. Macam-macam alasan dilapekkan bagi mewajarkan kenaikan harga itu. Kerajaan bersilat dengan kata-kata dan bermain silap mata bagi tujuan yang sama.

Kata Kerajaan:

i) Harga gula wajar naik demi kesihatan.

ii) Kerajaan tidak menaikkan harga minyak. Harga minyak ditentukan oleh harga pasaran dunia. Dengan itu pengurangan subsidi minyak bukan penyebab kepada kenaikan harga minyak.

iii) Harga  tol lebuhraya wajar dinaikkan selaras dengan perjanjian yang telah ditandatangani dengan pihak yang telah diberi konsessi.

iv) Harga elektrik wajar dinaikkan bagi membolehkan TNB membuat pelaburan sebanyak 6 billion.

v) Semua kenaikan harga itu tidak membebankan rakyat.

Oleh itu tidak ada sebab mengapa kenaikan harga itu tidak boleh diterima oleh rakyat. Kenaikan itu terlalu kecil.

Oleh kerana kenaikan harga itu terlalu kecil dan tidak menyeluruh, serta tidak membebankan rakyat, menurut pakar kira-kira dan timbangtara kerajaan, maka ada sebab yang munasabah bagi kerajaan mengutip cukai dari semua rakyat tanpa kecuali, jika rakyat mengguna apa saja perkhidmatan dan membeli apa saja barangan (melainkan yang dikecualikan). 

Maka ada kewajaran cukai GST dilaksanakan pada 2015 untuk menambahkan lagi pendapatan negara, bagi digunakan untuk kesejahteraan rakyat, demikianlah kata kerajaan.

Apa pun silat kata dan silap mata yang digunakan kerajaan, kesan langsung kepada rakyat adalah mengurangkan kuasa beli mereka. Satu ringgit yang ada sekarang ini tidak lagi dapat membeli gula dalam kuantiti yang sama seperti sebelum harga naik. Sama juga dengan barangan dan perkhidmatan yang lain.

Kata-kata kerajaan bahawa kenaikan harga bagi satu barang misalnya minyak dan gula tidak akan mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan yang lain adalah satu permainan silap mata, yang orang sudah tahu sejak awal bermulanya permainan itu. Ianya satu  pembohongan. 

Macam mana pengguna hendak membeli gula jika gula itu tidak diangkut ke kedai runcit. Macam mana ikan atau sayuran boleh bertahan lama kalau tidak menggunakan peti penyejuk. Macam mana peti itu boleh sejuk kalau tidak menggunakan arus letrik.

Ertinya naiknya harga minyak akan juga menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi kegunaan akhir pengguna. Harga kuih muih akan naik, harga beras akan naik, harga daging akan naik, harga ayam akan naik, dan apa saja barangan dan perkhidmatan yang digunakan akan naik.

Tapi ada satu soalan yang tidak pernah ada dalam otak kepala pimpinan kerajaan: Kalau harga naik macam mana rakyat nak membayar?

Untuk makluman pimpinan kerajaan , rakyat sudah bersedia dengan jawapan kepada soalan yang tidak pernah ditanya oleh pimpinan kerajaan BN. 

Kerajaan tidak wajar menafikan kenaikan harga ini  tidak membebankan rakyat. Kerajaan tidak wajar mengatakan kenaikan harga ini kecil dan hanya dalam waktu jangka pendek. Kerajaan tidak wajar mengatakan bahawa pemotongan subsidi adalah bagi memperkukuhkan ekonomi negara.

Selagi kuasa beli rakyat menurun, selama itulah rakyat tidak boleh diyakinkan dengan kata-kata itu, walaupun ada sedikit sebanyak kebenarannya. Yang penting kepada rakyat ialah tidak menambahkan lagi  beban hidup yang sedia ada.  Rakyat mahu makan. Tapi tidaklah seperti mana menu makanan yang selalu terhidang diatas meja makan pimpinan kerajaan.

Kasihanilah rakyat yang terbeban ini. 

Kalau dulu dengan pendapatan RM800 sebulan, sebuah keluarga yang mendiami di pinggir bandar, dengan tanggungan lima orang, hanya dapat makan sekali pada waktu tengah hari dan sekali waktu malam, dengan menu apa yang ada saja (jangan terperanjat jika keluarga itu makan nasi bersama air panas), bayangkan pula dengan harga yang bertambah ini. 

Berapa kali dan apakah menu yang dapat keluarga itu makan untuk mengisi perut yang sebahagian waktu kosong dan berbunyi seperti keroncong?

Tidak payah memejamkan mata untuk membayangkan keadaan keluarga itu. Pasti keluarga itu akan menggilir-gilirkan waktu untuk makan. Hari Isnin hanya makan tengah hari dengan merihatkan perut waktu malam; dan hari Selasa makan waktu malam dan merihatkan perut waktu tengah hari; dan seterusnya. Menu? Asal ada nasi, cukuplah.

Memang amat susah bagi pimpinan kerajaan untuk mempercayainya. 

Sebab mereka tidak berada dalam keadaan begitu. Waktu mesyuarat pagi, ada hidangan air dan kuih muih. Mesyuarat berlanjutan ke tengah hari, dihidangkan pula makan tengah hari dari F&B hotel atau restoran banyak bintang. Teruskan lagi mesyuarat sehingga ke petang, ada jamuan petang, roti canai, roti jala, dan tidak terlupa nescafe tanpa gula (sebahagian besar ada kencing manis, sebab itu takut dengan gula).
  
Itu hari kerja. Pada hari Sabtu dan Ahad, mengadakan perjumpaan dengan penduduk kawasan atau merasmikan projek.

Perjalanan menggunakan kenderaan rasmi, minyak atas tanggungan wang negara. Penyelenggaraan kereta atas tanggungan wang negara juga. Gaji pemandu, atas tanggungan wang dari kantong yang sama. 

Ditempat perasmian, disediakan makanan yang enak-enak berbeza dengan makanan bungkus yang disediakan untuk orang ramai. Diakhir perasmian dibekalkan pula dengan cenderahati/hadiah sebagai buah tangan kenangan dari penduduk setempat untuk dibawa pulang.

Dan tidak terlupa untuk meminta setia usaha sulit untuk mencatatkan tarikh kerja perasmian itu untuk dikumpul setiap bulan untuk dibuat tuntutan. Negara juga yang bayar.

Ini tidak termasuk hadiah dan hampers yang diterima, misalnya pada hari ulang tahun sesuatu peristiwa yang berkaitan dengan pemimpin dan orang yang terdekat dengan pemimpin, misalnya menyambut ulang tahun hari perkahwinan.

Jadi, tidak hairan akan kata-kata yang dikeluarkan bahawa kenaikan harga terlalu kecil dan tidak membebankan. Tol pun tidak bayar. 

Sebab itu kita perlu ingatkan banyak kali kepada pemimpin kerajaan bahawa kenaikan harga adalah membebankan. Ini adalah untuk kebaikan mereka juga. Rakyat terbeban. Setakat mana beban itu sanggup dipikulnya. Berapa lama beban itu terdaya diterima.

Pimpinan mesti ada perasaan kasih dan sayang kepada rakyat yang susah. Rasa kasih sayang atas dasar tanggungjawab dan amnah yang telah diberikan, kerana kasih sayang itu akan berpanjangan, ada timbalbalik.

Bukan pura-pura kasih dan sayang dengan memeluk cium diwaktu meraih undi. Bukan dengan memberi BR1M atau menambahkan BR1M yang diberi sekali setahun itu. Ianya tidak banyak menolong meringankan beban kehidupan rakyat. Tidak juga memanjangkan kasih sayang, malah memberi tunas kepada perasaan benci dan meluat. Lama-kelamaan kebencian itu menjadi subur untuk dijadikan asas dalam membuat pilihan kerajaan pada PRU akan datang.

Pemimpin UMNO/BN tidak percaya? Kalau begitulah apa yang ada dalam otak mereka, nampak gaya mereka tidak langsung bermuhasabah diri, tidak mahu mengambil iktibar akan bilangan rakyat yang mengundi mereka pada PRU 13 yang lepas. 

Rakyat telah memberi isyarat yang cukup jelas dalam dua pilihanraya yang lepas. 

Jangan menyusahkan rakyat dengan menaikkan harga. Mala petaka akan menimpa UMNO/BN, jika ingatan ini tidak diambil peduli.

Kembali kepada soalan: Kalau harga naik macam mana rakyat nak membayar?

Sebahagian rakyat sudah ada jawapan. Cuma masih bersabar untuk melontarkan kemuka kerajaan.

Antara jawapannya: mencuri; menipu untuk mendapat wang; pekerja kerajaan berpendapatan rendah melakukan berbagai pekerjaan, dan melakukan rasuah ; melakukan pembunuhan semata-mata untuk hidup; dan macam-macam cara akan dilakukan yang boleh membawa negara ke tahap mala petaka.

Dan UMNO/BN tidak akan mendapat sokongan rakyat pada pilihanraya akan datang.

Oleh itu, kenaikan harga dan GST bukan jawapan kepada pengukuhan pendapatan dan ekonomi negara. Dan bukan cara untuk membantu rakyat untuk hidup lebih sejahtera.

Besar mana pun pendapatan negara bertambah, jika tidak diurus dengan penuh amanah dan bertanggungjawab, tidak melakukan pembaziran dan boros , berbelanja tidak berkhemah, melakukan rasuah, ianya tidak akan memberi faedah kepada negara, kepada rakyat. Dan ianya juga memberi kesan yang negatif kepada UMNO/BN.

Buktikan yang rakyat ada dalam hati UMNO/BN. Caranya mudah saja jangan naikkan harga dan jangan kenakan cukai GST. Ada cara lain yang lebih berkesan dan dialu-alukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan